Hakim Mahkamah Tinggi tolak usaha cabar Seksyen 377A
Tiga lelaki gagal dalam usaha mereka mencabar Seksyen 377A Kanun Keseksaan, selepas seorang hakim Mahkamah Tinggi pada Isnin (30 Mac)menolak tindakan mahkamah yang diambil mereka untuk mencabar undang-undang yang menjadikan hubungan seks sesama lelaki sebagai satu jenayah.

Dari kiri: Dr Roy Tan, Encik Bryan Choong, dan Encik Johnson Ong, yang cuba mencabar Seksyen 377A (Gambar: TODAY/Twitter)
SINGAPURA: Tiga lelaki gagal dalam usaha mereka mencabar Seksyen 377A Kanun Keseksaan, selepas seorang hakim Mahkamah Tinggi pada Isnin (30 Mac)menolak tindakan mahkamah yang diambil mereka untuk mencabar undang-undang yang menjadikan hubungan seks sesama lelaki sebagai satu jenayah.
Hakim See Kee Oon akan mengeluarkan penghakiman penuh kes tersebut pada satu tarikh kelak, menurut para peguam kepada Mediacorp di luar dewan tidak lama selepas keputusan itu dibuat.
Di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan, mana-mana lelaki yang melakukan sebarang tidak senonoh dengan lelaki lain di tempat awam atau ruang peribadi boleh dipenjarakan sehingga dua tahun. Hukuman itu dilanjutkan kepada mana-mana lelaki yang membantu perbuatan sebegitu, mendapatkan atau cuba mendapatkan perbuatan sedemikian.
Keputusan itu disampaikan dalam perbicaraan tertutup, empat bulan selepas hujah dibentangkan oleh peguam bagi pihak tiga orang: DJ Johnson Ong Ming, doktor bersara Roy Tan Seng Kee dan Bryan Choong Chee Hoong, bekas pengarah eksekutif badan bukan keuntungan LGBT, Oogachaga.
Peguam Encik Choong, yang diketuai Peguam Kanan Harpreet Singh Nehal, berhujah berdasarkan bahan sejarah baru yang tidak disertakan semasa rayuan tahun 2014.
Mereka merujuk kepada dokumen yang baru-baru ini menyatakan bahawa Seksyen 377A diperkenalkan pada 1938 adalah untuk menjadikan "pelacuran lelaki yang berleluasa" satu perbuatan jenayah ketika Singapura berada di bawah penjajahan Britain.
Peguam Encik Ong, pula yang diketuai Encik Eugene Thuraisingam, mengemukakan bukti saintifik pakar tentang sifat kecenderungan seksual, berhujah bahawa golongan homoseksual tidak boleh dengan sengaja mengubah orientasi seksual mereka dan Seksyen 377A bersifat diskriminasi dan bercanggah dengan Perlembagaan.
Peguam M Ravi berhujah bagi pihak anak guamnya, Encik Tan, bahawa "pelaksanaan tidak masuk akal dan secara rawak" undang-undang tersebut bercanggah dengan Perlembagaan kerana semua orang gay dan biseksual wajib melaporkan perbuatan seks mereka kepada polis.
Encik Ravi, juga berhujah bahawa undang-undang tersebut melanggar hak kesaksamaan, kehidupan, kebebasan peribadi dan ekspresi.
Jabatan Peguam Negara menekankan bahawa Seksyen 377A melindungi kepentingan negara yang "sah dan munasabah", "tanpa mengira sama ada atau bagaimana ia dikuatkuasakan ".
Mereka berkata isu itu bersifat "sosio-politik yang sangat memecah-belah" yang sepatutnya diputuskan oleh Parlimen, kerana Parlimen terdiri daripada wakil-wakil rakyat yang dipilih secara demokratik yang dipertanggungjawabkan oleh warga Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.