Skip to main content

Singapura

Hakim lanjutkan tempoh gantung tugas 2 doktor atas percubaan lakukan hubungan seks dengan pesakit wanita

Anggaran Waktu Membaca:
Hakim lanjutkan tempoh gantung tugas 2 doktor atas percubaan lakukan hubungan seks dengan pesakit wanita

Dr Julian Ong Kian Peng (kiri), dan Dr Chan Herng Nieng (kanan). (Gambar: Julian Ong Endoscopy & Surgery/ SingHealth Research)

SINGAPURA: Dua doktor kanan yang digantung tugas atas tuduhan salah laku profesional terhadap seorang pesakit, berdepan tempoh penggantungan khidmat yang dilanjutkan buat sekurang-kurangnya tiga kali lebih lama. Ini menyusuli rayuan yang dikemukakan Majlis Perubatan Singapura (SMC), yang mendapati tempoh penggantungan tugas mereka pada awalnya "tidak memadai".

Pakar bedah kolorektum Julian Ong Kian Peng dan pakar psikiatri Chan Herng Nieng juga mengemukakan rayuan terhadap sabitan serta penggantungan tugas mereka. Ia bagaimanapun ditolak dalam satu penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tiga Hakim pada Jumaat (2 Dis).

Sebaliknya, tempoh penggantungan tugas Dr Ong dinaikkan daripada lapan bulan kepada dua tahun. Manakala, tempoh penggantungan tugas Dr Chan dilanjutkan daripada lima bulan kepada 18 bulan.

Kedua-dua lelaki itu saling bertukar-tukar mesej yang membincangkan eksploitasi seksual seorang pesakit wanita - yang digelar sebagai "K" dalam penghakiman tersebut - di bawah Dr Ong.

Tiada bahaya sebenar ditimbulkan kepada K oleh doktor-doktor itu.

Dr Ong merupakan seorang doktor amalan swasta manakala Dr Chan ialah seorang perunding kanan di jabatan psikiatri di Hospital Besar Singapura (SGH) ketika mereka dikenakan tuduhan tersebut.

Kedua-duanya menuntut dibicarakan dan disabitkan bersalah atas satu tuduhan berkelakuan tidak wajar yang mencemarkan reputasi karyawan perubatan tersebut di bawah Akta Pendaftaran Perubatan.

Tribunal Disiplin mengenakan penggantungan tugas selama lapan bulan dan lima bulan, masing-masing ke atas Dr Ong dan Dr Chan.

Sementara itu, SMC - badan kawal selia yang mengawal tatalaku karyawan pengamal perubatan di Singapura - mengemukakan rayuan untuk melanjutkan tempoh penggantungan tugas bagi kedua-dua doktor tersebut.

Mahkamah Tiga Hakim - badan disiplin tertinggi yang menangani salah laku doktor - mendengar rayuan tersebut pada bulan Ogos tahun ini tetapi mengekalkan penghakiman untuk satu tarikh kemudian.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita