Skip to main content

Singapura

Haji 2023: 500 jemaah sertai program 'Get Fit For Haj' tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Keadaan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi menjadi sibuk sejak 1 tengah hari tadi (19 Jun) dengan anggota keluarga dan sanak-saudara jemaah haji berkumpul beramai-ramai. .

Ini bagi meraikan dan mendoakan keberangkatan 234 jemaah haji iaitu antara kumpulan terbesar jemaah dari Singapura tahun ini.

Jemaah haji dari tiga agensi iaitu Hahnemann Travel, Jalaluddin Travel dan TM Fouzy Travel itu berlepas ke Jeddah menaiki penerbangan Saudi Arabian Airlines.

Antara jemaah yang berangkat hari ini adalah pasangan Encik Mohd Nizam Ismail dan isterinya, Rohaida Satari.

"Saya rasa amat bersyukur sekali kerana penantian 11 tahun kita telah berakhir hari ini dan kami akan menunaikannya. Menunaikan rukun Islam yang kelima," kata Encik Mohd Nizam.

Bagi memastikan mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna, Encik Mohd Nizam berkata pelbagai persiapan yang telah dilakukan dari segi rohani, mental dan fizikal.

Antaranya termasuk menyertai program 'Get Fit For Haj'.

Cik Rohaida Satari berkata, "Saya rasa amat teruja dinanti-nantikan. Ini penantian yang lama dan tak sabar nak pergi tanah suci sebenarnya. Walaupun dah pergi umrah beberapa kali, tapi inilah ā€˜couple goals’ kita."

Perasaan serupa turut dirasakan oleh pasangan Encik Ahmad Abd Karim dan Norati Bakar.

Mereka juga sudah menunggu selama 11 tahun untuk mengerjakan Haji.

"Saya bersyukur Alhamdulillah. Sudah lama menunggu 11 tahun. Apabila dipanggil, amat bersyukurlah," ujar Cik Norati.

500 JEMAAH SERTAI 'GET FIT FOR HAJ'

Mereka antara 500 jemaah yang telah meraih manfaat daripada program 'Get Fit For Haj' bagi mempersiapkan diri dari segi fizikal.

Jumlah itu didedahkan oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli yang turut meluangkan masa untuk mengucapkan selamat jalan kepada para jemaah petang tadi.

"Alhamdulillah tahun ini juga kita mempunyai satu usaha yang baru di mana kita mahu para jemaah semua sihat sebelum mereka berangkat untuk menunaikan haji. Ini kerana Haji ini sangat fizikal dan juga tekanan mental dalam hari-hari Arafah umpamanya dan kami telah memberikan GSA dan HPB satu misi dan juga cara untuk meningkatkan lagi kesedaran mereka tentang perlunya kesihatan dan langkah-langkah untuk mendapatkan kesihatan yang baik sebelum mereka berangkat.

"Seramai 500 jemaah haji bermanfaat untuk dalam program ini dan kami harap pada tahun-tahun akan datang semua jemaah Haji dapat menunaikan Haji dalam keadaan sihat dan pulang lebih sihat lagi," kata Encik Masagos.

Dalam perbualannya dengan para jemaah, Encik Masagos juga mengingatkan mereka untuk jaga kesihatan lebih-lebih dengan keadaan cuaca dan kesesakan yang dijangka kembali seperti waktu sebelum pandemik.

Duta Arab Saudi ke Singapura, Abdullah Mohammed A. Almadhi turut hadir menyantuni para jemaah dan Presiden MUIS, Mohamed Sa'at Abdul Rahman yang juga berangkat ke tanah suci hari ini (19 Jun).

Beliau yang mengetuai delegasi jemaah haji tahun ini dan Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen mengiringi keberangkatan antara kumpulan terbesar jemaah haji Singapura itu.

Kumpulan terakhir jemaah Singapura dijadual berlepas Sabtu ini (24 Jun) dan rombongan pertama untuk pulang ke tanah air pula adalah pada 3 Julai nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita