Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Haji Kassim Sultan, dipercayai warga Melayu S'pura tertua, meninggal dunia pada usia 101 tahun

Haji Kassim Sultan yang dipercayai warga Melayu tertua di S'pura meninggal dunia hari ini. Menurut anaknya, Allahyarham yang dikatakan tidak menghidap sebarang penyakit, meninggal dunia akibat sakit tua.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Haji Kassim Sultan, yang dipercayai warga Melayu tertua Singapura meninggal dunia di rumah anaknya pada kira-kira pukul 3.40 petang tadi (19 Dis).

BERITAmediacorp pernah membuat liputan mengenai sambutan hari lahirnya yang ke 100 tahun pada tahun lalu.

Berusia 101 tahun, Allahyarham dikatakan tidak menghidap sebarang penyakit.

Menurut anaknya Encik Haji Azman Kassim kepada BERITAmediacorp, ayahnya hanya mengalami sakit tua dek sudah amat uzur.

(Gambar: Bahrin Kassim)

"Saya lihat dia tercungap-cungap, tetapi tangannya masih bergerak. Jadi terus saya baca Yaasin. Lepas itu saya lihat sudah tidak ada," menurut anaknya yang kesembilan, Encik Haji Azman.

Tambahnya lagi, ayahnya baru sahaja pulang dari Hospital Eng Teng Fong dua minggu lalu.

ALLAHYARHAM HAJI KASSIM SULTAN SAKIT TUA

Para doktor telah menasihati ahli keluarga Allahyarham agar membawanya pulang ke rumah sahaja.

"Maklumlah umur sudah 101. Dua minggu lepas dia minta dihantar ke hospital. Jadi kita sudah hantar ke hospital, doktor memberitahu supaya bawa balik sebab sudah uzur sangat, tidak boleh buat apa-apa. Organ-organnya semua sudah lemah," kata Encik Azman kepada BERITAmediacorp.

Allahyarham dikatakan tiada selera makan sejak beliau pulang dari hospital dan hanya makan bubur sedikit.

Malah, arwah tidak makan setiap hari, tetapi selang beberapa hari baru ada selera makan.

Menurut Encik Azman, keadaan ayahnya semakin lemah dan terlantar di katil sejak dua bulan yang lalu.

Meskipun begitu, daya ingatan Allahyarham masih lagi terang dan tajam.

Encik Azman, 60 tahun berkongsi bahawa arwah ayahnya masih lagi mengenali orang-orang di sekelilingnya, malah masih ingat bahawa beliau mempunyai seramai 44 cicit.

Bahkan, arwah masih rajin berzikir dan membaca Al-Quran setiap hari.

Menyifatkan ayahnya sebagai seseorang yang dermawan, Encik Azman berkongsi bahawa ayahnya pernah menderma sehingga S$260,000 kepada enam buah masjid di negara ini hasil jualan rumah privetnya pada tahun 2014.

(Gambar ihsan: Bahrin Kassim)

Baru-baru ini pula, ayahnya telah memberikannya wang dan memintanya agar menempah sebanyak 15 dulang Nasi Ambeng untuk diberikan kepada kesemua anak-anak dan cucu-cucunya sempena ulang tahun isterinya yang bakal menjelang pada 31 Disember nanti.

Sayangnya, hasrat menyambut ulang tahun isteri tercintanya itu tidak kesampaian.

Allahyarham meninggalkan seorang balu yang berusia 91 tahun dan 13 orang anak.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Maarof 10.00 pagi esok untuk disembahyangkan.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan