Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Hadiah $150 juta" sempena ulang tahun ke-50 untuk bangun tenaga kerja siap untuk masa hadapan

Temasek Holdings akan menyumbang S$150 juta untuk membina tenaga kerja yang lebih berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Temasek Holdings akan menyumbang S$150 juta untuk membina tenaga kerja yang lebih berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.

'Hadiah masyarakat' diberi nama 'T-Spring' itu selaras dengan objektif masyarakat Temasek untuk memajukan keupayaan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan pasaran yang berubah-ubah.

Ia diumumkan sempena ulang tahunnya yang ke-50 pada Selasa (25 Jun).

"Kami juga ingin memberikan bantuan kepada mereka yang berada dalam bahaya kehilangan pekerjaan dan terpaksa mencari pekerjaan baharu. Ini supaya kami dapat melatih mereka semula untuk kerjaya seterusnya. Dana S$150 juta ini saya harap akan membantu penduduk yang mungkin ketinggalan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik," kata Pengerusi Temasek Holdings, Encik Lim Boon Heng.

Hadiah itu, dengan kerjasama rakan kongsi, akan digunakan untuk meningkatkan kemahiran pekerja dalam sektor berisiko dan meningkatkan kebolehpasaran warga emas, orang kurang upaya dan individu dengan keupayaan neurologi yang pelbagai.

Ia juga akan menyediakan biasiswa untuk membangunkan saluran bakat yang kukuh dengan menambah baik akses kepada pendidikan tinggi, terutamanya bagi mereka daripada latar belakang yang kurang bernasib baik.

Tumpuan awal adalah kepada bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk menangani jurang kemahiran industri.

Akhir sekali, adalah menjalin lebih kerjasama dengan para pakar industri bagi memperdalamkan ekosistem kepakaran dan pengetahuan di Singapura.

LEBIH 500 KAKITANGAN SUMBANG TENAGA KEPADA MASYARAKAT

Dalam pada itu, Temasek Holdings turut meraikan ulang tahunnya dengan menganjurkan acara 'Hari Masyarakat' yang memberi peluang kepada kakitangannya menyumbang semula kepada masyarakat.

Dengan kerjasama Pusat Penuaan Aktif (AAC) Lions Befrienders, kakitangan Temasek menyingsing lengan untuk menyiapkan lukisan dinding di kolong blok 344 Clementi Avenue 5.

Usaha seperti itu dilakukan setiap tahun sejak 2008.

"Setiap tahun pada 25 Jun, kami membawa seluruh firma kami kepada masyarakat, untuk melakukan sesuatu untuk masyarakat. Ia adalah cara kami memberi kembali. Kami telah mendapat banyak manfaat daripada kemakmuran Singapura selama 50 tahun yang lalu dan kami harus bersedia untuk menyumbang kembali kepada masyarakat," kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Temasek Holdings, Encik Dilhan Pillay.

Selain Temasek Holdings, acara yang bermula dari 10 pagi itu turut melibatkan kakitangan dari Temasek Trust, Yayasan Temasek, Temasek Trust Asset Management, dan Stewardship Asia Centre.

Lukisan mural itu dihasilkan dengan kerjasama pertubuhan seni bukan mencari untung Temenggong Artists-In-Residence.

Ia melibatkan para pelajar berkeperluan khas dari Sekolah Yayasan Palsi Serebrum Singapura (CPASS) dan Sekolah Pathlight yang menyumbangkan idea kepada rekaan mural yang bertemakan bunga-bungaan itu.


(Gambar: Syawal Yusoff)

Antara yang menyumbang idea ialah Adam Rezqi Bin Muhamad Reduan, 10 tahun yang menghidap 'Muscular Dystrophy'.

"Kami mahu mempamerkan para pelajar yang berbakat dan kami berpendapat Adam ialah salah seorang pelajar yang sangat berbakat, dan bukan hanya untuk menjadikan inklusiviti sebagai pilihan, seperti sebenarnya mereka seperti kita semua.

"Jadi tidak ada sekatan terhadap kreativitinya jadi dia melukis apa sahaja yang dia suka dan kemudian ia adalah apa yang kami mahukan, sangat spontan," kata Pentadbir Seni, Cik Reis Lee.

500 kakitangan yang terlibat dalam usaha itu juga membantu membersihkan rumah-rumah warga emas di flat-flat satu bilik dalam kawasan Chinatown, sertai inisiatif menanam pokok dan menganjurkan lawatan pembelajaran bersama para pelajar Sekolah Northlight.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan