Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Haji 2022: 5 nasihat bagi para jemaah Haji yang pulang ke S'pura dan keluarga mereka

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Rombongan pertama jemaah haji Singapura dijangka pulang ke tanah air pada Sabtu ini (16 Jul).

Pelaksanaan rukun Islam kelima yang menyaksikan sekitar 1 juta jemaah dari seluruh pelosok dunia itu merupakan antara perhimpunan manusia yang terbesar diadakan sejak pandemik COVID-19.

Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, memberi kemas kini bahawa setakat Rabu (13 Jul), lebih 70 jemaah haji Singapura dijangkiti COVID-19 di sana.

Lantaran itu, semua orang termasuk jemaah sendiri dan ahli keluarga dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah berwaspada bagi mengurangkan risiko penularan lanjut koronavirus.

Doktor perubatan Klinik Banyan dan anggota Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA), Dr Elly Sabrina berkongsi lima cara yang sama-sama boleh dilakukan para jemaah dan anggota keluarga bagi memastikan keselamatan semua.


(Dr Elly Sabrina, Gambar: Banyan Clinic)

Dr Elly juga pernah menjadi sebahagian daripada pasukan kesihatan haji Singapura pada 1996.

1. SEGERA LAKUKAN UJIAN ART

Para jemaah haji yang bakal pulang ke tanah air dinasihatkan untuk segera melakukan Ujian Pantas Antigen (ART) sebaik tiba di Lapangan Terbang Changi, lebih-lebih lagi sebelum berjumpa dengan sanak saudara yang datang untuk menjemput mereka pulang. 

Menurut Dr Elly, ini penting kerana risiko untuk dijangkiti COVID-19, selepas kembali dari perhimpunan besar seperti haji adalah tinggi.

Walaupun negatif pada ujian hari pertama, para jemaah juga dinasihati supaya terus memantau kesihatan mereka dan lakukan ART selama lima hari selepas pulang ke Singapura.

“Pastikan bahawa anda negatif sebelum bergaul dengan saudara-mara dan sahabat handai,” jelas Dr Elly.

Awal minggu ini juga, Encik Masagos yang juga merupakan Menteri Kedua Kesihatan mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) akan memberikan kit-kit ART secara percuma kepada kesemua 890 jemaah. 

2. HADKAN JUMLAH ORANG DATANG MENJEMPUT DI LAPANGAN TERBANG

Bagi anggota keluarga para jemaah haji yang sudah amat merindukan kepulangan orang tersayang selepas berminggu-minggu tidak bersua, mereka juga dinasihatkan untuk kekal berwaspada.  

Dr Elly berkata adalah baik jika mereka dapat mengehadkan jumlah orang yang menjemput jemaah di lapangan terbang bagi mengurangkan risiko penularan. 

“Untuk memelihara kesihatan, elakkan daripada berinteraksi secara rapat. Mungkin jangan terlalu banyak cium di pipi atau mempunyai kontak yang rapat.

“Boleh bersalaman tapi saya rasa jangan berpeluk. Setakat ini (tiba di Singapura), kita belum tahu sama ada diri kita positif atau negatif untuk COVID-19,” jelas Dr Elly.

Menurut beliau, langkah pencegahan itu sebaik-baiknya diamalkan untuk lima hari sedang kesihatan jemaah haji yang baru pulang itu dipantau.

3. SENTIASA MEMAKAI PELITUP MUKA

Dr Elly juga berpesan supaya para jemaah sentiasa memakai pelitup muka lebih-lebih lagi apabila berada dalam kenderaan yang sama dengan anggota keluarga lain yang menjemput mereka pulang. 

 “Mungkin buka tingkap kereta atau teksi untuk mengurangkan risiko jangkitan,” tambahnya.

Menurut MOH, pemakaian pelitup muka boleh mengurangkan penyebaran titisan cecair saluran pernafasan yang lazimnya boleh menyebabkan penularan COVID-19. 

4. ELAKKAN MAJLIS KERAMAIAN ATAU KENDURI

Dr Elly turut mengingatkan para jemaah untuk sebaik-baiknya elak daripada menghadiri majlis-majlis keramaian ataupun menganjurkan majlis kenduri.

“Ini adalah untuk kaum keluarga dan juga sahabat handai yang khuatir mendapatkan jangkitan COVID-19 daripada diri anda (jemaah) jika anda positif." kata beliau. 

5. PANTAU KESIHATAN DAN JUMPA DOKTOR

Sekiranya seseorang jemaah mengalami gejala-gejala termasuk demam, batuk dan selesema tetapi ujian ART mereka negatif, mereka juga dinasihatkan agar jangan bersikap sambil lewa.

“Ini barangkali kuman-kuman yang lain seperti kuman radang paru-paru. Jadi jangan rasa jika anda negatif COVID-19, anda tidak akan dijangkiti oleh penyakit lain. 

“Buatlah temu janji dengan doktor keluarga anda sebelum anda pergi berjumpa dengannya. Beritahu anda baru pulang daripada Arab Saudi dan negatif untuk ujian COVID-19 supaya mereka dapat memeriksa anda dengan baik,” kata Dr Elly.

Para jemaah yang bakal pulang pada Sabtu (16 Jul) adalah mereka yang mengambil pakej pendek 18 hari dengan Shahidah Travels & Tours dan 14 hari dengan GSA konsortium yang dipimpin oleh TM Fouzy Travel & Tours.   

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan