Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Haji Lane, Bali Lane ditutup semula kepada kenderaan mulai 22 Jul

Anggaran Waktu Membaca:
Haji Lane, Bali Lane ditutup semula kepada kenderaan mulai 22 Jul

(Gambar: @muhammadfaishalibrahim/Instagram)

BERITAmediacorp: Berita baik bagi para pengunjung kawasan Haji Lane, Bali Lane, Bussorah Street dan Baghdad Street!

Mulai tengah hari ini (22 Jul), Haji Lane dan Bali Lane ditutup kepada kenderaan setiap hari, manakala Bussorah Street dan Baghdad Street pula ditutup kepada kenderaan pada setiap hujung minggu.

Demikian diumumkan oleh Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam catatannya di Facebook hari ini (22 Jul).

Jalan-jalan di sekitar kawasan Kampong Gelam, yang ditutup kepada kenderaan, merupakan salah satu ciri yang menghidupkan suasana di sana sejak bertahun-tahun lamanya.

Ia membolehkan aktiviti perniagaan, kebudayaan dan kemasyarakatan diadakan di jalan-jalan tersebut, kata Dr Faishal.

Ini juga membolehkan orang ramai dari pelbagai peringkat usia untuk berjalan-jalan sambil menikmati kawasan bersejarah tersebut, sekaligus membangkitkan suasana bertenaga di Kampong Gelam, tambahnya.

(Gambar: @muhammadfaishalibrahim/Instagram)

Sekalipun demikian, pandemik COVID-19 mengubah segalanya dan agensi-agensi relevan terpaksa menggantung penutupan jalan di zon-zon bebas kereta di Kampong Gelam, Circular Road dan Liang Seah Street pada Mac 2020.

"Dengan pelonggaran langkah pengurusan selamat baru-baru ini, kami berasa sudah tiba masanya untuk kami mengkaji semula langkah-langkah tersebut.

"Pihak-pihak berkepentingan sudah mengusahakan rancangan dengan bimbingan pelbagai agensi untuk menutup semula jalan-jalan berkenaan dan memastikan ia dilakukan dengan selamat dan sesuai," ujar Dr Faishal.

Dr Faishal turut bertemu dengan beberapa individu, perniagaan dan kumpulan seperti One Kampong Gelam dan Perikatan Kampong Gelam yang berkongsi dengan beliau tentang harapan mereka untuk menghidupkan semula Kampong Gelam sebagai satu tempat yang dinamik dan inklusif untuk semua.

Mereka juga menyifatkan penutupan jalan itu sebagai satu cara yang baik untuk membolehkan penganjuran aktiviti-aktiviti menarik untuk disertai masyarakat.

"Walaupun kami bermula dengan Kampong Gelam, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) juga akan mengkaji semula rancangan untuk menutup semula jalan di pusat bandar untuk merancakkan jalan-jalan kita. Ini akan dilakukan secara berperingkat," kongsi Dr Faishal.

Dr Faishal juga gembira bahawa pihak-pihak berkepentingan di Kampong Gelam sudah bekerjasama untuk melakarkan pelan pengurusan yang menyeluruh, yang menggalak keselamatan awam dan tingkah laku yang baik, sambil membenarkan aktiviti-aktiviti untuk diadakan di jalan-jalan berkenaan.

"Saya berharap dalam masa akan datang, akan terdapat aktiviti-aktiviti menyeronokkan yang akan diadakan di Kampong Gelam!" kata Dr Faishal lagi.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan