Haji 2025: AMTAS pergiat usaha ingatkan jemaah dapatkan vaksin, keselamatan jemaah diutamakan
SINGAPURA: Pihak Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) kini mengambil langkah aktif untuk mengingatkan bakal jemaah haji dan memastikan mereka mendapatkan vaksin-vaksin yang diperlukan, dengan kurang sebulan sahaja lagi sebelum tarikh keberangkatan.
Menurut Setiausaha Persatuan Ejen-Ejen Pelancong Muslim Singapura (AMTAS), Juyda Noor Mohamad, golongan tersebut sudah dimaklumkan lebih awal untuk mendapatkan suntikan vaksin apabila menerima surat tawaran pada November lalu.

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) mengeluarkan kenyataan pada 9 Mei 2025 untuk mengemaskini senarai vaksin yang diperlukan dan disyorkan bagi jemaah haji Singapura.
Para jemaah haji kini diperlukan untuk turut dapatkan suntikan vaksin influenza dan COVID-19 sebagai tambahan kepada vaksin meningococcal yang memang sudah diwajibkan sebelum ini.
Bagi jemaah berusia 65 tahun dan ke atas atau mereka yang mempunyai isu kesihatan tertentu juga disarankan untuk dapatkan suntikan vaksin pneumokokal.
"Apabila berita yang keluar kebelakangan ini berkenaan dengan tiga vaksinasi yang wajib, ia bukan merupakan berita yang baharu. Saya rasa bagi jemaah yang belum lagi mengambil vaksinasi tersebut, masih ada lagi waktu. Kami akan sekali lagi memberi peringatan kepada kesemua agensi pelancongan untuk memberitahu jemaah mereka tentang tiga vaksinasi yang penting ini," kata Ustazah Juyda.
"Sebenarnya bagi syarikat-syarikat yang telah diluluskan oleh pihak MUIS, kami ada kumpulan WhatsApp tersendiri, yang mana sebenarnya setiap ejen pelancongan akan sentiasa mengemas kini ejen-ejen pelancongan lain 'okey di hospital ini masih ada lagi, okey di poliklinik di bahagian timur, di bahagian Barat masih ada lagi.' Jadi cuma buat masa sekarang kami tidak ada ataupun belum lagilah menerima yang ketiadaan ketiga-tiga vaksin ini di Singapura," tambah beliau lagi.
Kepentingan mendapatkan suntik vaksin itu turut ditekankan lagi oleh Ketua Delegasi Haji tahun ini iaitu Encik Kadir Maideen yang juga merupakan Ketus Eksekutif MUIS dalam ucapannya kepada 900 bakal jemaah di majlis taklimat pra-keberangkatan di Pusat Konvensyen Suntec City hari ini (10 Mei).
"Sebelum ke Tanah Suci, semua jemaah perlu membuat pemeriksaan kesihatan. Anda
juga perlu mendapatkan beberapa suntikan untuk melindungi diri. Semua jemaah mesti
mengambil suntikan meningitis dan suntikan flu. Bagi jemaah yang berumur 65 tahun ke atas,
atau yang ada masalah kesihatan yang berpanjangan, anda perlu juga mengambil suntikan tambahan untuk mencegah jangkitan paru-paru (pneumokokal)," kata Encik Kadir.

TUNGGU 12 TAHUN UNTUK TUNAIKAN HAJI
Antara jemaah yang sudah melakukan persiapan rapi bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu ialah pasangan Muhammad Taib Asmori, 57 tahun dan Fazilah Md Daud, 56 tahun.
"Inisiatif MUIS untuk mewajibkan vaksin ini sangat bagus supaya bila kita di sana, kita akan sentiasa berada dalam keadaan sihat dan memudahkan urusan mereka yang menjaga kita," kata Cik Fazilah yang akan menunaikan ibadah haji buat pertama kali.
Penantian dan doa selama 12 tahun akhirnya terkabul apabila mereka mendapat surat tawaran untuk menunaikan ibadah haji pada Jun ini.

"Masya-Allah memang sedih, hiba sebab terlalu gembira kerana memang ini matlamat yang hujung untuk kami. Jadi kami berdua sangat bersyukur sangat sangat, bersyukur pada Allah SWT. Memang kita sudah kerap buat jalan pantas. Dari segi kita punya fizikal. Lepas itu kita dah mula bila dapat surat tawaran, kita sudah mula buat persiapan keperluan barang-barang keperluan untuk barang-barang haji, apa yang perlu dan juga dari segi kerohanian kami," kata Cik Fazilah yang akan berangkat bersama jemaah Noor Mohamad Services & Travel Pte Ltd.
MODEL KHIDMAT PERUBATAN HIBRID DITERUSKAN
Tahun ini, model khidmat perubatan secara hibrid akan diteruskan lagi bagi menyokong keperluan perubatan para jemaah di Tanah Suci.
Model hibrid itu mula dilaksanakan tahun lalu.
Empat pegawai perubatan Singapura dari Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) akan ke sana dan mereka akan disokong oleh para pegawai daripada penyedia khidmat kesihatan di Arab Saudi.
Jumlah pegawai perubatan dari Singapura itu jauh lebih rendah sebelum model hibrid diperkenalkan. Pada 2023, seramai 19 pegawai perubatan menyertai rombongan haji ketika itu.

Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli yang turut hadir sesi taklimat itu mengatakan kesihatan dan keselamatan jemaah sentiasa diutamakan.
"Keperluan untuk mendapat perkhidmatan perubatan itu adalah sesuatu yang diperlukan, kalau perlu bukan sesuatu yang perlu diadakan kerana mereka tidak siap. Jadi Alhamdulillah, jemaah haji Singapura sudah sedar bahawa inilah cara kita menjalankan ibadah haji supaya kita dapat jalankan dengan selesa dan mendapat haji yang mabrur insya-Allah" kata Encik Masagos.
Beliau juga gembira inisiatif "Get Fit for Haj" juga mencatat kadar penyertaan yang memberangsangkan dengan lebih 85 peratus jemaah mengikuti aktiviti bagi persiapan jasmani dan rohani mereka.
"Saya mendapat maklumat bahawa semua jemaah haji telah membuat persiapan yang terbaik bukan sahaja dari segi kerohanian tetapi mereka juga telah menjalani program-program kesihatan dan peningkatan pencapaian jasmani supaya mereka dapat menjalankan ibadah haji dengan selesa dan sihat kerana ibadah haji ini adalah satu ibadah yang bukan hanya ibadah rohani tetapi juga fizikal," kata Encik Masagos.
Rombongan pertama jemaah Singapura dijadualkan untuk berangkat pada 22 Mei 2025.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.