Skip to main content

Singapura

Haji 2023: Jemaah SG wukuf di Arafah; dalam keadaan selesa meski suhu cecah 44 darjah selsius

Sekitar 1,200 jemaah Singapura berhimpun di Padang Arafah bagi kemuncak dalam ibadah haji iaitu wukuf di Arafah sekitar pukul 6 petang tadi waktu Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Haji 2023: Jemaah SG wukuf di Arafah; dalam keadaan selesa meski suhu cecah 44 darjah selsius

(Gambar: Hahnemann Travel & Tours Pte Ltd)

BERITAmediacorp: Sekitar 1,200 jemaah Singapura berhimpun di Padang Arafah bagi kemuncak dalam ibadah haji iaitu wukuf di Arafah sekitar pukul 6 petang tadi waktu Singapura.

Pasukan perubatan Singapura (SPAO) turut turun padang untuk meninjau situasi dan merawat alahan-alahan yang lazim dialami para jemaah.

"Cuaca di Arafah mencecah suhu yang tinggi sepanjang dua hari kami berada di sini. Namun, kami mendapati rata-rata para jemaah kekal bersemangat meneruskan ibadah Haji mereka. Para GSA juga giat mengingatkan jemaah masing-masing untuk meminum air dengan kerap dan menjaga kesihatan diri.

"Kami memohon masyarakat Islam Singapura untuk mendoakan perjalanan Haji kami berjalan lancar dan selamat pulang ke pangkuan keluarga" kata Ketua Delegasi Jemaah Haji Singapura, Mohamed Sa'at Abdul Rahman.

JEMAAH SELESA BERIBADAH

Beberapa GSA yang dihubungi BERITAmediacorp berkata para jemaah Singapura disediakan khemah-khemah yang selesa di Arafah.

Pengarah urusan Noor Mohamad Services & Travel Ustazah Juyda Noor Mohamad berkata bahawa kesemua jemaah dalam keadaan sihat.

Mereka berkongsi khemah dengan jemaah Jalaluddin Travel & Services.

"Suasana kini, semua jemaah berada di khemah masing-masing yang telah disediakan oleh Masyariq 86. Rata rata jemaah semua sedang berzikir, bermunajat kepada Allah, zikir dan doa untuk wukuf. Insya-Allah, jemaah Singapura akan mula gerak dari Arafah ke Muzdalifah selepas Maghrib (waktu Arab Saudi). Alhamdulillah kali ini pihak Masyariq telah pun memberi jemaah batu untuk lontar jamrah," kata Ustazah Juyda.

Para jemaah Hahnemann Travel and Tours juga dalam keadaan selesa di khemah masing-masing.

"Alhamdulillah, jemaah Singapura, jemaah Hahnemann dalam keadaan sihat, sedang berwukuf dan mendengar khutbah. Insya-Allah keadaan di dalam khemah boleh lihat cukup dengan alat penghawa dingin dan tidak rasa panas walaupun cuaca di luar di antara 42 hingga 44 darjah Celcius. Alhamdulillah semua di dalam peliharaan Allah. Kita sangat sihat di sini," kata Pengarah Urusan, Hahnemann Travel and Tours Pte Ltd, Ustaz Ahmad Hahnemann Hj Abd Kadir.

Kesemua jemaah Singapura dijangka mula berangkat dari Arafah ke Muzdalifah selepas waktu Maghrib ataupun sekitar tengah malam waktu tempatan.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita