Haji 2025: Kumpulan pertama seramai 43 jemaah Haji SG selamat berangkat ke Tanah Suci
Rombongan tersebut terdiri daripada 43 jemaah dan tiga pegawai daripada Halijah Travel & Tours Pte Ltd.
Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 120 jemaah di bawah agensi GSA itu, dan antara 900 jemaah dari Singapura yang dijadualkan menunaikan ibadah Haji tahun ini.

Penerbangan mereka pada asalnya dijadualkan berlepas pada 4.05 petang, namun ditunda ke jam 6.00 petang menurut laman Changi Airport.
Ia disahkan oleh Pengurus Besar Halijah Travel, Encik Haffidz Abdul Hamid.
Para jemaah menaiki penerbangan Scoot dan dijangka tiba di Jeddah sekitar 10.30 malam waktu tempatan sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah.
TUNGGU PELUANG TUNAI HAJI LEBIH 10 TAHUN
Seawal jam 11.00 pagi tadi, para jemaah bersama keluarga dan sanak saudara dari rombongan Halijah Travels mula berkumpul di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi untuk memulakan perjalanan suci mereka ke Tanah Suci.
Ketua Eksekutif MUIS merangkap Ketua Delegasi Haji Singapura, Encik Kadir Maideen, turut hadir memberikan sokongan.

Peluang ke Baitullah disambut dengan penuh kesyukuran.
Encik Ismail berkata: "Ini hadiah satu kali dalam hidup kita untuk menunaikan Haji, jemputan Allah swt. Sekarang ini rasa ghairah, gemuruh, tidak tahu apa yang patut kami jangkakan, tetapi kami mengharapkan yang terbaik."
Beliau juga berkongsi bahawa mereka telah membuat persiapan rapi sejak tahun lalu, termasuk menghadiri kelas bimbingan, program kesihatan dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), dan latihan mental serta emosi.
"Apabila kami mendaftarkan diri, kelas-kelas sudah diadakan sejak bulan November. Ada juga kerjasama dengan HPB untuk persiapan fizikal. Jadi saya rasa persiapannya secara menyeluruh dari segi ibadah, fizikal, emosi. Banyak video dan nasihat untuk menunjukkan kami gambaran apa yang kita lalui," ujar Encik Ismail.
Beliau juga berkongsi satu nasihat penting oleh para ejen dan anggota keluarganya.
"Cabarannya - jangkakan apa yang tidak dijangkakan. Apa yang kita harapkan dan merancang akan berjalan begitu lancar. Perlu bersedia untuk menghadapi segala kejutan dan ujian yang datang," kata Encik Ismail.
Setibanya di Makkah, kumpulan jemaah itu akan menetap di Makkah Hotel & Towers selama lima hari sebelum berpindah ke Shisha.
Mereka mengambil pakej selama 27 hari dan dijangka pulang pada 17 Jun.

Rombongan terakhir jemaah Haji Singapura, seramai lebih 160 orang dari agensi GSA Azza Travel & Tours, Hamidah Travel & Tours, Sha Travel & Tour, serta Shahidah Travel & Tours, dijadualkan berlepas pada 2 Jun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.