Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hak istimewa pas kerja majikan digantung, jika enggan patuh makluman cuti MOM untuk kakitangan positif COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Hak istimewa pas kerja majikan digantung, jika enggan patuh makluman cuti MOM untuk kakitangan positif COVID-19

Gambar fail bangunan MOM. (Gambar: Calvin Oh)

SINGAPURA: Hak istimewa pas kerja majikan akan digantung, sekiranya mereka "dengan sengaja" enggan mematuhi makluman Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berhubung aturan cuti bagi pekerja yang dijangkiti COVID-19. 

Demikian menurut Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Rabu (9 Mac). 

Dr Tan menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Louis Ng Kok Kwang (PAP-Nee Soon), yang bertanya sama ada MOM akan mendenda majikan yang gagal mematuhi makluman tersebut dan huraian sedia ada untuk pekerja terjejas. 

Menurut makluman tersebut, pekerja yang diuji positif COVID-19 tanpa sebarang gejala atau bergejala ringan harus dibenarkan berehat tanpa perlu sijil perubatan. 

Pekerja juga tidak akan diminta mengambil cuti tanpa gaji semasa tempoh pengasingan diri. 

Dalam satu jawapan bertulis Dr Tan berkata majikan harus mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di makluman tersebut.

Makluman sedemikian bertujuan untuk membantu majikan melaksanakan amalan pekerjaan yang adil dan bertanggungjawab, menurut Dr Tan. 

"Mereka dikeluarkan setelah mempertimbangkan kepentingan kedua-dua majikan dan pekerja."

Tambah Dr Tan lagi: "Sekiranya sebarang majikan menyimpang daripada makluman tanpa sebab yang munasabah, pekerja berkenaan boleh menghubungi MOM untuk mendapatkan bantuan." 

MOM kemudian akan mengesahkan fakta dengan majikan tersebut dan menasihati mereka untuk mematuhi makluman itu. 

"Sejauh ini, MOM belum berdepan dengan majikan yang dengan sengaja enggan mematuhi arahan setelah dimaklumkan tentang makluman tersebut," menurut Dr Tan. 

"Sekiranya ia terjadi, MOM boleh menggantung hak istimewa pas kerja majikan."

Di tengah-tengah lonjakan kes pesakit yang pergi ke hospital, poliklinik atau klinik doktor GP, pihak berkuasa sudah menyatakan bahawa majikan  tidak harus meminta pekerja yang dijangkiti COVID-19 untuk mendapatkan sijil perubatan. 

Sesiapa yang memerlukan rekod rasmi hasil ujian positif COVID-19 boleh menempah janji temu di mana-mana pusat ujian gabungan atau pusat ujian pantas untuk menjalankan ujian pantas antigen (ART) yang diselia. Ia ditangung sepenuhnya Pemerintah sehingga 15 Mac.

Hasil ujian ART akan dikirimkan menerusi SMS dan akan dipaparkan pada rekod HealthHub individu berkenaan dalam masa 30 minit. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan