Skip to main content

Singapura

Hadirin acara tampil 'berwajah hitam', UOL Group mohon maaf

Anggaran Waktu Membaca:
Hadirin acara tampil 'berwajah hitam', UOL Group mohon maaf

(Gambar: TikTok/summer88959; UOL and PPHG)

Diterbitkan : 25 Nov 2024 08:39PM Dikemas Kini : 25 Nov 2024 08:43PM
SINGAPURA: UOL Group (UOL) telah mengeluarkan permohonan maaf selepas video TikTok yang menunjukkan sekumpulan hadirin berwajah hitam pada majlis makan malamnya mencetuskan kritikan online.

Dimuat naik pada Ahad (24 Nov) oleh pengguna @summer88959, video itu telah mendapat lebih 26,000 tontonan setakat 6.30 petang Isnin (25 Nov).

Ia menunjukkan sekumpulan lapan hadirin yang berwajah hitam sedang bergambar. Mereka juga memakai rambut palsu afro hitam, cermin mata hitam dan pakaian gaya retro 1980-an.

Tertera di video itu: “Emmm … macam itu akan (dihukum) atau tidak?”

Kumpulan itu menghadiri majlis makan malam tahunan oleh UOL dan Pan Pacific Hotels Group, yang merupakan anak syarikat UOL, dengan tema 'The Rhythm of the Night'.

Ia telah diadakan pada 14 November di Sands Grand Ballroom di Marina Bay Sands.

Sebagai memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp, jurucakap UOL berkata ia sedia maklum tentang kejadian itu.

"Kami memohon maaf atas sebarang kesalahan yang mengguris perasaan," kata jurucakap UOL itu.

Kumpulan Pan Pacific Hotels telah mengalihkan pertanyaan Mediacorp kepada UOL.

Video TikTok itu mendapat kritikan daripada warganet, yang mempersoalkan kewajaran tindakan kumpulan itu.

"Lapan orang dan tiada seorang pun berpendapat bahawa ia tidak wajar untuk melakukan ini," tulis seorang pengguna TikTok.

Komen lain berkata: “Ini mengerikan, tidak lucu. Sangat memalukan bagi mereka dan syarikat mereka jika mereka masih dibenarkan menyertai sambutan itu. Mereka perlu bertanggungjawab.”

Pada Julai lalu, seorang pelajar Raffles Institution (RI) berdepan tindakan disiplin selepas berpakaian sebagai pekerja penghantaran "berkulit hitam" pada Hari Keharmonian Kaum.

Pada tahun 2020, gambar lama sekumpulan pelajar RI berwajah hitam disebarkan semula di media sosial, menimbulkan tindak balas online.

Dalam gambar yang diambil pada 2016, seorang pelajar dipercayai memiliki keturunan Asia Selatan dikelilingi 10 orang lain yang memakai masker muka berwarna hitam.

Salah seorang bekas pelajar RI kemudian mengeluarkan permohonan maaf atas "tindakan bodoh dan bersifat perkauman".
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita