Skip to main content

Singapura

Hakim Besar Sundaresh Menon, Mantan Pengerusi CPA Eddie Teo terima darjah kebesaran awam tertinggi SG

Hakim Besar Sundaresh Menon dan mantan Pengerusi Majlis Penasihat Presiden (CPA), Eddie Teo, dianugerahi darjah kebesaran awam tertinggi Singapura pada Ahad (9 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Hakim Besar Sundaresh Menon, Mantan Pengerusi CPA Eddie Teo terima darjah kebesaran awam tertinggi SG

Hakim Besar Sundaresh Menon dan Mantan Pengerusi Majlis Penasihat Presiden, Eddie Teo. (Gambar: Mahkamah Singapura, Encik Eddie Teo)

Diterbitkan : 09 Aug 2026 06:54AM
SINGAPURA: Hakim Besar Sundaresh Menon dan mantan Pengerusi Majlis Penasihat Presiden (CPA), Eddie Teo, dianugerahi darjah kebesaran awam tertinggi Singapura pada Ahad (9 Ogos).

Kedua-duanya mendahului senarai penerima Anugerah Hari Kebangsaan 2026 selepas dianugerahi Darjah Utama Temasek.

Darjah kebesaran yang diperkenalkan pada 1962 itu dikurniakan oleh Presiden atas nasihat Perdana Menteri.

Hakim Besar Menon dan Encik Teo merupakan antara 7,491 penerima yang diberi pengiktirafan atas sumbangan mereka kepada Singapura tahun ini, termasuk 6,624 penerima awam dan 867 anggota tentera.

Selepas diterima masuk ke Badan Peguam Singapura, Hakim Besar Menon berkhidmat sebagai peguam bela sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Agung dari 2006 hingga 2007.

Beliau dilantik sebagai Peguam Kanan pada 2008, Peguam Negara Singapura yang keenam pada 2010 dan Hakim Besar Mahkamah Agung yang keempat pada 6 November 2012.

Beliau akan bersara pada 26 Februari 2027 selepas berkhidmat selama lebih 14 tahun.

Hakim Besar Menon menerajui beberapa pembaharuan besar bagi memperkukuh keupayaan mahkamah, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) ketika mengumumkan persaraan beliau. Ia termasuk menerajui transformasi digital mahkamah dan menubuhkan Divisyen Rayuan Mahkamah Tinggi, sekali gus membolehkan rayuan didengar dan diselesaikan dengan lebih cekap.

Mahkamah Keadilan Keluarga dan Mahkamah Belia turut "menggunakan pendekatan keadilan terapeutik, yang mengubah cara kes keluarga dan belia didengar dan diselesaikan", tambah PMO.

"Hakim Besar Menon telah berkhidmat untuk Singapura dengan cemerlang sepanjang 14 tahun lalu," kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

"Di bawah kepimpinan beliau, badan kehakiman kita telah meraih keyakinan rakyat Singapura dan penghormatan masyarakat perundangan antarabangsa."

Encik Teo berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Singapura selama 35 tahun sebelum bersara pada 2005. Beliau menyertai Divisyen Keselamatan dan Risikan Kementerian Pertahanan pada 1970, menjadi pengarahnya pada 1979 dan memegang jawatan tersebut sehingga 1994.

Pada masa yang sama, beliau turut berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri di Kementerian Ehwal Dalam Negeri dari 1982 hingga 1986.

Encik Teo merupakan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Australia dari 2006 hingga 2008 sebelum beliau berkhidmat selama dua penggal sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, dari Ogos 2008 hingga Julai 2018.

Jawatan terakhir yang disandangnya ialah Pengerusi CPA dari 2019 sehingga beliau bersara pada 1 Jun 2026. Beliau pertama kali dilantik sebagai anggota CPA pada 2018.

Encik Teo kini merupakan Pro-Canselor Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Felo Terbilang di Sekolah Sains Sosial universiti tersebut. Beliau juga merupakan Pengarah Lee Kuan Yew Exchange Fellowship.

Atas sumbangan beliau kepada Singapura, Encik Teo dianugerahkan Darjah Utama Nila Utama (Kelas Pertama) pada 2017.
Related article image
(Dari kiri mengikut arah jam) Seniman Dr Iskandar Jalil, Pengerusi Lembaga Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Alan Chan, Mantan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Sentosa Bob Tan, Ustaz Mohamad Hasbi Bin Hassan dan Mantan Pengerusi Lembaga Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) Edmund Cheng. (Gambar: Sean Lim, Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Pembangunan Sentosa, Kumpulan Pemulihan Keagamaan)
DARJAH UTAMA BAKTI CEMERLANG

Lima individu akan dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang dalam Anugerah Hari Kebangsaan 2026.

Mereka ialah Pengerusi Lembaga Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Alan Chan, Mantan Pengerusi Lembaga Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) Edmund Cheng, seniman Dr Iskandar Jalil, Ustaz Mohamad Hasbi Bin Hassan dan Mantan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Sentosa Bob Tan.

Encik Chan berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singapore Press Holdings dari 2003 hingga 2017. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga LTA pada 2016 dan terus menyandang jawatan tersebut sehingga kini. Encik Chan turut menerima Pingat Jasa Gemilang pada 2012.

Encik Cheng berkhidmat dalam Lembaga CAAS selama lebih sembilan tahun, bermula sebagai Timbalan Pengerusi pada 2016 sebelum menjadi Pengerusi pada 2018. Beliau berundur daripada jawatan tersebut pada 1 Ogos 2026.

Beliau juga merupakan pengerusi syarikat pengendalian darat SATS dari 2003 hingga 2016, serta pengerusi Lembaga Pelancongan Singapura dari 1993 hingga 2001.

Encik Cheng menerima Pingat Jasa Gemilang pada 2015, Bintang Bakti Masyarakat (Bar) pada 2010 dan Bintang Bakti Masyarakat pada 1999.

Dr Iskandar merupakan seorang pembuat tembikar dan seniman seramik terkemuka tempatan yang dianugerahkan Pingat Budaya – anugerah seni tertinggi Singapura – pada 1988.

Beliau menerima Bintang Bakti Masyarakat pada 2012 dan Pingat Jasa Gemilang pada 2015. Pada tahun yang sama, beliau turut dianugerahkan Order of the Rising Sun, Gold Rays with Rosette oleh pemerintah Jepun.

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya sebagai seniman seramik dan pendidik, Dr Iskandar dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan (honoris causa) oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 2016.

Ustaz Hasbi merupakan pengasas bersama dan pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), sebuah kumpulan sukarela yang terdiri daripada para asatizah dan guru agama Islam yang membantu memulihkan individu yang terpengaruh dengan fahaman radikal di Singapura.

Beliau merupakan Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) sejak 2003. Beliau juga merupakan anggota Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Jawatankuasa Fatwa MUIS dan Lembaga Pengiktirafan Asatizah.

Encik Tan merupakan Mantan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Sentosa, jawatan yang disandangnya selama tujuh tahun sebelum berundur pada 1 April 2026. Beliau kini merupakan Pengerusi Lembaga SBS Transit, SBS Transit Rail dan Jurong Engineering.

Beliau menerima Anugerah Sahabat Buruh pada 2000, Bintang Bakti Masyarakat pada 2010, Anugerah Jasa Gemilang NTUC pada 2013, Pingat Jasa Gemilang pada 2017, Anugerah Khidmat Cemerlang pada 2018 dan Anugerah Bintang Khidmat Cemerlang pada 2022.

Senarai penuh para penerima Anugerah Hari Kebangsaan 2026 boleh didapati di laman PMO.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita