Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HAJI 2023: Lebih 100 jemaah Haji SG kembali ke tanah air; puas hati dengan khidmat GSA dan sokongan MUIS

Anggaran Waktu Membaca:
HAJI 2023: Lebih 100 jemaah Haji SG kembali ke tanah air; puas hati dengan khidmat GSA dan sokongan MUIS

Lebih 100 jemaah Haji SG kembali ke tanah air; puas hati dengan khidmat GSA and sokongan MUIS. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)


BERITA Mediacorp: Seramai 107 jemaah Haji selamat kembali ke tanah air petang tadi (22 Jul).

Mereka merupakan sebahagian daripada jemaah syarikat AQ Travel & Tours, Nurhikmah Travel & Tours, Hagel Travel & Tours dan Hahnemann Travel & Tours.

Para jemaah tiba di Singapura kira-kira 3.45 petang tadi di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Sebaik sahaja keluar dari pintu gerbang Terminal 3, mereka disambut dengan penuh ghairah oleh anggota keluarga dan saudara-mara.

Para jemaah yang ditemui BERITAmediacorp, melahirkan rasa syukur terhadap sokongan yang disediakan oleh ejen pelancongan masing-masing sepanjang perjalanan ke tanah suci.

Ini termasuk Cik Siti Aisah Mohamed Yusop, jemaah dari AQ Travel & Tours, yang menunaikan haji bersama suami dan ibu bapa mertuanya.

"Saya sangat gembira, semuanya berjalan lancar Alhamdulillah, sedikit kegenjotan itu biasa. Tetapi selain daripada, itu Alhamdulillah," kongsi Cik Siti kepada BERITA Mediacorp.

AYAH DAN SUAMI MASIH BERADA DI TANAH SUCI

Meskipun pergi berempat, namun beliau kembali bersama ibu mertuanya sahaja oleh kerana bapa mertuanya masih kurang sihat dan memerlukan rawatan di Tanah Suci.

Jemaah Haji AQ Travel & Tours (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Bapa mertua Cik Siti masih berada di sana bersama suaminya serta para pegawai AQ Travel & Tours.

"Pengalaman kita di sana semasa membuat rukun Haji, memang tidak mudah tetapi dipermudahkan sebab kita ada sokongan daripada AQ Travel & Tours."

"Dan semasa bapa mertua saya sakit itu, sokongan yang diberikan tidak terkata, daripada SPAO, klinik Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS)," tambahnya yang amat menghargai sokongan yang disediakan," kata Cik Siti.

Encik Hanafi (paling kanan) dan keluarga. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Untuk seorang lagi jemaah AQ Travel & Tours, Encik Muhammad Hanafi Mohd Sam, beliau juga memuji proses menunaikan Haji sebagai "teratur".

"Kita tinggal ikut sahaja jadi kita tidak perlu melakukan lebih. Jadi untuk jemaah hanya perlu mengikut aturan dan proses," menurut Encik Hanafi.

GOLONGAN MUDA BANTU JEMAAH YANG LEBIH BERUMUR

Dalam pada itu, dengan lebih ramai jemaah yang lebih berumur kali ini, iaitu berusia 65 tahun ke atas, ramai golongan muda seperti Encik Hanafi, menggalas tanggungjawab menjaga mereka.

"Kalau kita ikut sistem beratur MUIS, sebab ramai yang menunggu, saya rasa lebih ramai yang usianya agak meningkat jadi saya ini sebagai yang muda, perlu tolong orang-orang yang berusia sedikit," tambahnya.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Itu juga turut diperhatikan Ketua Rombongan, Nurhikmah Travel & Tours, Encik Osman Saad.

Antara cabaran yang para jemaah hadapi kali ini termasuk cuaca yang panas serta kesesakan.

"Dengan jumlah jemaah yang lebih banyak dapat pergi, suhu itu menjadi satu hambatan bagi kita untuk jalan jauh, tetapi kita selalu dibantu oleh orang-orang muda juga," kongsi Encik Osman.

KEMAJUAN DAPAT DILIHAT DALAM USAHA & PENGURUSAN PIHAK ARAB SAUDI

Berhubung dengan usaha dan pengurusan yang disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, Encik Osman melahirkan rasa syukur melihat "kemajuan" yang mereka sudah lakukan untuk mengelak daripada perkara-perkara yang tidak diingini.

"Mereka telah mengadakan kawalan trafik dan kawalan untuk pejalan kaki yang membuat (pergerakan) jemaah yang pergi dan keluar dari masjid, ke Arafah, ke Muzdalifah dan ke Mina semua lancar," kongsi Encik Osman kepada BERITA Mediacorp.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Para jemaah dari Nurhikmah Travel & Tours juga rata-rata akui bahawa segala perjalanan mereka di sana berjalan lancar.

"Saya dimasukkan ke hospital kerana terlalu panas tetapi Alhamdulillah mereka menjaga dengan rapi di sana. Arab Saudi dan doktor MUIS, sistemnya seperti di Singapura juga," ujar Encik Manisan Samsuri, 71 tahun.

SEDIH, PILU TAPI GEMBIRA TUNAIKAN HAJI MESKI TANPA SUAMI

Cik Samsirah (Kedua dari kiri) bersama keluarga. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Cik Samsirah Alias, jemaah pertama yang keluar dari pintu gerbang Terminal 3, merasa gembira bercampur hiba.

Beliau disambut dengan pelukan anak-anak dan cucunya tersayang.

"Perasaan itu macam sedih, pilu, suka-duka itu semua ada sebab sepatutnya pergi dengan suami tetapi suami sudah meninggal sebelum dapat pergi. Suami sakit barah dan meninggal dahulu, tiga tahun yang lepas" ujar Cik Samsirah.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan