Skip to main content

Singapura

HAJI 2025: Lebih 80 peratus jemaah Haji Singapura sudah berangkat ke Tanah Suci

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 80 peratus jemaah Haji Singapura telah berangkat ke Tanah Suci setakat petang Sabtu (31 Mei), selepas lebih 280 jemaah berlepas dalam dua penerbangan hari ini.

Antaranya, 44 jemaah daripada GSA Halijah Travel & Tours yang berangkat pada jam 4.05 petang menaiki penerbangan Scoot.

Keberangkatan mereka diserikan dengan kehadiran Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Ini merupakan penampilan sulung beliau menghantar para jemaah Haji sejak menyandang jawatan itu seminggu lalu. 

Dr Faishal berkata: "Saya gembira dapat bertemu dan beramah mesra bersama jemaah haji kita hari ini, Saya ingatkan mereka supaya mengutamakan kesihatan dan keselamatan di Tanah Suci. Memandangkan keadaan cuaca yang panas di sana, mereka perlu mengutamakan rehat, cukup minum air serta mengekalkan langkah berjaga-jaga yang diperlukan." 

Beliau turut memberi jaminan bahawa Pejabat Hal Ehwal Haji Singapura (SPAO) akan terus memantau kebajikan para jemaah di sana, dan merakamkan penghargaan kepada semua pegawai yang terlibat dalam operasi Haji tahun ini.

"SPAO bekerja untuk menjaga kesihatan, keselamatan,  dan kesejahteraan mereka sepanjang berada di Tanah Suci, dan berterima kasih kepada SPAO dan semua pegawai yang terlibat dalam operasi Haji perkhidmatan mereka," ujar Dr Faishal. 

Seramai 900 jemaah Singapura dijadualkan menunaikan Haji tahun ini. 

Dr Faishal turut menegaskan komitmennya untuk terus berusaha menambah kuota tahunan Haji bagi jemaah Singapura.

"Saya tahu ramai di kalangan masyarakat kita ingin tambahkan kuota Haji. Ini adalah satu aspek di mana bukan sahaja saya tetapi, rakan-rakan saya dan perdana menteri sendiri akan cuba meningkatkan kuota haji. Kita akur ramai masyarakat kita ingin menunaikan haji. Kita akan bekerja keras, mendekati pihak Saudi untuk memberi ruang lebih untuk jemaah haji kita menunaikan Haji," jelas Dr Faishal. 

Baki 174 jemaah dari agensi Azza Travel & Tours, Hamidah Travel & Tours, Sha Travel & Tour serta Shahidah Travel & Tours dijangka berangkat pada Isnin (2 Jun).

Sumber : BERITA Mediacorp/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita