Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Haji 2022: Rombongan pertama 98 jemaah Haji tahun ini berangkat ke tanah suci

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Rombongan pertama jemaah Haji dari Singapura berangkat ke tanah suci pada Sabtu (25 Jun).

Mereka terdiri daripada 47 jemaah Halijah Travels dan 51 jemaah Shahidah Travel and Tours. 

(Gambar: Syawal Yusoff)

Seawal 11 pagi, para jemaah, kaum keluarga dan saudara-mara rombongan Halijah Travels sudahpun memenuhi dewan keberangkatan di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.

Meskipun, penerbangan Scoot mereka dijadual bertolak pada 4 petang, para jemaah diminta datang awal untuk menghantar beg dan pemeriksaan dokumen mereka - khususnya sijil ujian tindak balas rantai polimerase (PCR).

(Gambar: Syawal Yusoff)

Prosesnya cukup teratur dengan dibantu sekitar 10 orang pegawai Halijah Travels dan Scoot.

Antara jemaah pertama yang melakukan 'check-in' adalah pasangan Encik Noordin Ahmad, 59 tahun dan isterinya, Cik Badariah Mohd Salleh, 56 tahun.

(Encik Noordin Ahmad dan Cik Badariah Mohd Salleh bersama tiga anak mereka. Gambar: Syawal Yusoff)

"Sudah tentu memang gembiralah sebab kita sudah tunggu 10 tahun dan inilah tiba masanya yang kita nanti-nantikan," kata Encik Noordin, seorang pemandu teksi. 

Apabila mendapat berita dijemput menunaikan Haji sekitar enam minggu lalu, ia sangat tidak dijangkakan pasangan itu.

(Cik Badariah Mohd Salleh. Gambar: Syawal Yusoff)

"Kira terperanjat juga sebab apa pun kita dapat pada saat akhir kan? Jadi macam terperanjat, tak sangka, kira teruja jugalah," kata Cik Badariah, yang sebenarnya baru sahaja pulang dari menunaikan umrah pada Ramadan tahun ini.

Perasaan serupa turut dirasakan pasangan muda Encik Muhammad Khidhir Anwar dan isterinya, Cik Siti Naqiyah Redzwan, kedua-duanya berusia 32 tahun.

"Alhamdulillah, perasaan bercampur aduk tetapi pertama sekali terharu sebab sudah dijemput oleh Allah swt ke tanah suci Makkah," kata Encik Khidhir.

(Encik Muhammad Khidhir Anwar mendakap anak perempuannya. Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya pun terharu dan doakan mudah-mudahan kita dapat Haji yang mabrur insya-Allah," kata Cik Siti Naqiyah.

Lebih menggembirakan mereka lagi, impian Encik Khidhir untuk mengerjakan haji bersama ibu bapanya tercapai apabila orang tuanya juga dipilih untuk ke tanah suci apabila tambahan kuota Haji diumumkan.

Mereka dijangka berangkat bersama rombongan Shahidah Travel & Tours pada Khamis (30 Jun).

TIDAK MENGAMBIL JEMAAH DARIPADA KUOTA TAMBAHAN

Dalam musim haji kali ini, Halijah Travels bakal membawa seramai 102 jemaah dalam dua rombongan berasingan.

Prihatin akan jemaah yang kemungkinan tidak cukup membuat persiapan, syarikat itu mengambil keputusan untuk tidak menerima jemaah baru setelah ada tambahan kuota. 

(Gambar: Syawal Yusoff)

Para jemaah yang berangkat hari ini (25 Jun) dijangka akan berada di tanah suci selama 25 hari.

Setibanya sampai di Makkah, mereka akan menginap di Makkah Hotel & Towers.

Para jemaah akan mengerjakan Haji Tamattuk iaitu mengerjakan umrah dahulu sebelum berangkat ke Mina pada 7 atau 8 Zulhijjah.

Pihak BERITAmediacorp juga dimaklumkan bahawa jemaah juga akan dibenarkan untuk menunaikan umrah tambahan sepanjang mereka berada di sana. 

(Gambar: Halijah Travels)

BAGAIMANA JIKA ADA JEMAAH POSITIF COVID-19 DI SANA?

Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, menekankan bahawa keselamatan para jemaah menjadi keutamaan syarikat itu.

"Kami galakkan jemaah untuk mendapat rehat secukupnya lebih-lebih lagi untuk menyesuaikan diri dengan cuaca, perubahan waktu, aktiviti dan rutin baru seperti solat di Masjidil Haram setiap waktu," kata Encik Haffidz.

"Pakai pelitup muka untuk menjaga tahap kesihatan sendiri serta jemaah lain," tambahnya. 

(Encik Haffidz Abdul Hamid (berbaju biru) bersama para pegawai yang membantu dalam keberangkatan hari ini. Gambar: Syawal Yusoff)

Ditanya apakah langkah-langkah yang bakal diambil sekiranya jemaah dijangkiti COVID-19 semasa di sana, Encik Haffidz menjelaskan:

"Kalau mereka dijangkiti COVID-19 namun gejalanya ringan, jemaah akan berehat di hotel. Kami akan berurusan dengan Muassasah di sana supaya jemaah masih boleh melakukan wukuf."

"Sekiranya gejala mereka teruk dan memerlukan rawatan lanjut di hospital, pihak berkuasa Saudi akan membantu menguruskannya," tambahnya.

(Suasana di Terminal 3, Lapangan Terbang Changi. Gambar: Nursha Ismail)

Menyusuli rombongan pertama dari Singapura ini, lagi 51 jemaah dari syarikat Shahidah Travel & Tours pula berangkat ke tanah suci pada sebelah malam. 

Mereka bertolak daripada Terminal 3 Lapangan Terbang Changi menaiki penerbangan Saudi Airlines yang dijadual berlepas pada jam 8.45 malam. 

(Gambar: Nursha Ismail)

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan