Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hakim tolak sebahagian percubaan AHTC untuk ubah tuntutan ke atas pemimpin WP

Seorang hakim menolak sebahagian permohonan oleh Majlis Bandaran Aljunied Hougang (AHTC) untuk mengubah tuntutannya terhadap para pemimpin Parti Pekerja (WP)   dan defendan bersama dalam kes saman sivil bernilai jutaan dolar berhubung pengurusan majlis bandaran mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Hakim tolak sebahagian percubaan AHTC untuk ubah tuntutan ke atas pemimpin WP

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 28 Aug 2020 05:30PM Dikemas Kini : 28 Aug 2020 05:32PM

SINGAPURA: Seorang hakim menolak sebahagian permohonan oleh Majlis Bandaran Aljunied Hougang (AHTC) untuk mengubah tuntutannya terhadap para pemimpin Parti Pekerja (WP) dan defendan bersama dalam kes saman sivil bernilai jutaan dolar berhubung pengurusan majlis bandaran mereka.

Dalam keputusan lisan yang dimuat naik Ketua WP, Pritam Singh, ke laman Facebooknya semalam (27 Ogos), Hakim Kannan Ramesh berkata "penting" untuk dimaklumkan bahawa majlis bandaran itu meminta untuk membuat pindaan tersebut hanya selepas beliau sudah menyampaikan keputusannya pada Oktober 2019.

Hakim Ramesh mendapati Encik Singh, AP GRC Aljunied Sylvia Lim dan mantan Setiausaha Agung WP Low Thia Khiang bertanggungjawab melanggar amanah tugas mereka berdasarkan tuntutan awal.

Defendan-defendan lain dalam kes tersebut adalah anggota majlis AHTC ketika itu Chua Zhi Hon dan Kenneth Foo Seck Guan, serta ejen pengurusan FM Solutions & Services dan pengarahnya How Weng Fan, yang juga bertindak sebagai wakil bekas suaminya Danny Loh.

Pemimpin WP itu dan anggota majlis AHTC dibicarakan kerana melanggar amanah tugas kepada AHTC dan Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol (PRPTC) antara tahun 2011 dengan 2015.

Tumpuan perbicaraan itu adalah empat kontrak yang diberikan kepada FMSS tanpa membuka tender, dengan pemimpin FMSS dilabel sebagai individu mempunyai percanggahan kepentingan disebabkan peranan yang dimainkan dalam AHTC dan juga FMSS.

Satu lagi isu utama adalah proses kelulusan pembayaran yang disifatkan sebagai "terdapat kelemahan" bagi khidmat FMSS kepada AHTC.

Bagaimanapun, setelah keputusan mahkamah ditetapkan, AHTC membuat permohonan untuk mengubah kenyataan tuntutannya dalam bulan Mei tahun ini, yang menambah jumlah kerugian yang dituntut.

Hakim Ramesh juga berkata bahawa AHTC memilih untuk membuat tuntutan terhadap defendan secara berasingan daripada PRPTC.

Sebahagian daripada hujah AHTC menggesa mahkamah supaya membenarkan perubahan tersebut dibuat adalah "hak keadilan bagi semua pihak" supaya rayuannya seiring dengan PRPTC.

"AHTC juga tidak menawarkan sebarang penjelasan, sama ada dalam afidavit sokongan atau dalam permohonannya, tentang mengapa ia tidak dari awal lagi menjajarkan rayuannya dengan PRPTC dan mengapa permohonan tersebut dibuat pada saat-saat akhir," kata Hakim Ramesh.

"Maka sewajarnya, sejauh ini memandangkan perubahan yang disarankan itu memerlukan tindakan-tindakan baru dalam (kes sama sivil AHTC), ia tidak harus dibenarkan."

Perubahan-perubahan yang ditolak Hakim Ramesh termasuk kenyataan bahawa Encik Singh, Encik Chua dan Encik Foo melanggar tugas jagaan dan kemahiran sebagai fidusiari dan atau tugas jagaan dan kemahiran kepada AHTC.

Hakim juga menolak pindaan yang menyatakan defendan "punyai cara untuk mengetahui dan tahu atau sepatutnya tahu" tentang fakta-fakta tertentu memandangkan kedudukan mereka sebagai anggota dilantik AHTC, yang akan menimbulkan "rasa curiga dan awas kepada seseorang yang tahu berjimat".

Penolakan itu juga menyatakan bahawa defendan gagal untuk meneliti fakta dan atau keadaan berhubung perkara tersebut dan memaklumkan kepada AHTC tentangnya atau memperbaiki kelemahan dalam sistem pembayaran.

Sekalipun demikian, hakim membenarkan beberapa perubahan dibuat dalam tuntutan AHTC. Ini termasuk kenyataan mengenai kontrak antara AHTC dengan FMSS tanpa membuka sebarang tender dan siapa yang menyarankan demikian serta kenyataan tentang Cik How dan suaminya yang melanggar tugas jagaan dan kemahiran sebagai fidusiari dan kepada AHTC.

Hakim Ramesh mengarahkan pihak-pihak tersebut agar memfailkan dokumen berhubung kos.

Para defendan dijangka mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang dikeluarkan pada Oktober yang mendapati mereka bertanggungjawab. Namun ini sudah ditangguh beberapa kali tahun ini dan akan berlangsung pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Sumber : CNA/NK/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan