Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Had usia wanita SG pilih jalani pembekuan telur dinaikkan daripada 35 kepada 37 tahun jelang Julai

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 May 2023 07:00PM Dikemas Kini : 15 May 2023 08:58PM
SINGAPURA: Had usia bagi wanita di Singapura yang memilih untuk menjalani prosedur pembekuaan telur (EEF) akan dinaikkan daripada 35 kepada 37 tahun, apabila ia dilaksanakan menjelang 1 Julai.

Demikian menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (15 Mei).

Perubahan itu dibuat selepas satu semakan baru-baru ini dijalankan terhadap bukti tempatan dan antarabangsa, yang menunjukkan kadar kejayaan daripada prosedur pembekuan telur serta penggunaan telur tersebut kekal "agak stabil" bagi wanita berusia sehingga 37 tahun.

Buat masa ini, prosedur tersebut hanya dibenarkan bagi wanita yang mempunyai sebab-sebab perubatan, seperti barah, yang ingin memelihara kesuburan mereka.

Ini termasuk, misalnya, keadaan di mana rawatan yang diketahui menjejas kesuburan, atau keadaan di mana risiko barah rahim memerlukan ovari dan tiub fallopio dibuang.

Singapura mengumumkan pada tahun lalu bahawa wanita berusia 21 hingga 35 tahun boleh memilih untuk menjalani prosedur pembekuan telur.

Ini dilakukan selaras dengan Peraturan Khidmat Bantuan Kehamilan di bawah Akta Khidmat Penjagaan Kesihatan awal 2023

Dengan perubahan tersebut, wanita berusia 21 hingga 37 tahun akan boleh memilih unutk menjalani prosedur pembekuaan telur di sini.

Hanya pasangan yang sudah berkahwin boleh menggunakan telur yang dibeku untuk mendapatkan zuriat.

"Kajian sejauh ini menunjukkan bahawa kadar kejayaan menggunakan telur dari wanita berusia lebih 37 tahun terus merosot," kata kementerian tersebut.

Ketua jabatan perubatan reproduktif Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH),Profesor Madya Sadhana Nadarajah, menarik perhatian bahawa tahap kesuburan wanita merosot sedang mereka bertambah usia.

MOH menjelaskan bahawa ia akan terus memantau kedua-dua bukti tempatan dan antarabangsa untuk menilai had usia bagi prosedur pembekuan serta penggunaan telur.

"Pemerintah kekal komited dan akan terus menggalak dan menyokong warga Singapura untuk memperolehi impian mereka berumah tangga dan mendapat zuriat seawal mungkin," tambah kenyataan media pada Isnin.

Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling ditanya wartawan sama ada Pemerintah akan menimbangkan untuk membenarkan wanita yang belum mendirikan rumah tangga untuk menggunakan telur yang dibeku bagi mendapatkan zuriat pada masa depan.

Cik Sun berkata: "Pembekuan telur adalah satu pilihan yang boleh dibuat seorang wanita itu sendiri. Ia merupakan tisunya, dia boleh memilih untuk menderma, dia boleh memilih untuk menghapuskan tisu ini yang merupakan miliknya."

"Tetapi apabila ia berkaitan dengan mendapatkan zuriat, telur yang dibeku hanya boleh digunakan oleh pasangan dalam perkahwinan dan lantaran itu, kebenaran suami itu diperlukan."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan