Skip to main content

Singapura

Had pinjaman HDB diperketat; pembeli rumah kali pertama dapat geran lebih tinggi sehingga S$120,000

Anggaran Waktu Membaca:
Had pinjaman HDB diperketat; pembeli rumah kali pertama dapat geran lebih tinggi sehingga S$120,000

Flat HDB di Singapura. (Gambar fail: CNA/Calvin Oh)

Diterbitkan : 20 Aug 2024 01:57AM Dikemas Kini : 20 Aug 2024 02:10AM
SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Isnin (19 Ogos) mengumumkan beberapa langkah meredakan pasaran hartanah jualan semula dan untuk memberi lebih banyak sokongan kepada para pembeli rumah kali pertama yang berpendapatan rendah hingga sederhana.

Berikut kenyataan penuh MND dan HDB:

Berkuat kuasa dari 20 Ogos 2024, pukul 12.00 pagi, had nisbah antara pinjaman dan nilai hartanah (LTV) bagi pinjaman HDB akan diturunkan daripada 80 peratus kepada 75 peratus.

Ini menjadikan had LTV bagi pinjaman HDB sejajar dengan pinjaman yang dikeluarkan oleh institusi-institusi kewangan, yang kekal pada 75 peratus.

Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2024, Pemerintah akan menaikkan kuantum bagi Geran Perumahan CPF yang Dipertingkatkan (EHG) bagi flat-flat baharu dan juga jualan semula untuk membantu para pembeli rumah kali pertama.

EHG akan dinaikkan:
  • Sehingga S$40,000 bagi keluarga pembeli kali pertama, daripada jumlah maksimum geran sedia ada S$80,000 hingga S$120,000; dan
  • Sehingga S$20,000 bagi orang bujang pembeli kali pertama, daripada jumlah maksimum geran sedia ada S$40,000 hingga S$60,000.
Memandangkan permintaan berterusan, tinggi dan meluas bagi flat jualan semula HDB, langkah-langkah ini akan membantu meredakan pasaran dan menggalak pinjaman secara berhemat, sekali gus menjadikan perumahan lebih boleh dimampui bagi pembeli kali pertama yang berpendapatan rendah hingga sederhana.

LANGKAH TURUNKAN HAD LTV BAGI PINJAMAN HDB

Pemerintah sedang memantau rapi pasaran flat jualan semula HDB. Langkah-langkah meredakan pasaran yang dilaksanakan sebelum ini serta menambah bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) sudah membantu mengawal kenaikan harga flat jualan semula HDB.

Harga flat jualan semula HDB naik 4.9 peratus pada 2023, jauh lebih rendah berbanding 10.4 peratus pada 2022.

Sekalipun demikian, harga flat jualan semula masih meningkat lebih 4 peratus pada separuh pertama 2024. Ini didorong oleh permintaan tinggi dan meluas selain jumlah bekalan yang terhad kerana tidak banyak flat yang sudah mencecah Tempoh Penginapan Minimum pada tahun ini.

Untuk terus menstabilkan pasaran hartanah jualan semula dan menggalak para pembeli flat supaya membuat pinjaman berhemat, had LTV bagi pinjaman rumah akan diturunkan 5 peratusan mata daripada 80 peratus kepada 75 peratus. Had LTV yang diturunkan itu hanya bagi permohonan lengkap bagi flat jualan semula yang diterima oleh HDB pada atau selepas 20 Ogos 2024. Ini selain permohonan bagi BTO bagi penjualan BTO dalam bulan Oktober 2024 dan seterusnya.

Had LTV bagi pinjaman yang diluluskan oleh institusi-institusi kewangan kekal tidak berubah pada 75 peratus.

Para pembeli rumah kali pertama, terutama sekali keluarga berpendapatan rendah, tidak akan terlalu terjejas oleh had LTV yang diturunkan itu. Ini kerana mereka menerima jumlah lebih besar geran perumahan. Untuk memberi lebih banyak bantuan kepada pembeli rumah kali pertama berpendapatan rendah hingga sederhana, kami juga akan mempertingkat EHG.

EHG DIPERTINGKAT BUAT PEMBELI KALI PERTAMA FLAT BAHARU, JUALAN SEMULA

Diperkenalkan pada September 2019, EHG merupakan geran yang dilaksanakan ujian pendapatan, yang memberi sokongan tambahan kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah hingga sederhana yang membeli flat baharu atau jualan semula sebagai rumah pertama mereka.

Buat masa ini, keluarga dan orang bujang pembeli kali pertama, masing-masing boleh menerima EHG sehingga S$80,000 dan S$40,000.

Jumlah EHG itu ditetapkan berdasarkan pendapatan isi rumah, tanpa had kepada jenis flat dan lokasi.

EHG bersifat progresif supaya keluarga-keluarga berpendapatan rendah menerima lebih banyak sokongan bagi impian mereka untuk memiliki rumah.

Sejak diperkenalkan, sekitar 72,300 keluarga pembeli kali pertama sudah meraih manfaat daripada EHG, berjumlah lebih S$2 bilion.

Dalam enam bulan pertama 2024, sekitar S$204 juta EHG diberikan kepada kira-kira 7,000 keluarga pembeli kali pertama. Daripada 72,300 keluarga pembeli kali pertama yang menerima EHG sejauh ini, empat daripada 10 membeli flat jualan semula manakala baki 6 daripada 10 membeli flat daripada HDB menerusi pelbagai kaedah (misalnya, BTO, Penjualan Baki Flat dan tempahan terbuka flat).

Untuk terus menyokong para pembeli rumah kali pertama, kuantum maksimum geran EHG akan dinaikkan kepada S$120,000 bagi keluarga dan S$60,000 bagi orang bujang.

Bergantung kepada pendapatan bulanan isi rumah, kenaikan itu dalam lingkungan S$5,000 hingga S$40,000 bagi keluarga dan dalam lingkungan S$2,500 hingga S$20,000 bagi orang bujang, dengan kenaikan lebih tinggi bagi keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan lebih banyak bantuan.

Lihat Annex A bagi perinciannya.

Dengan EHG Dipertingkat, ditambah dengan Geran Perumahan CPF sedia ada dan Geran Perumahan Berhampiran (PHG), para pembeli rumah kali pertama akan menerima lebih banyak bantuan untuk membeli rumah mereka.
  • Flat baharu: Keluarga pembeli kali pertama yang membeli flat baharu akan menerima EHG sehingga S$120,000, selain potongan harga ketara pasaran pada harga flat, sementara orang bujang akan menerima EHG sehingga S$60,000.
  • Flat jualan semula: Keluarga pembeli kali pertama yang membeli flat jualan semula akan menerima geran perumahan sehingga S$230,000, yang merangkumi EHG dipertingkat sehingga S$120,000, Geran Perumahan CPF sehingga S$80,000 dan PHG sehingga S$30,000. Bagi orang bujang pembeli kali pertama yang membeli flat jualan semula mereka akan menerima geran perumahan sehingga S$115,000, yang merangkumi EHG dipertingkat sehingga S$60,000, Geran Perumahan CPF sehingga S$40,000 dan PHG sehingga S$15,000.


Rajah 1: Geran perumahan bagi keluarga pembeli kali pertama yang layak. (Gambar HDB)


Rajah 2: Geran perumahan bagi orang bujang pembeli kali pertama yang layak. (Gambar HDB)

EHG dipertingkat diberikan kepada keluarga pembeli kali pertama yang:

a) Memohon bagi flat baharu mulai penjualan BTO pada Oktober 2024 dan seterusnya

  • Bagi yang sudah menerima surat Kelayakan Flat HDB (HFE) tetapi masih belum memohon bagi flat semasa sesi penjualan, HDB akan mengemas kini surat HFE mereka menerusi Portal Flat HDB untuk menunjukkan jumlah EHG dipertingkat dan memaklumkan kepada mereka menerusi emel. Pemohon tidak perlu menyerahkan semula permohonan HFE.
  • EHG dipertingkat itu tidak akan digunakan secara retrospektif kepada permohonan flat yang dibuat untuk BTO atu Penjualan Flat Baki atau tempahan terbuka bagi flat yang sudah dilancarkan pada Jun 2024 atau sebelumnya.
b) Menyerahkan permohonan flat jualan semula pada atau selepas 20 Ogos 2024
  • Pembeli kali pertama yang layak, yang urus niaga flat jualan semulanya masih belum selesai akan menerima geran tambahan yang dipertingkat. Jumlahnya akan dimasukkan ke dalam akaun CPF mereka dalam masa dua bulan dari tarikh selesai pembelian flat jualan semula. Mereka tidak perlu menghubungi HDB dan urus niaga flat jualan semula mereka juga tidak akan terjejas.
  • Bagi yang sudah ada surat HFE tetapi masih belum membuat permohonan bagi flat jualan semula, HDB akan mengemas kini surat HFE mereka menerusi Portal Flat HDB untuk menunjukkan jumlah EHG dipertingkat dan memaklumkan kepada mereka menerusi emel.
c) Mohon bagi surat HFE pada atau selepas 20 Ogos 2024.
  • Pembeli kali pertama yang layak tanpa surat HFE namun memohon bagi surat tersebut pada atau selepas 20 Ogos 2024 akan menikmati jumlah EHG dipertingkat.
  • Bagi pembeli kali pertama yang sudah menyerahkan permohonan bagi surat HFE sebelum 20 Ogos 2024, HDB akan memberikan jumlah EHG dipertingkat kepada mereka semasa mengeluarkan surat HFE. Mereka tidak perlu memohon bagi surat HFE baharu.

SEDIAKAN PERUMAHAN AWAM BOLEH DIMAMPUI

Dalam sesi penjualan BTO pada Oktober 2024, HDB akan menawarkan 8,500 flat dari 15 projek di bawah klasifikasi baharu flat, dengan subsidi tambahan bagi flat Plus dan Prime. Flat-flat ini termasuk pilihan meluas perumahan boleh dimampui untuk para pembeli dengan peruntukan dan keperluan berbeza.

Dengan bekalan sekitar 19,600 flat BTO pada 2024, kita berada di landasan yang betul untuk menawarkan 100,000 flat dari 2021 hingga 2025.

Flat-flat jualan semula kekal boleh dimampui untuk sebahagian besar pembeli rumah. Lapan daripada 10 keluarga pembeli kali pertama yang menerima kunci flat jualan semula mereka pada 2023 menggunakan 25 peratus atau kurang daripada pendapatan bulanan isi rumah untuk membayar pinjaman rumah HDB.

Ini bermakna mereka boleh membuat bayaran ansuran pinjaman bulanan mereka menggunakan CPF, dengan hanya mengeluarkan sejumlah kecil bayaran tunai atau langsung tidak perlu membayar tunai.

Flat-flat HDB yang dijual pada harga sangat tinggi hanya sejumlah kecil daripada keseluruhan urus niaga flat jualan semula.

Pemerintah kekal komited untuk memastikan perumahan awam boleh dimampui dan mudah dibeli oleh rakyat Singapura. Kami akan terus memantau rapi pasaran hartanah dan menyesuaikan dasar-dasar apabila diperlukan untuk memastikan pasaran hartanah stabil dan berdaya mampan.

Annex A


Annex A - Struktur EHG bagi keluarga dan orang bujang pembeli kali pertama. (Gambar: HDB)



Kenaikan kepada kuantum maksimum EHG ditetapkan secara progresif supaya keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan lebih banyak sokongan menerima lebih banyak bantuan untuk merealisasikan impian mereka memiliki rumah sendiri. (Gambar HDB)
 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita