Hady Mirza, Rahimah Rahim persembahkan lagu, genre baharu dalam Konsert Hari Kebangsaan Mediacorp dan Taman di Persisiran 2026
Konsert Hari Kebangsaan Mediacorp dan Taman di Persisiran 2026 bakal berlangsung di The Meadow. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)
SINGAPURA: Menjelang Konsert Hari Kebangsaan Mediacorp dan Taman di Persisiran pada Ahad (2 Ogos), para artis tanah air termasuk penyanyi Hady Mirza dan legenda muzik tempatan Rahimah Rahim giat membuat persiapan bagi persembahan masing-masing yang menjanjikan kelainan buat penonton.
Buat pertama kalinya, Hady Mirza akan bergandingan dengan penyanyi soprano Cherie Tse dalam persembahan lagu Bridge Over Troubled Water.
"Saya rasa yang menarik adalah saya rasa tak pernah membuat persembahan atau berduet bersama seorang yang mempunyai latar belakang opera. Jadi ia agak menarik sekali untuk saya," kata Hady kepada wartawan Fatyn Abdul Samad.
Beliau juga akan mempersembahkan single Melayu terbaharunya, Tempuh, yang membawa mesej kesetiaan, komitmen dan ketabahan.
Menurut Hady, lagu 'Tempuh' ditulis sekitar dua bulan lalu.
Beliau mencadangkan lagu tersebut kerana mesejnya bertepatan dengan tema ketabahan yang diketengahkan pada konsert tahun ini.
Edisi ke-8 konsert itu yang membawa tema "Menyemai Benih Masa Depan" mengajak penonton menghayati perjalanan sebutir benih yang disemai dengan harapan, dipupuk oleh generasi demi generasi dan berkembang menjadi impian masa hadapan.
RAHIMAH RAHIM BAKAL BERDUET DENGAN SHAK DALAM GENRE BAHARU
Legenda muzik tempatan Rahimah Rahim pula akan bergandingan dengan penyanyi generasi baharu Shak menerusi lagu 'I Still Haven't Found What I'm Looking For'.
"Setiap tahun saya diberi cabaran untuk mempersembahkan lagu-lagu pilihan mereka. Kali ini mereka pilih lagu untuk saya berduet dengan Shak. Jadi saya berasa macam ini satu genre yang mencabar sebab saya tak nyanyi lagu-lagu macam ini. Sebagai artis kita selalu komited dan menyahut cabaran untuk membuat lagu-lagu yang dipilih," kata Rahimah.
Rahimah turut berkongsi bahawa beliau pernah bekerjasama dengan Shak semasa 'Singapore Day' di London pada 2018.
"Ini kali kedua kita berjumpa semula selepas bertahun-tahun. Saya rasa terharu dan juga teruja nak buat persembahan ini," tambah beliau.
Selain Hady Mirza dan Rahimah Rahim, konsert itu juga menampilkan barisan artis popular dan bakat baharu tempatan seperti Rahila Rashun dan Benjamin Kheng.
Tahun ini, konsert akan membuka tirainya dengan cerita yang disampaikan oleh Muhammad Khalif Khair Abdullah, 8 tahun, yang mengisahkan perjalanan sebutir benih bercahaya.
Khalif, yang merupakan pelajar Program Junior di Pusat Rainbow Sekolah Yishun Park, sebelum ini turut menyumbangkan suaranya bagi pengumuman stesen SMRT sempena Kempen Voices sempena Bulan Kesedaran Autisme Sedunia.
Pengumuman itu dimainkan di semua stesen SMRT dari 10 hingga 12 April lalu bagi menggalakkan pengalaman perjalanan yang lebih inklusif.
Konsert Hari Kebangsaan Mediacorp dan Taman di Persisiran akan bermula pada 7.45 malam di The Meadow, Taman di Persisiran pada Ahad (2 Ogos).
Sebelum itu, pelbagai aktiviti mesra keluarga juga akan disajikan bagi meraikan semangat kebersamaan rakyat Singapura seawal jam 4.30 petang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.