Skip to main content

Singapura

Had pinjaman HDB lebih rendah dijangka galak sikap hemat, kawal harga flat jualan semula

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Aug 2024 02:33PM Dikemas Kini : 20 Aug 2024 08:50PM
SINGAPURA: Pinjaman maksimum daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) diturunkan demi menggalakkan peminjaman lebih berhemat, di samping mengurangkan permintaan dalam pasaran jualan semula perumahan awam yang lebih tinggi.

Demikian tegas Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Selasa (20 Ogos) selepas pihak berkuasa pada lewat Isnin mengumumkan langkah mengetatkan had nisbah antara pinjaman dengan nilai hartanah (LTV) bagi pinjaman rumah HDB.

"(Perubahan ini) dijangka berupaya mempengaruhi dan menstabilkan pasaran jualan semula, tetapi ayuh kita lihat dan pantau dahulu kesan langkah-langkah ini terhadap pasaran jualan semula secara keseluruhannya," kata Encik Lee.

Bermula 20 Ogos, had LTV akan diturunkan kepada 75 peratus. Ini bermakna, jumlah yang boleh dipinjam pembeli untuk membeli rumah akan menjadi lebih rendah - sehingga 75 peratus nilai flat berbanding 80 peratus sebelumnya.
Pinjaman maksimum daripada institusi kewangan kekal tidak berubah, iaitu pada paras 75 peratus.

Encik Lee menjelaskan bahawa langkah tersebut tidak akan menjejas kebanyakan pembeli yang mahu mendapatkan pinjaman HDB.

Ini memandangkan hampir 90 peratus pembeli rumah buat masa ini, membuat pinjaman pada nisbah LTV 75 peratus atau lebih kurang daripada itu.

Baki 10 peratus mengambil pinjaman HDB melebihi 75 peratus dan sehingga 80 peratus nilai flat yang dibeli.

Angkanya "tidak besar", tambah Encik Lee lagi.

"10 peratus (pembeli rumah) itu lazimnya membeli jenis flat lebih besar dan ini menjejas pasaran secara umumnya... Mereka juga biasanya membayar harga lebih tinggi," dedah Encik Lee sambil menambah bahawa harga median urus niaga bagi kumpulan ini mungkin S$20,000 hingga S$60,000 lebih tinggi berbanding yang lain, bergantung kepada jenis flat.

"(Menurunkan had LTV) bertujuan meredakan (pasaran) dengan mengawal permintaan bagi flat HDB lebih mahal dan besar dalam pasaran jualan semula HDB. Kami mahu mengawal harga (flat-flat sebegini) yang mempunyai kesan terhadap pasaran secara keseluruhannya," ujar Encik Lee.

Langkah terbaharu merupakan kali keempat langkah meredakan pasaran diperkenalkan sejak 2021.

Pemerintah menyatakan bahawa langkah-langkah yang dikuatkuasakan sebelum ini, mahupun bekalan flat BTO yang bertambah, sudahpun mengawal kenaikan harga flat jualan semula.

Pun begitu, harga jualan semula pada separuh pertama tahun ini melonjak lebih 4 peratus, dipacu permintaan kukuh dalam pelbagai segmen.

Encik Lee berkata permintaan dilihat daripada "semua kumpulan pembeli", sebahagiannya dirangsang kenaikan pendapatan yang kukuh sepanjang beberapa bulan yang lalu, serta kenaikan pada harga hartanah yang bermakna, lebih ramai pembeli rumah kali kedua kini ke pasaran jualan semula HDB untuk mendapatkan rumah lebih besar atau baik.

Selain itu, pasaran menyaksikan "semacam pengetatan" pada bekalan flat jualan semula sedang jumlah flat yang melepasi Tempoh Pendudukan Minimum (MOP) semakin berkurangan pada tahun ini.

Semua ini turut melibatkan "psikologi pasaran", tambah Encik Lee sambil menyebut penjualan flat jualan semula HDB pada harga rekod sebagai contoh.

Namun, flat HDB yang mahu dijual pada harga jualan semula sangat tinggi hanya "membentuk peratusan sangat kecil".
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita