Skip to main content

Singapura

Hafizah Mahmud, Mis'Rohaiza Amin antara penerima Anugerah Presiden bagi Guru 2026

Lapan pendidik menerima penghormatan tertinggi dalam sektor pendidikan menerusi Anugerah Presiden bagi Guru 2026 atas dedikasi mereka dalam membimbing para pelajar.

Anggaran Waktu Membaca:
Hafizah Mahmud, Mis'Rohaiza Amin antara penerima Anugerah Presiden bagi Guru 2026

Cik Hafizah Mahmud (kanan) dan Cik Mis'Rohaiza Amin antara merupakan antara penerima Anugerah Presiden bagi Guru 2026. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nur Arina Ahmad Anis)

Diterbitkan : 03 Sep 2026 06:59PM
SINGAPURA: Lapan pendidik menerima penghormatan tertinggi dalam sektor pendidikan menerusi Anugerah Presiden bagi Guru 2026 atas dedikasi mereka dalam membimbing para pelajar.

Mereka menerima anugerah itu daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam di Fairmont Singapore petang tadi (3 Sep).

Lapan penerima berkenaan dipilih daripada 18 calon yang disenarai pendek, selepas lebih 5,000 pencalonan diterima tahun ini.

Presiden Tharman berkata dedikasi mereka menunjukkan betapa besarnya peranan guru dalam membentuk peribadi dan hala tuju generasi akan datang.

CIK HAFIZAH UTAMAKAN KEPERLUAN PELAJAR

Salah seorang penerima anugerah tahun ini ialah Cik Hafizah Mahmud dari Sekolah Rendah Si Ling.

Meskipun sudah 20 tahun berkecimpung dalam bidang pendidikan, beliau terus meneroka kaedah baharu untuk membantu anak didiknya belajar dengan lebih baik.

Sebagai guru Bahasa Inggeris dan Matematik, Cik Hafizah juga sentiasa berusaha memahami kesukaran yang dihadapi setiap pelajarnya dan mencari cara yang sesuai untuk membantu mereka.

"Jika murid saya tidak boleh membaca dengan lancar, saya akan cuba meneliti apakah kesukaran (yang dihadapi). Ada kemungkinan anak murid itu tidak memahami bunyi huruf-huruf," kongsi Cik Hafizah.

"Jadi saya saya tidak boleh terus memberikan anak murid saya satu perenggan untuk membaca. Mungkin saya harus memberikan beliau peluang untuk melatih bunyi yang berkaitan dengan huruf-huruf itu," tambah beliau.
Related article image
Cik Hafizah Mahmud antara dinobatkan dengan Anugerah Presiden bagi Guru 2026. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nur Arina Ahmad Anis)
Cik Hafizah turut memberi perhatian kepada usaha membina keyakinan diri para pelajarnya.

Beliau misalnya memberi mereka peluang untuk menabur bakti kepada masyarakat, sekali gus membantu mereka menghayati nilai-nilai murni.

"Kita mulakan dengan memberi kata-kata dorongan atau penghargaan kepada para pegawai di sekolah. Jadi mereka menunjukkan penghargaan kepada para pegawai seperti pegawai sekuriti dan makcik-makcik kantin," jelas Cik Hafizah.

"Mereka boleh buat perkara yang kita nampak mudah tetapi sebenarnya memberi kesan kepada mereka."

MIS'ROHAIZA AMIN PENDIDIK JURURAWAT PERTAMA DIIKTIRAF

Seorang lagi pendidik yang diiktiraf ialah Cik Mis'Rohaiza Amin, 45 tahun, dari Politeknik Ngee Ann. Beliau merupakan pendidik pertama dalam bidang kejururawatan yang menerima Anugerah Presiden bagi Guru.

"Sejujurnya saya tidak menjangkakan untuk dinobatkan anugerah ini. Bagi saya ini adalah satu pencapaian yang besar dan bermakna untuk semua pendidik dalam jurusan kejururawatan," luah Cik Mis'Rohaiza kepada BERITA Mediacorp.
Related article image
Cik Mis’Rohaiza Amin antara yang dinobatkan dengan Anugerah Presiden bagi Guru 2026. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nur Arina Ahmad Anis)
Apabila ditanya tentang prinsip yang selalu diterapkan dalam diri para pelajarnya, Cik Mis'Rohaiza berkata beliau menitikberatkan dua perkara, iaitu kecekapan dan belas ihsan.

Menurutnya, amat penting bagi jururawat untuk mendengar rintihan pesakit dan berada di sisi mereka.

Sebagai pensyarah kanan dan ketua program, beliau turut berusaha memperkaya pengalaman pembelajaran para pelajarnya.

Sebagai contoh, beliau menghasilkan simulasi 'Mixed Reality HoloLens' yang menyerupai persekitaran klinikal sebenar. Menerusi simulasi itu, para pelajar dilatih untuk membuat keputusan dengan yakin meskipun berdepan situasi tertekan.

Cik Mis'Rohaiza juga membimbing para pelajarnya menyertai projek 'Leap for Hospices' untuk meningkatkan kesedaran tentang hospis dan penjagaan paliatif, di samping membantu mengumpul dana sebanyak S$90,000.

"Mereka belajar mengenai apakah itu empati, untuk berada di sisi pesakit di penghujung hayat mereka," kata beliau lagi.

Mengulas lebih lanjut tentang pengiktirafan yang diterima hari ini, Cik Mis'Rohaiza berharap ia dapat memberi inspirasi kepada pendidik lain dalam bidang kejururawatan.

Beliau turut berkongsi nasihat agar para pendidik terus belajar dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

"Jangan menjadi guru atau pendidik yang 'sempurna'. Setiap pendidik harus memiliki sifat ingin tahu dan sentiasa belajar," ujarnya.

"Kita mempunyai pelajar dari latar belakang berbeza dan juga teknologi baru. Jadi sebagai pendidik, kita harus sentiasa memastikan kita tidak ketinggalan dengan apa yang berubah di sekitar kita."

Berikut senarai penuh penerima Anugerah Presiden bagi Guru 2026:
 
  1. Go Jun Hong, Sekolah Menengah Woodgrove
  2. Goh Min Min Linda, Sekolah Rendah Greenwood
  3. Hafizah Mahmud,Sekolah Rendah Si Ling
  4. Kamalavani d/o Palaiyan, Maktab Rendah Anderson Serangoon
  5. Khoo Lilin, Maktab Rendah St Andrew's
  6. Mis’Rohaiza Amin, Politeknik Ngee Ann
  7. Ong Xuan Wan, Sekolah Rendah Dazhong
  8. Shamim Akhtar, Politeknik Temasek
Sumber : BERITA Mediacorp/NA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita