Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Had yuran prasekolah disokong Pemerintah diturunkan mulai 1 Jan 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Had yuran prasekolah disokong Pemerintah diturunkan mulai 1 Jan 2023

Gambar fail seorang guru prasekolah (Gambar: AFP)

SINGAPURA: Had yuran di kesemua prasekolah yang disokong Pemerintah akan diturunkan mulai 1 Januari tahun depan, umum Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli pada Sabtu (29 Okt).

Gaji para guru pendidikan awal kanak-kanak yang mengajar di prasekolah yang disokong Pemerintah juga akan dinaikkan antara 10 peratus hingga 30 peratus. Guru-guru dengan prestasi yang lebih baik akan menerima kenaikan gaji yang lebih besar, tambah Encik Masagos.

Semasa berucap di acara Sambutan Pendidikan Awal Kanak-Kanak 2022, Encik Masagos berkata: "Dengan kenaikan gaji para pendidik, sesetengah ibu bapa mungkin bimbang ia akan menyebabkan yuran prasekolah lebih mahal, lebih-lebih lagi di tengah-tengah inflasi yang kian meningkat.

"Ibu bapa tidak perlu bimbang. Kami akan memastikan prasekolah yang disokong Pemerintah akan menjadi lebih dimampui."

Mulai 1 Jan 2023, had yuran tajaka sepanjang hari di pusat-pusat pengendali utama dan pengendali rakan kongsi masing-masing akan diturunkan sebanyak S$40 kepada S$680 dan S$720 sebulan, tidak termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menurut
Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) dalam kenyataan medianya.

Had yuran asuhan bayi sepanjang hari juga akan diturunkan sebanyak S$40 kepada S$1,235 dan S$1,290 bagi pusat-pusat pengendali utama dan pengendali rakan kongsi, tidak termasuk GST.

Had yuran tadika bagi pusat-pusat pengendali utama akan dikurangkan antara S$10 hingga S$150 sebulan, tidak termasuk GST.

Ini merupakan kali pertama had yuran bagi pusat-pusat pengendali utama disemak sejak ia diperkenalkan pada 2014. Kali terakhir yuran bagi pusat-pusat pengendali utama diturunkan adalah pada 2021.

Dengan pelaksanaan had yuran, pusat-pusat pengendali rakan kongsi dan pengendali utama tidak boleh menetapkan yuran yang melebihi had-had tersebut.

Sekitar 100,000 kanak-kanak rakyat Singapura akan meraih manfaat daripada had yuran yang diturunkan, menurut ECDA.

"Seperti yang diumumkan pada 2019, sasaran kami adalah untuk menurunkan yuran tadika sepanjang hari di prasekolah disokong Pemerintah, supaya sebelum subsidi diberikan berdasarkan ujian kemampuan, keluarga-keluarga dwipendapatan akan membayar yuran sekolah rendah campur yuran jagaan murid selepas waktu sekolah," ujar Encik Masagos.

Perbelanjaan Pemerintah bagi sektor pendidikan awal kanak-kanak meningkat dari S$1 bilion pada 2018 kepada S$1.8 bilion pada 2021, menurut ECDA dalam kenyataan medianya.

LEBIH BANYAK TEMPAT PRASEKOLAH

Selain had yuran yang diturunkan, ECDA akan bekerjasama dengan lima pengendali utama untuk menawarkan lagi 22,000 tempat prasekolah sepanjang hari, kata Encik Masagos.

Lima pengendali utama itu adalah PCF Sparkletots, My First Skool, MY World Preschool, Skool4Kidz dan E-Bridge Pre-school.

Di bawah skim pengendali rakan kongsi, terdapat 331 pusat yang diuruskan oleh 29 pengendali.

Dalam kalangan 22,000 tempat itu, sekitar 2,800 tempat akan diperuntukkan bagi asuhan bayi manakala sekitar 4,400 tempat akan diperuntukkan bagi kumpulan-kumpulan sepermainan, kata Encik Masagos.

"Kebanyakan daripadanya akan ditempatkan di estet-estet baru di mana terdapat ramai keluarga muda," tambah Encik Masagos.

"Sebagai contoh, ia mungkin ditempatkan di estet-estet baru seperti Punggol dan Sengkang, serta estet-estet matang dengan projek-projek BTO baru seperti Tampines dan Yishun," dedah jurucakap ECDA.

Tempat-tempat baru itu diperuntukkan bagi asuhan bayi dan kumpulan-kumpulan sepermainan untuk memenuhi permintaan yang meningkat bagi khidmat-khidmat prasekolah pada usia lebih muda, menurut kenyataan media ECDA.

Buat masa ini, sekitar sembilan daripada 10 kanak-kanak rakyat Singapura berusia antara tiga hingga enam tahun didaftarkan di prasekolah dan ECDA menyaksikan semakin ramai keluarga menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tersebut sebelum usia mereka menjangkau tiga tahun, menurut jurucakap ECDA.

"Disebabkan permintaan yang kian meningkat, keadaan prasekolah semakin sengit bagi kanak-kanak kecil, lebih-lebih lagi di projek-projek perumahan baru yang mempunyai lebih ramai keluarga muda," kata jurucakap ECDA.

"Pusat-pusat prasekolah baru juga mengambil masa untuk memperluaskan operasi asuhan dan tajaka, termasuk mengambil tenaga kerja yang diperlukan, sebelum ia mampu mencapai kapasiti penuh," jelas jurucakap ECDA.

ECDA mencatat kemajuan dalam usahanya untuk menambah jumlah tempat bagi prasekolah yang disokong Pemerintah bagi memastikan 80 peratus murid prasekolah boleh mendapat tempat di pusat-pusat prasekolah sedemikian menjelang 2025, naik daripada 60 peratus buat masa ini, kata Encik Masagos.

"Secara keseluruhannya, langkah-langkah itu akan menyumbang kepada persekitaran yang menyokong keluarga-keluarga. Apabila keluarga-keluarga mendapat akses kepada pendidikan prasekolah bagi anak-anak mereka dan berasa yakin terhadap kemampuan dan kualitinya," ujar Encik Masagos.
Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan