Had saiz kumpulan, langkah jarak selamat dimansuhkan di sekolah: MOE

(Gambar: Facebook/Chan Chun Sing)
SINGAPURA: Had saiz kumpulan dan langkah jarak selamat dimansuhkan di semua sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IHL), meskipun pelitup masih diwajibkan dipakai di tempat-tempat tertutup.
Demikian menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Selasa (26 Apr).
Langkah itu diumumkan sedang langkah-langkah COVID-19 dilonggarkan pada Selasa (26 Apr), di mana SafeEntry dan TraceTogether tidak lagi diperlukan di kebanyakan tempat serta saiz kumpulan dan had kapasiti dimansuhkan.
Langkah-langkah Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) juga ditarik balik di semua tempat, kecuali di pusat makanan dan minuman (F&B) dan pusat hiburan malam serta acara-acara dengan lebih 200 peserta.
Menjawab pertanyaan media, MOE menyatakan pemakaian pelitup masih diwajibkan di tempat-tempat tertutup di sekolah dan IHL.
Pelitup boleh ditanggalkan di tempat-tempat tertutup di sekolah semasa menjalani pendidikan jasmani dan kelas drama dan pertuturan, bersukan, menyanyi, meniup alat muzik, menari dan juga kumpulan-kumpulan tertentu sewaktu kelas bahasa atau bacaan, menurut MOE.
Serupa dengan di IHL, individu-individu boleh menanggalkan pelitup mereka di luar untuk aktiviti-aktiviti tertentu seperti makan dan minum, sukan dan persembahan fizikal.
Para pelajar juga boleh mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan sekolah seperti Kegiatan Luar Darjah (CCA), Sukan Sekolah Kebangsaan dan Pesta Belia Singapura (SYF), tidak kira status vaksinasi mereka.
Untuk pertandingan sewaktu Sukan Sekolah Kebangsaan, sekolah-sekolah yang bersaing boleh menghantar penyokong untuk menyaksikan perlawanan peringkat separuh akhir dan akhir, tertakluk kepada kapasiti tempat berkenaan, menurut kenyataan MOE.
Ini kemudian akan diperluaskan untuk meliputi anggota keluarga dan penonton-penonton lain, menurut MOE.
Langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) juga akan dimansuhkan di IHL seiring dengan langkah-langkah yang diumumkan minggu lalu. Langkah-langkah itu hanya akan dikenakan ke atas acara-acara dengan lebih 500 peserta dan semasa menjamu selera di pusat-pusat F&B di kampus.
Aktiviti-aktiviti seperti kem MOE-Outward Bound Singapore Challenge dan kem kohort Pembelajaran Di Luar Kelas Darjah akan kembali diadakan secara bertahap-tahap mulai hujung Mei.
Di sekolah dan IHL, para pelajar dan kakitangan tidak perlu membuat pemeriksaan masuk dengan SafeEntry menerusi aplikasi TraceTogether.
"Walaubagaimanapun, para pelajar atau kakitangan amat digalakkan untuk mengekalkan aplikasi TraceTogether dalam telefon mereka dan/atau menyimpan alat peranti TraceTogether, supaya sekolah-sekolah boleh memperhebatkan pengesanan kontak jika perlu," menurut kenyataan tersebut lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.