Hakim Besar beri izin siasat aduan Parti Liyani terhadap kes salah laku pendakwa raya
Hakim Besar pada Jumaat (23 Okt) memberikan kebenaran kepada Parti Liyani untuk siasatan dijalankan ke atas aduannya berhubung salah laku dua pendakwa raya dalam perbicaraan kes kecurian melibatkan Cik Parti.
SINGAPURA: Hakim Besar pada Jumaat (23 Okt) memberikan kebenaran kepada Parti Liyani untuk siasatan dijalankan ke atas aduannya berhubung salah laku dua pendakwa raya dalam perbicaraan kes kecurian melibatkan Cik Parti.
Cik Parti menuduh Timbalan Pendakwa Raya Tan Yanying dan Tan Wee Hao melakukan kesalahan dalam mengendalikan perbicaraan kesnya.
Wanita warga Indonesia itu didapati bersalah oleh mahkamah rendah pada Mac tahun lalu kerana mencuri S$34,000 daripada bekas pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong dan keluarganya ketika bekerja untuk mereka sebagai pembantu rumah mereka. Sabitan itu bagaimanapun digugurkan oleh Mahkamah Tinggi pada 4 September.
Cik Parti mendakwa pihak pendakwa "kurang bersemangat" dalam cara mereka menyoal siasatnya dan dengan cara mereka membentangkan hujah mereka di mahkamah. Akibatnya, dakwa Cik Parti, beliau disoal siasat secara tidak adil dan beliau dan pihak mahkamah mungkin ditipu.
Terdapat dua langkah untuk menimbangkan sama ada untuk memberikan kebenaran kepada siasatan seperti itu - pertama, jika Hakim Besar berpuas hati bahawa ada kes prima facie, dan kalau begitu, adakah terdapat faktor relevan yang memihak kepada mereka yang menentang siasatan.
Hakim Besar mendapati bahawa terdapat kes prima facie salah laku pada bukti dan tidak ada faktor yang relevan bagi menentang keputusan untuk memberikan kebenaran.
Beliau berkata pertimbangan utama dalam kes ini adalah betapa pentingnya untuk menegakkan pentadbiran keadilan yang betul dan melindungi kewibawaan perkhidmatan awam, dan aduan tersebut menjurus kepada tanggungjawab pihak pendakwa kepada mahkamah.
Terdapat juga kepentingan awam dalam membuktikan kesahihan tuduhan yang dikemukakan, katanya.
Tribunal akan mendengar kes tersebut dan menyiasat aduan berkenaan sebelum menyerahkan laporan kepada Hakim Besar.
Sekiranya mahkamah tidak menemui alasan yang munasabah untuk mengambil tindakan disiplin terhadap kedua-dua pendakwa raya, Hakim Besar akan menolak aduan tersebut, menurut Akta Kerjaya Guaman.
Sekiranya bukti yang secukupnya ditemui bagi mewajarkan tindakan disiplin, Hakim Besar boleh melantik peguam bela dan peguam cara atau pegawai khidmat guaman untuk memohon perintah bagi mengenakan tindakan ke atas pendakwa raya tersebut.
Ini termasuk teguran, menggugurkan mereka daripada senarai peguam, melarang mereka daripada berkhidmat sebagai peguam sehingga lima tahun, mengenakan denda sehingga S$20,000 atau hukuman lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.