Haig Road Putu Piring tutup 2 cawangan dalam masa 4 hari
Kedai Haig Road Putu Piring di Tristar Complex, Onan Road. (Gambar: Instagram/Haig Road Putu Piring/terserahdannyvina)
Cawangan-cawangan itu terletak di Haji Lane Food Corner dan Tristar Complex di Onan Road, yang masing-masing ditutup pada 26 April dan 29 April.
Ini bermakna hanya tiga cawangan Haig Road Putu Piring yang masih terus bertahan, iaitu Mr Teh Tarik di Pasar Geylang Serai, Pusat Penjaja Haig Road dan Century Square.
Haig Road Putu Piring membuat pengumuman mengenai penutupan itu di laman media sosialnya baru-baru ini.
Dalam catatannya di laman Instagram, ia menyatakan bahawa langkah untuk menutup cawangan di Onan Road itu adalah satu "keputusan sukar".
"Menutup cawangan ini bukanlah satu keputusan yang mudah. Namun selepas menilai prestasi keseluruhannya dengan teliti, kami terpaksa membuat keputusan sukar untuk melangkah ke hadapan.
"Walaupun pelbagai usaha pemasaran dan promosi telah dilakukan, lokasi ini mempunyai cabaran tersendiri yang menyukarkannya untuk dikekalkan dalam jangka panjang."
Cawangan di Tristar Complex di Onan Road juga merupakan yang paling lama beroperasi sejak Mac 2009, menurutnya.
"Sepanjang 17 tahun di sini, kami juga menyaksikan kedai kopi ini melalui lima pengendali berbeza sejak kami mula beroperasi - satu gambaran bagaimana landskap di sekeliling kami telah banyak berubah," tambahnya.
Haig Road Putu Piring juga melahirkan penghargaan kepada para pelanggan setianya yang "menjadi sebahagian daripada perjalanan ini".
"Sokongan, kenangan dan kesetiaan anda amat kami hargai.
Apabila satu bab berakhir, bab baharu bermula. Insya-Allah, kami berharap dapat terus berkhidmat kepada anda dalam cara dan di lokasi yang baharu," kongsinya.
PERNIAGAAN WARISAN YANG TURUN-TEMURUN
Sebelum ini, perniagaan turun-temurun itu bermula pada tahun 1930-an semasa moyang kepada pemilik sekarang, Nooraisha Mohammad Hashim, mula menjual putu piring di Lorong 1 Jalan Besar.
Beliau kemudian mengajar dan menurunkan kemahiran membuat putu piring kepada anak perempuannya, Mislama Basri, yang menjual kuih tradisional itu di Kampong Kapur dekat Sungei Road selepas Perang Dunia Kedua.
Cik Nooraisha kini mengendalikan perniagaan tersebut bersama suaminya, Mohd Nizam Iskandar.
Sebelum ini, Haig Road Putu Piring mendapat penilaian berprestij dari Panduan Michelin pada 2018, menjadikannya sebagai gerai penjaja Melayu/Islam setempat tunggal yang tersenarai dalam pengiktirafan di peringkat antarabangsa pada tahun tersebut.
Buku Panduan Michelin dari Perancis mengiktiraf para penjaja dan restoran yang menawarkan makanan bermutu tinggi pada harga yang berpatutan, di kota-kota utama dunia pada setiap tahun.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.