Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Haji 2023: Kumpulan pertama jemaah Haji SG selamat berangkat ke tanah suci

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Seramai 1,216 jemaah Singapura dijadualkan mengerjakan ibadah haji musim ini.

Jumlah tersebut melebihi kuota asal 900 orang yang diperuntukkan kerajaan Arab Saudi.

Ini bererti Singapura mendapat kuota tambahan.

BERITAmediacorp sudah menghubungi pihak MUIS.

Bilangan 1,216 jemaah itu berdasarkan penjumlahan BERITAMediacorp daripada 11 GSA.

Ini termasuk jemaah Halijah Travel yang berangkat ke Jeddah siang tadi (8 Jun).

Mereka merupakan kumpulan pertama dari Singapura dan yang terakhir pula akan berangkat pada 24 Jun ini.

Kumpulan pertama itu selamat berlepas menuju ke Tanah Suci pada sekitar 4.25 petang tadi (8 Jun).

Rombongan itu terdiri daripada 34 jemaah dari Halijah Travels & Tours Pte Ltd.

Rombongan yang sudah berlepas hari ini menaiki penerbangan Scoot Airways.

Mereka menaiki penerbangan Scoot dan dijangka tiba di Jeddah pada sekitar jam 9 malam waktu tempatan dan kemudian akan meneruskan perjalanan ke Madinah.

Setibanya di Madinah, mereka akan menetap di Hotel The Oberoi.

TUNGGU PELUANG TUNAI HAJI LEBIH 10 TAHUN

Seawal sekitar 11.30 pagi, para jemaah, kaum keluarga dan saudara-mara rombongan Halijah Travels sudahpun memenuhi dewan keberangkatan di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.

Ini termasuk anggota keluarga pasangan jemaah Encik Suratman Suleiman dan isterinya, Cik Norhana Mohammed.

Peluang dapat menunaikan ibadah haji tahun ini disambut dengan penuh kesyukuran oleh mereka.

Encik Suratman memberitahu BERITAmediacorp bahawa mereka sepatutnya berangkat untuk menunaikan ibadah Haji pada 2020, namun ia tergendala disebabkan oleh COVID-19.

--

Tambahnya, beliau dan isterinya sudah menunggu peluang ini lebih 10 tahun lamanya.

"Kita dah lama tunggu untuk menunaikan ibadah Haji, rukun Islam yang kelima ini. Sangat gembira sekali dapat menjadi tetamu Allah. Jadi kita harapkan kita dapat melaksanakan dengan baik dan sempurna," kata Encik Suratman, 69 tahun.

Seperti Encik Suratman, Encik Umar Muhammad Nor juga meluahkan rasa bersyukur dapat menunaikan ibadah Haji.

Beliau memberitahu bahawa beliau sebenarnya pada awal tidak pasti sama ada masih ada peluang ataupun tidak memandangkan faktor usianya.

--

"Sujud syukur kerana sudah tunggu sepuluh tahun. Jadi Alhamdullilah akhirnya tahun ini kita dapat pergi. Kira tak terkatalah rasa gembira itu," menurut Encik Umar yang berusia 66 tahun.

Isterinya, Cik Kamisah Safari berkongsi bahawa beliau sepatutnya berangkat menunaikan Haji tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana baru menjalani pembedahan lutut.

BERANGKAT KE TANAH SUCI BERASINGAN DARIPADA ISTERI

Tidak seperti kebanyakan jemaah lain yang berangkat bersama pasangannya untuk menunaikan Haji bersama, Encik Mohamed Alfu Djuhari pula terpaksa berangkat berseorangan dari Singapura.

Walau bagaimanapun, beliau akan bertemu isterinya di tanah suci nanti.

Isterinya yang merupakan seorang warga Malaysia tidak dapat melakukan perjalanan ke Singapura untuk menghantarnya ke lapangan terbang kerana sudahpun menyerahkan pasport kepada agensi.

--

Isterinya akan berangkat dari Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Encik Alfu tetap terharu dan bersyukur kerana masih dapat bersama anak-anaknya yang menetap di Johor Bahru dan saudara-maranya di lapangan terbang hari ini.

"Saya berbesar hati kerana anak-anak dan adik-beradik saya meluangkan masa untuk melakukan perjalanan ke Singapura. Isteri saya tidak dapat datang kerana pasportnya dengan agensi," kata Encik Alfu kepada BERITAmediacorp.

Rombongan pertama jemaah Haji dari Halijah Travels ini mengambil pakej 27 hari dan dijadual pulang pada 4 Julai nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan