HAJI 2023: Kumpulan pertama jemaah haji SG kembali ke tanah air
SINGAPURA: Kumpulan pertama jemaah haji Singapura selamat kembali ke tanah air petang tadi (3 Julai).
Kumpulan seramai 101 jemaah itu merupakan sebahagian daripada jemaah syarikat Shahidah Travel & Tours dan TM Fouzy Travel & Tours.
Para jemaah selamat mendarat di Singapura pada sekitar 3.30 petang tadi dengan ahli keluarga dan saudara mara ghairah menanti kepulangan orang tersayang.
Mereka sudah berkumpul di Terminal 3 seawal pukul 2.00 petang lagi.
Ini termasuk anak saudara Encik Raja Ashraf Raja Khalif yang akhirnya dapat mengubati rindu terhadap bapa saudaranya.
Encik Raja Ashraf, 37 tahun, sempat mengongsikan pengalaman dan perasaan menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini setelah penantian lebih sedekad.
"Alhamdulillah saya rasa bersyukur yang mana dapat menunaikan haji setelah menunggu sekian lama dalam sepuluh tahun lebih kurang dan juga pada masa yang sama saya juga terharu melihat banyak yang muda dan juga yang tua ketika kita menjalankan ibadah Haji ini saling membantu satu sama lain," kongsi Encik Raja Ashraf.
Namun begitu, cuaca panas adalah antara cabaran utama yang harus dihadapi Encik Raja Ashraf.
"Keadaan kita di Arafah yang paling mencabar kerana cuaca begitu panas memang tepat, memang tidak sesuai untuk orang Singapura, tapi kita semua dapat berusaha untuk tolong satu sama lain. Itu yang membuat keadaan lebih baik insya-Allah," kata beliau.
Jemaah termuda Shahidah Travel & Tours pula, Nadeer Omar sempat berkongsi keterujaannya berada di Tanah Suci sepanjang lebih 20 hari.
"Perasaan saya gembira dapat pergi pada umur ini, 13 tahun, tidak ramai kanak-kanak dapat pergi ke Haji jadi Alhamdulillah dapat pergi ke Haji dan dapat beribadah. Saya sedikit gementar pada mulanya kerana tak banyak yang saya tahu tetapi lama-lama saya biasakan diri dalam program ini dan Alhamdulillah saya dapat tunaikan ibadah dengan ibu bapa dan kawan-kawan saya," kongsi Encik Nadeer Omar.
"Cuaca panas yang teramat sangat dan kami hanya duduk di dalam sahaja. Suhu di sana sekitar 45 darjah Celsius pada satu hari dan ramai pengsan dan jatuh sakit. Jadi ramai yang tidak dapat kerjakan ibadah dan terpaksa berehat di tempat penginapan, " tambahnya.
Seorang lagi jemaah, Encik Ismail Senin, 68 tahun, turut memberikan penghargaan kepada Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) kerana menjalankan tugas dengan baik.
Beliau turut menarik perhatian bahawa penyelenggaraan jemaah haji boleh dipertingkatkan.
"Perasaan macam biasa seperti orang islam ingin ke Makkah untuk membuat ibadah yang kelima tetapi cabaran dan penyengelaraan seluruhnya tidak baik. Tapi mereka cuba untuk memberi yang terbaik dengan suasana panas yang luar biasa, berhimpit-himpit. Saya rasa semua yang bergabung dalam melaksanakan ibadah Haji ini masih boleh lakukan sesuatu untuk memperbaikinya tapi saya puji kepada SPAO. Melihat ke hadapan, saya harap pihak MUIS, pihak GSA bersama dengan kedutaan Arab Saudi dapat duduk balik dah lihat bagaimana untuk memperbaikinya," kata Encik Ismail Senin.
Cik Mariam Ashar, 59 tahun, yang mengikuti rombongan Shahidah Travel turut memberi penghargaan kepada pegawai-pegawai yang bertugas.
"Alhamdulillah saya amat gembira kerana tunggu berapa tahun dapat tunaikan haji pada tahun ini. Selagi saya dapat mengerjakan haji beramai-ramai dengan pegawai Shahidah, Alhamdulillah mereka membawa kita dengan yang terbaik. insya-Allah kalau ada rezeki insya-Allah kita akan pergi lagi," kata Cik Mariam Ashar.
Presiden baru PERGAS, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, merupakan antara jemaah dari rombongan TM Fouzy yang kembali petang tadi (3 Julai).
Para jemaah juga dapat membawa pulang air zam zam.
Dimaklumkan oleh pegawai TM Fouzy, rombongan jemaah haji terakhir agensi itu akan pulang ke Singapura pada 19 Julai ini bersama dengan Ustaz TM Fouzy dan 138 jemaah lain.
Kumpulan terakhir jemaah Singapura dijadualkan kembali ke tanah air pada 22 Julai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.