Haji 2023: Rombongan terakhir 190 jemaah selamat berlepas
Rombongan terakhir seramai 190 jemaah haji tahun ini daripada empat GSA berlepas ke Jeddah pada Sabtu (24 Jun).
BERITAmediacorp: Rombongan terakhir seramai 190 jemaah haji tahun ini daripada empat GSA berlepas ke Jeddah pada Sabtu (24 Jun).
Para jemaah daripada Noor Mohamad Services & Travel, Hagel Travel, AQ Travel dan Nurhikmah Travel itu menaiki pesawat Saudi Airlines yang berlepas daripada Lapangan Terbang Changi sekitar jam 5 petang.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Suasana riang bercampur syahdu cukup terasa di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dengan para jemaah haji ditemani sanak saudara mereka yang mula berkumpul seawal 12 tengah hari lagi untuk keberangkatan terakhir musim haji tahun ini.
PAKEJ AKHIR JADI PILIHAN DEMI KELUARGA, TUGAS
Pakej akhir itu menjadi pilihan antara lain disebabkan jadual cuti sekolah bagi jemaah meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak mereka sebelum berangkat ke Tanah Suci.
"Kita pilih yang selambat mungkin sebab saya ada anak-anak kecil jadi bila kita pergi pada penghujungnya jadi anak-anak tak terasa sebab mereka sibuk dengan sekolah semua," kata Cik Nurasyikin Hapet, ibu tiga orang anak yang berangkat bersama suaminya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Bagi Cik Suriah Salleh pula yang bertugas sebagai seorang jururawat, pakej akhir yang lebih pendek juga lebih sesuai baginya disebabkan tuntutan kerja.
"Pasal waktu kerja jadi saya punya cuti pun tak cukup. Jadi ambil yang 19 hari sahajalah. Tahun lepas saya dapat tapi mereke memberikan yang tambahan punya itu yang 'ad hoc' punya. Jadi pasal kerja jadi saya tak dapat cuti. Jadi tahun ini mereka memberi tawaran, saya dapat jadi pergi sahajalah," kata Cik Suriah.
REHAT; AIR SECUKUPNYA UNTUK HARUNGI TUNTUTAN HAJI & CUACA PANAS
Para jemaah dijadualkan tiba di Jeddah pada 2 pagi nanti waktu tempatan.
Setibanya di sana, para jemaah mempunyai satu hari sahaja di Makkah sebelum ke Arafah.
Disebabkan jadual yang padat itu, syarikat Noor Mohamad memberikan ruang untuk para jemaahnya mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum membuat persiapan bagi kemuncak ibadah haji.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Jemaah akan lakukan ibadah Tawaf Qudum atau Tawaf Selamat Datang dan juga Sa'i Haji selepas nanti lontar jamrah Aqabah yang pertama. Jadi jemaah dapat rehat sepenuhnya pada hari Ahad (25 Jun) dan kemudian bersiap sedia untuk ke Arafah pada hari Isnin (26 Jun) insya-Allah untuk menyempurnakan ibadah Haji mereka di Wukuf nanti di Arafah pada hari Selasa (27 Jun) insya-Allah," kata Pengarah Noor Mohamad, Ustazah Juyda Noor Mohamad.
Sementara itu, Ustazah Juyda turut memberi perkembangan tentang keadaan rombongan jemaahnya sebelum ini yang berangkat pada 15 Jun lalu.
"Kini mereka tengah berada di Shisha. Alhamdulillah kami sentiasa berhubung antara satu sama lain dan kini keadaan mereka sihat semuanya Alhamdulillah tiada kecederaan dan sebagainya," tambahnya yang turut berangkat bersama rombongan hari ini.
Selain rehat yang mencukupi, para jemaah juga dinasihati untuk minum air yang secukupnya bagi menghadapi cuaca panas di sana.
Sementara itu, 116 Jemaah daripada tiga GSA - Shahidah Travel, TM Fouzy Travel dan Hahnemann Travel yang terkandas pada Jumaat (23 Jun), bertolak pada jam 3 pagi tadi dan sudah selamat sampai jam 1 tengah hari waktu tempatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.