Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Haji 2022: Kesemua 493 tempat tambahan untuk S'pura diisi sepenuhnya

Kesemua 493 tempat tambahan yang ditawarkan kepada Singapura untuk musim haji tahun ini sudah diisi sepenuhnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Haji 2022: Kesemua 493 tempat tambahan untuk S'pura diisi sepenuhnya

Bakal jemaah haji 2022, Encik Rohaizad Ibrahim dan isterinya Faridah Edin. (Gambar: Rosli A Razak/BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Kesemua 493 tempat tambahan yang ditawarkan kepada Singapura untuk musim haji tahun ini sudah diisi sepenuhnya.

Demikian kongsi Presiden ejen-ejen pelancongan Islam Singapura (AMTAS), Ustaz Tengku Mohd Fouzy kepada BERITAmediacorp pada Jumaat (24 Jun)

Dalam pada itu, kumpulan pertama jemaah Singapura dijadual berangkat esok.

Mereka terdiri daripada jemaah Shahidah Travel dan Halijah Travels.

Dalam kalangan 51 jemaah Shahidah Travel yang berangkat esok ialah suami isteri Encik Rohaizad Ibrahim dan isterinya Faridah Edin.

Mereka menunggu hampir 10 tahun untuk menunaikan rukun Islam ke lima.

Memandangkan COVID-19 belum lagi berakhir, pasangan itu gigih memastikan kesihatan mereka terjaga sebelum berangkat.

Mereka juga membawa bekalan seperti pelitup dan pembasmi kuman yang mencukupi untuk digunakan sepanjang tempoh mereka di tanah suci.

"Kita ikut SOP yang ada. SOP yang ada seperti pakai pelitup, hand sanitizer ni semua kita masih amalkan jua, kita jaga keselamatan kita, untuk orang sekeliling kita pun," kata Encik Rohaizad, 61 tahun.

Seorang lagi jemaah adalah Encik Muslim Sutan Mangkuto.

jemaah haji
(Gambar: Rosli A Razak/BERITAmediacorp)


"Saya ini ada rasa cemas sama ada dapat berangkat atau tidak apabila dah jalankan PCR nanti. GSA kita pun ada kasi alternatif. Siapa yang positif diberi waktu lebih kurang sehingga tanggal 3 Julai untuk berangkat, " kata Encik Muslim.

Antara syarat yang ditetapkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi ke atas jemaah haji tahun ini adalah keputusan negatif ujian PCR tidak melebihi 72 jam sebelum keberangkatan ke negara itu.

Encik Muslim dapat menarik nafas lega selepas diuji negatif.

Walau bagaimanapun, isterinya disahkan positif.

"Saya dapat maklum balas ada dua jemaah yang positif dan kami sedang pantau. Kami berikan bantuan sokongan. Mereka akan ikut protokol Singapura. Mereka akan buat lagi selepas 72 jam," dedah Pengarah urusan Shahidah Travel, Encik Ayob Angullia.

Menurut Encik Ayob, syarikatnya kini sedang giat membuat persiapan perjalanan untuk lagi 105 jemaah baru yang mengisi tempat tambahan yang ditawarkan kepada Singapura awal minggu ini.

Antaranya, Encik Mohamed Sophian Ninawi sekeluarga.

"Kita tidak sangka kerana sudah lama berniat untuk menunaikan haji. Saya memohon untuk kami sekeluarga. Kalau sudah mendapat peluang terus kami ambil. Saya ambil pakej 18 hari, " kongsi beliau.

Bagi Encik Husin Shah dan isterinya Cik Rahimah pula, ia satu peluang keemasan selepas pada awalnya kecewa tidak disenaraikan dalam kumpulan 407 jemaah yang diumumkan sebelum ini.

"Majikan saya memberi sokongan dan membenarkan saya mengambil cuti selama tiga minggu cuti," kata Enck Husin.

Menurut Encik Ayob, memandangkan waktu persiapan amat singkat, pihak Shahidah Travel menganjurkan program manasik haji dan kursus kilat untuk pada bakal jemaah.

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan