Skip to main content

Singapura

Had pendapatan lebih tinggi pastikan 8 dalam 10 isi rumah SG terus layak bagi perumahan awam bersubsidi: Chee Hong Tat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Aug 2026 05:56PM Dikemas Kini : 04 Sep 2026 10:53PM
  • Kerajaan Singapura menaikkan had pendapatan bagi pembelian flat HDB dan kondominium eksekutif untuk memastikan lebih ramai rakyat layak mendapat perumahan bersubsidi.
  • Langkah ini diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dan Menteri Chee Hong Tat, berkuat kuasa mulai 24 Ogos, selaras dengan pertumbuhan pendapatan rakyat.
  • Keluarga pembeli flat kali pertama dengan anak akan menerima peluang undian tambahan bermula Februari 2027, bagi meningkatkan akses kepada perumahan.
  • Kerajaan juga berusaha mempercepat pembinaan flat baharu untuk memenuhi keperluan pelbagai kumpulan, termasuk keluarga, warga emas dan bujang.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Had pendapatan lebih tinggi bagi flat baharu Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sudah berkuat kuasa, dengan Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat berkata langkah itu akan memastikan lapan dalam 10 isi rumah Singapura terus layak bagi perumahan awam bersubsidi.

Bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO), had pendapatan isi rumah bulanan kini dinaikkan daripada S$14,000 kepada S$16,000.

Had pendapatan bagi kondominium eksekutif (EC) pula dinaikkan sebanyak S$2,000 kepada S$18,000.

Had pendapatan bagi pembeli rumah HDB bujang yang layak dan berusia 35 tahun ke atas turut dinaikkan daripada S$7,000 kepada S$8,000.

Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan perubahan tersebut semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026 (NDR2026) pada Ahad (23 Ogos).

Langkah itu bertujuan memastikan perumahan awam dan EC kekal dimampui dan mudah diakses rakyat Singapura, selain menyediakan lebih banyak sokongan kepada keluarga yang mempunyai anak sedang negara ini berusaha menggalakkan perkahwinan dan keibubapaan.

BERITA Mediacorp melaporkan pada Ahad (23 Ogos) bahawa had pendapatan baharu itu berkuat kuasa bagi keluarga yang layak dan memohon surat Kelayakan Flat HDB (HFE) mulai Isnin (24 Ogos).
SEJAJAR DENGAN PERTUMBUHAN PENDAPATAN

Dalam catatan Facebook pada Isnin, Encik Chee berkata had pendapatan lebih tinggi itu membolehkan pemerintah mengikuti rentak pertumbuhan pendapatan.

Ia juga memastikan lapan dalam 10 isi rumah Singapura terus layak bagi perumahan awam bersubsidi.

Encik Chee turut menarik perhatian kepada "hasil yang menggalakkan" daripada usaha mengekalkan bekalan perumahan yang kukuh.

"Kita kini berada dalam kedudukan lebih baik untuk membuat perubahan dasar selanjutnya bagi menyokong aspirasi rakyat Singapura untuk memiliki rumah," katanya.

BERITA Mediacorp sebelum ini melaporkan para penganalisis menjangkakan had pendapatan lebih tinggi itu boleh meningkatkan permintaan bagi pelancaran BTO pada November apabila lebih ramai pembeli layak memohon.

Had gaji lebih tinggi itu juga dijangka membolehkan lebih banyak keluarga berpendapatan pertengahan mendapat akses kepada perumahan bersubsidi.
PELUANG UNDIAN TAMBAHAN BAGI SETIAP ANAK

Encik Chee turut menarik perhatian kepada pengumuman PM Wong bahawa mulai Februari 2027, keluarga pembeli flat kali pertama yang mempunyai atau bakal menimang cahaya mata akan menerima satu peluang undian tambahan bagi setiap anak warga Singapura.

"Peluang undian tambahan ini akan diberikan kepada semua permohonan, termasuk flat Prime dan Plus serta flat daripada sesi Penjualan Baki Flat," kata Encik Chee.

Langkah tersebut diumumkan PM Wong semasa NDR2026 pada Ahad (23 Ogos).

Menurut HDB dan Kementerian Pembangunan Negara (MND), keluarga pembeli flat kali pertama akan menerima satu peluang undian tambahan bagi setiap anak warga Singapura berusia 18 tahun dan ke bawah bagi semua permohonan flat BTO dan SBF.

TERUS BINA LEBIH BANYAK FLAT, LEBIH PANTAS

Encik Chee turut menyentuh usaha MND dan rakan-rakan industri untuk meningkatkan bekalan perumahan selepas pandemik COVID-19.

Lebih 90 projek BTO mengalami kelewatan selepas pandemik COVID-19 menjejas teruk sektor binaan.

Menurut Encik Chee, bukan mudah untuk mengejar semula kelewatan akibat pandemik dan kemudian mengekalkan bekalan flat baharu yang kukuh.

"Memandang ke hadapan, kita akan terus membina lebih banyak dan membina dengan lebih pantas, disertai perancangan penggunaan tanah yang teliti, bagi menyokong keperluan dan aspirasi perumahan pelbagai kumpulan pembeli rumah, termasuk keluarga, warga emas dan golongan bujang," katanya.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita