Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Haji 2024: 85% bakal jemaah sudah sahkan tempat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 85 peratus daripada 900 bakal jemaah haji yang menerima surat tawaran bagi musim haji 2024 sudah mengesahkan tempat mereka setakat Jumaat (8 Dis).

Semua bakal jemaah tersebut dimaklumkan menerusi SMS atau emel mulai 29 November lalu.

Demikian perangkaan yang dikongsikan MUIS kepada BERITA Mediacorp.

Mereka yang belum berbuat demikian diberi masa sehingga sebelum 12 tengah malam Ahad (10 Dis) untuk mengesahkan tempat dengan mendapatkan pakej haji daripada ejen pelancongan yang diluluskan MUIS serta keperluan lain yang digariskan dalam portal MyHajSG.

Dua ejen pelancongan yang dilantik (GSA) berkongsi dengan wartawan Nurfazirah Azman tentang demografik bakal jemaah serta langkah-langkah yang akan dilaksanakan demi kebajikan mereka.

Pengarah Eksekutif, Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd, Cik Noor Faizah Mustaffa berkata jumlah mereka yang mendaftar dengan syarikat itu buat Haji tahun hadapan sangat memberangsangkan.

Pengarah Eksekutif, Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd, Cik Noor Faizah Mustaffa

"Alhamdulillah sejak hari Rabu (29 Nov) apabila jemaah Haji dapat tawaran dari MUIS, nombornya agak menggalakkan tetapi kalau hendak dibandingkan dengan yang dahulu dengan tahun ini, kita belum dapat lagi nombor untuk perbandingan kerana pendaftaran dibuka hingga akhir minggu ini," kata Cik Faizah.

Beliau menekankan bahawa purata demografi yang mendaftar buat Haji 2024 tergolong dari peringkat usia yang lebih pelbagai berbanding tahun-tahun lepas.

"Demografik tahun ini agak menarik. Kami ada pendaftaran semuda 27 tahun yang mendaftar dengan ibu bapa mereka, tambahnya. Yang paling berumur adalah sekitar 75 tahun,"kongsi Cik Faizah.

Bagi Hahnemann Travel & Tours Pte Ltd pula, syarikat itu melihat jumlah pendaftaran yang lebih tinggi.

"Alhamdulillah para jemaah yang sudah mendaftar pada tahun ini untuk tahun hadapan Alhamdulillah lebih meningkat daripada tahun-tahun yang lepas. Kami bersyukur, nampaknya penyampaian daripada bekas-bekas jemaah haji tahun lepas telah sampai ke jemaah-jemaah lain dan mereka mengesyorkan perkhidmatan daripada Hahnemann Travels, " kata Pengurus Hahnemann Travel & Tours Pte Ltd, Ustaz Muhammad Hisyam.

Beliau menekankan faktor usia tidak menjadi penghalang bagi jemaah menunaikan rukun Islam yang kelima itu.

Namun terdapat kebimbangan dalam kalangan para bakal jemaah seperti soal tentang kesihatan, perlu berjalan jauh dan keadaan cuaca yang dijangka amat panas semasa musim haji tahun depan.

CUACA PANAS MUSIM HAJI 2024

"Rata-rata memang sejak 2022, cuaca di Arafah ataupun di Makkah melebihi 50 degree selsius jadi untuk kami di Jallaludin Travels, kami sarankan jemaah untuk berada di dalam Sisha dari 2 Zulhijjah hinggalah hari sebelum Arafah. Jadi kami tidak galakkan jemaah untuk meronda-ronda di luar," kata Cik Faizah.

Tambahnya bangunan Sisha dan khemah Arafah dilengkapkan dengan alat penghawa dingin.

"Kalau kita lihat kepada cuaca yang akan datang ini memang suhu tinggi. Jadi selain daripada persiapan luaran, mungkin dua lapisan payung, ada kipas yang boleh keluarkan kabus air, yang penting adalah persiapan dalaman," kata Ustaz Ustaz Muhammad.
JAGAAN KESIHATAN PARA JEMAAH DIPERTINGKAT

Bagi musim haji 2024, MUIS telah mengenakan syarat tambahan ke atas pihak GSA bagi menjamin kesihatan jemaah di bawah urusan mereka.

Buat rombongan Haji 2024, MUIS mewajibkan lapan GSA yang dilantik untuk menyiapkan rombongan pakar kesihatan dan jururawat mereka sendiri buat musim Haji 2024.

"Alhamdulillah kami dapat adakan satu jururawat untuk berada bersama-sama jemaah kami sebagai 'first responder' untuk dapat membantu memberikan diagnosis untuk jemaah sekiranya dia perlu CPR atau perlu digegaskan ke klinik yang berdekatan.

"Di Arafah sekiranya jemaah jatuh sakit, pihak MUIS ada mengadakan pasukan kesihatan untuk meronda. Di khemah Arafah juga pihak muassasah ada menyediakan khemah medikal," kata Cik Faizah.

Selain persiapan rohani, keadaan jasmani bakal jemaah juga diberi penekanan.

Ini dilakukan dengan kerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).
Hahnemann Travel & Tours Pte Ltd bekerjasama dengan HPB untuk melakar program-program kesihatan buat bakal jemaah di bawah urusannya.

"Kerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan ini sudah mula sejak tahun lepas. Dengan ini para jemaah sekalian dapat persiapkan badan mereka dari segi mental dan fizikal untuk mengatasi apa-apa masalah yang mungkin dialami sewaktu perjalanan ibadah haji. Sudah tentu nanti, para jemaah sekalian akan banyak berjalan terutama sekali ulang alik dari Mina ke Shisha dan seterusnya. Ini kita akan membuat praktikal dan juga olah-raga yang akan menguatkan kaki-kaki mereka, tubuh badan mereka dan seterusnya," kata Ustaz Muhammad.

Lapan ejen pelancongan yang dilantik ialah:

1. Hagel Travel & Tours Pte Ltd

2. Hahnemann Travel & Tours Pte Ltd

3. Halijah Travels Pte Ltd

4. Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd

5. Noor Mohamad Services & Travel Pte Ltd

6. Shahidah Travel & Tours Pte Ltd

7. Thoha Travels & Tours Pte Ltd

8. TM Fouzy Travel & Tours Pte Ltd
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan