Skip to main content

Singapura

Hakim Besar SG prihatin peguam muda tinggalkan kerjaya guaman

Anggaran Waktu Membaca:
Hakim Besar SG prihatin peguam muda tinggalkan kerjaya guaman

(Gambar: Singapore Courts)

Diterbitkan : 20 Sep 2024 10:22PM Dikemas Kini : 20 Sep 2024 11:48PM
SINGAPURA: Dalam bahagian terakhir siri perbincangan yang dianjurkan oleh Mahkamah Singapura dan universiti-universiti tempatan untuk mendampingi masyarakat, Hakim Besar menyentuh cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para peguam, termasuk isu peguam muda meninggalkan kerjaya dalam bidang tersebut.

Dalam tinjauan yang dijalankan baru-baru ini dalam kalangan graduan undang-undang yang memohon untuk menjadi peguam pada tahun ini, sekitar dua pertiga daripada 234 responden berkata mereka mungkin akan meninggalkan kerjaya dalam bidang undang-undang dalam tempoh lima tahun akan datang.

Lebih sepertiga berkata mereka berkemungkinan akan meninggalkan kerjaya guaman sama sekali, dedah Hakim Besar Sundaresh Menon pada Jumaat (20 Sep).

Beliau menyampaikan ucapan tersebut bagi menandakan berakhirnya siri Perbincangan Mahkamah SG Bersama Masyarakat, usaha bersama Mahkamah Singapura dan fakulti undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Lebih 1,100 orang - hakim, peguam, mahasiswa, pendidik, pegawai awam dan pakar - telah mengambil bahagian dalam perbincangan tersebut sejak ia dimulakan setahun lalu.

Dalam ucapannya, Hakim Besar berkata hasil tinjauan itu membimbangkan bukan sahaja kerana ia mencerminkan pandangan mereka yang baru memulakan kerjaya dalam bidang undang-undang, tetapi juga kerana kebanyakan respons nampaknya didorong oleh faktor "luaran".

"Khususnya, sebahagian besar responden menunjukkan kecenderungan mereka untuk berbuat demikian sekarang yang dipengaruhi oleh beban kerja yang berlebihan atau keseimbangan kerja-kehidupan yang lemah, dan budaya tempat kerja yang buruk," dedah Hakim Besar Menon.

Beliau berkata isu tersebut harus dikaji dan diteliti dengan "segera", dengan pemantauan rapi terhadap amalan-amalan mampan di "setiap tempat kerja kita".

Beliau mencadangkan tiga komponen luas untuk diusahakan:

Pertama, mempertimbangkan jika terdapat isu jangkaan yang tidak sepadan dalam kerjaya dalam bidang undang-undang, dan jurang generasi yang perlu ditangani segera.

"Di pihak peguam muda, ia mungkin perlu ditekankan kepada mereka bahawa kerjaya dalam bidang undang-undang memerlukan banyak kerja keras dalam jangka panjang, dan terutamanya dalam tahun-tahun pembentukan di mana sudah pasti keluk pembelajarannya curam," katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa peguam kanan perlu disampaikan mesej bahawa amalan di tempat kerja sudah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan "sebenarnya sudah berlaku peralihan" ke arah amalan-amalan yang lebih mampan harus dilaksanakan oleh bidang tersebut secara keseluruhannya.

Beliau berkata mesti ada kepercayaan bersama antara firma guaman dan pekerja mereka, dengan mengambil kira "kesejahteraan rakan sekerja yang lebih muda dengan pengiktirafan bahawa ini tidak seharusnya menghambat prestasi mereka".
Sumber : CNA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita