Skip to main content

Singapura

Had pendapatan, umur kelayakan golongan bujang bagi BTO sedang disemak semula: Chee Hong Tat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Aug 2025 07:16PM Dikemas Kini : 10 Aug 2025 10:29PM
SINGAPURA: Pemerintah Singapura sedang mengkaji semula umur kelayakan untuk golongan bujang beli flat Bina Ikut Tempahan (BTO), serta had pendapatan secara keseluruhan, dengan perubahan kepada dua dasar perumahan awam ini akan dibuat pada “masa yang sesuai”, kata Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat.

Bekalan yang mencukupi akan dijadikan keutamaan, dan itulah sebabnya Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sedang mempergiatkan rancangan untuk menyediakan lebih banyak rumah baharu, katanya kepada media tempatan awal minggu ini.

Ini wawancara pertama Encik Chee sejak mengambil alih portfolio pembangunan negara menyusuli rombakan Kabinet selepas pilihan raya pada Mei.

Beliau berkata pemerintah berusaha untuk menambah bekalan perumahan awam bagi memenuhi permintaan, selepas bergelut dengan masalah pembinaan yang tergendala akibat pandemik COVID-19.

Sejak itu, ia sudah menyelesaikan semua projek yang tertunda dek pandemik. Ia juga sebelum ini komited untuk melancarkan 100,000 flat baharu dari 2021 hingga 2025, malah berhasil menjangkaui jumlah itu dengan melancarkan kira-kira 102,300 unit dalam tempoh tersebut.

Selanjutnya, pemerintah akan "bina lebih banyak (flat) dan lebih pantas", kata Encik Chee.

Sebagai permulaan, ia akan melancarkan sekitar 55,000 flat BTO dari 2025 hingga 2027, 10 peratus lebih tinggi daripada sasaran awal 50,000 flat dalam tempoh tiga tahun.

Flat-flat tersebut akan dibina di estet-estet baharu seperti Mount Pleasant, Woodlands North Coast, Sembawang North dan tapak bekas padang golf Keppel Club.

Kira-kira 4,500 flat baharu dengan tempoh menunggu yang lebih singkat iaitu kurang dari tiga tahun juga akan dilancarkan untuk penjualan tahun ini, lebih tinggi daripada sasaran sebelumnya sebanyak 3,800 dan melebihi 2,800 yang dirancang pada 2024.

Dalam tempoh dua tahun akan datang, HDB akan melancarkan kira-kira 4,000 flat dengan masa menunggu yang lebih singkat setiap tahun - satu pertiga lebih banyak daripada komitmen sebelumnya untuk menawarkan 2,000 hingga 3,000 flat tersebut setiap tahun.

Bagi pasaran perumahan privet, pemerintah akan memastikan bekalan pada "tahap yang stabil"dengan melancarkan lebih 25,000 unit kediaman privet dari 2025 hingga 2027, melalui program Penjualan Tanah Pemerintah.

Bersama dengan 45,000 unit yang sudah dalam perancangan, lebih 70,000 unit rumah privet baharu akan disiapkan menjelang sekitar 2030, kata Encik Chee.

Kira-kira 12,000 flat HDB dengan masa menunggu yang lebih singkat akan dilancarkan menjelang 2027, melebihi jumlah lima tahun lalu.

Menteri Pembangunan Negara berkata pemerintah mendapati ada keperluan untuk menambah bekalan perumahan kerana permintaan kekal tinggi, sebahagiannya didorong oleh lebih ramai golongan muda yang inginkan rumah sendiri.

Semasa melakarkan rancangan untuk menambah bekalan perumahan, pemerintah juga mahu "menyokong lebih ramai orang untuk layak mencuba bagi flat BTO baharu", kata Encik Chee.

Ini termasuk keluarga dan pasangan suami isteri yang gajinya melebihi had pendapatan S$14,000 untuk permohonan BTO; dan bujang yang hanya dibenarkan membeli perumahan awam - sama ada BTO atau jualan semula - apabila mencapai umur 35 tahun.

"Kami sedang mengkaji sama ada kami boleh kurangkan umur kelayakan bagi golongan bujang, supaya orang bujang boleh beli flat BTO pada usia yang lebih muda," kata menteri itu.

Beliau menambah: “Sejauh mana kita boleh membuat penyesuaian kepada kedua-dua (dasar) ini bergantung kepada jumlah bekalan yang boleh kita lancarkan dalam beberapa tahun akan datang.

“Anda boleh bayangkan jika kami turunkan had umur untuk golongan bujang atau jika kami tingkatkan had pendapatan, akan ada lebih ramai pemohon yang layak, dan oleh itu permintaan akan meningkat ... Jadi, saya fikir adalah penting untuk kami sediakan sekitaran yang sesuai untuk buat perubahan kepada dasar-dasar tersebut pada masa yang sesuai.”

Dalam usaha mengawal harga, pemerintah memperkenalkan empat langkah meredakan pasaran sejak hujung 2021. Yang terkini, pada Ogos 2024, pemerintah mengetatkan had pinjaman maksimum yang boleh diambil oleh pembeli rumah HDB – satu langkah yang bertujuan mengurangkan permintaan bagi pasaran jualan semula yang dijual pada harga lebih tinggi.

Encik Chee berkata matlamat pemerintah adalah untuk harga jualan semula perumahan awam "bergerak seiring dengan pertumbuhan pendapatan" dari semasa ke semasa, tanpa terlalu banyak perubahan mendadak.

Kenaikan harga reda sedikit, tambahnya, sambil menukil indeks harga jualan semula terbaru HDB yang mencatatkan pertumbuhan suku ke suku terendah dalam tempoh lima tahun.

Pemerintah menjangkakan harga akan stabil sekali lagi bermula tahun depan, kerana lebih banyak flat BTO akan mencapai tempoh penginapan minimum (MOP) - dan layak untuk dijual.

Terdapat 13,500 flat sedemikian pada 2026, naik daripada 8,000 tahun ini. Jumlah itu akan meningkat lagi kepada 15,000 pada 2027 dan 19,500 pada 2028, kata Encik Chee.

Seiring dengan pertambahan bekalan flat BTO - yang akan membantu mengurangkan permintaan bagi flat jualan semula - harganya akan stabil pada tahun-tahun mendatang, kata menteri itu.

Ini akan membantu membuka laluan kepada satu lagi perubahan dasar: Memansuhkan tempoh menunggu selama 15 bulan untuk pemilik hartanah privet, sebelum mereka boleh beli flat HDB tanpa subsidi.

Dasar itu diperkenalkan pada September 2022 untuk mengurangkan permintaan bagi flat jualan semula. Pada ketika itu, pihak berkuasa menyifatkannya sebagai langkah "sementara" yang akan dikaji semula bergantung kepada permintaan keseluruhan dan perubahan pasaran.

"Apabila harga pasaran stabil bagi pasaran jualan semula, saya fikir ia (akan) masanya tepat untuk kami pertimbangkan sama ada untuk menarik balik langkah meredekan pasaran sementara ini," kata Encik Chee.

MEMANTAU KESAN TARIF

Encik Chee juga ditanya sama ada kenaikan tarif Amerika Syarikat boleh menimbulkan isu kos atau pengeluaran terhadap pemaju dan kontraktor perumahan di Singapura.

Singapura berdepan tarif asas 10 peratus bagi eksport ke Amerika Syarikat.

Beliau berkata pemerintah sedang memantau dengan teliti rantaian bekalan global dan kesan tarif terhadap kos produk yang diimport ke Singapura.

Ia sedang mengkaji bekerjasama dengan "rakan-rakan kongsi yang berbeza, selain Amerika Syarikat", untuk mengawal jaminan bekalan, tambahnya.

Industri sekitaran binaan tempatan juga boleh mendorong persekitaran baharu dengan menjadikannya lebih produktif dan cekap.

Pemerintah juga akan memberikan sokongan di sini, seperti dengan mengurangkan peraturan dan menghapuskan "pemeriksaan dan prosedur yang tidak perlu"; sekali gus membolehkan idea baharu diuji dalam projek-projek komersial; dan membantu firma-firma kecil untuk mendapatkan teknologi baharu.

"Sesetengah kos tidak dapat kita elakkan kerana kos tanah kita akan bertambah tinggi, kos tenaga kerja juga akan lebih tinggi berbanding banyak negara lain, namun dalam bidang-bidang yang kita boleh kawal dan kita boleh turunkan, kita patut (lakukannya)," kata Encik Chee.

"Pemerintah akan berusaha sedaya upaya... Kami akan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi industri kami untuk lihat sejauh mana kami boleh bantu."
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita