Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Had pembiayaan dana CLF bagi badan Melayu/Islam dinaikkan 20% kepada 80%

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Badan-badan Melayu/Islam (MMO) boleh mendapatkan lebih banyak bantuan kewangan untuk menjalankan program masing-masing.

Ini selepas had pembiayaan dana Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) bagi badan Melayu/Islam dinaikkan 20 peratus kepada 80 peratus mulai tahun depan.

Ia bagi semua cadangan program dan projek yang diluluskan pada tahun ini, dan dilaksanakan pada tahun depan.

Pada tahun 2023, pembiayaan dana CLF dihadkan pada 60 peratus daripada jumlah yang diluluskan.

Untuk layak untuk mendapatkan dana tersebut, program-program yang dikendalikan perlu selaras dengan lima Bidang Tumpuan M³.

MENDAKI menyatakan sokongan kewangan yang dipertingkatkan itu akan memperkasakan badan-badan MMO untuk melaksanakan projek-projek yang memberi impak secara berkesan untuk manfaat masyarakat.

MENDAKI menerima pembiayaan tahunan sebanyak S$2.6 juta untuk menyokong program-program yang dijalankan.

Pada tahun 2023 sahaja, CLF meluluskan 45 projek komuniti yang dijalankan 24 rakan kongsi CLF MENDAKI.

Antara 2021 hingga 2023, sejumlah 82 projek melibatkan 39 rakan kongsi aktif telah dijalankan.

PERDAUS SASAR TAMBAH JUMLAH PESERTA UNTUK KEM BUNAYYA, KURANGKAN YURAN PENYERTAAN MENERUSI DANA CLF YANG DINAIKKAN


Sejak penubuhannya sekitar 50 tahun lalu, Perdaus telah banyak melaksanakan pelbagai program pendidikan dan pembangunan kepimpinan buat masyarakat.

Antaranya adalah Kem Bunayya yang dimulakan sekitar 10 tahun lalu.

'

(Gambar: Perdaus)

Program itu mengasah daya kepimpinan para pelajar.

"Setiap pelajar Menengah 4 madrasah kami akan mengendalikan dan menjalankan program Kem Bunayya ini untuk pelajar Darjah 5. Mereka diberikan bimbingan untuk mengendalikan program ini kerana kita lebih percaya tentang pembelajaran berasaskan pengalaman. Mereka berkumpul bersama, lakukan kegiatan berpasukan, dan diberikan beberapa cabaran-cabaran yang boleh memperkukuhkan keperibadian mereka sendiri," kata Presiden Perdaus Muhammad Hafiz Noorahman kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

Kos menganjurkan perkhemahan tersebut boleh mencecah sehingga S$25,000.

"Kos yang paling besar biasanya adalah seperti tempat penginapan. Tempat penginapan, pengangkutan untuk para pelajar, logistik dan makanan. Ini antara kos-kos yang besar yang kita perlu biayai untuk program sebegini," ujar Encik Hafiz.

'(Gambar: Perdaus)

Pada masa ini, 60 peratus daripada kosnya dibiayai dana CLF manakala bakinya ditanggung sendiri oleh Perdaus.

"Untuk kami kendalikan setiap program, kami banyak bergantung kepada dana daripada masyarakat dari segi derma, sumbangan dari segi zakat, projek pengumpulan dana yang kita lakukan. Jadi banyak yang kita harus kumpulkan dari situ," jelas beliau.

Maka itu, tambahan pembiayaan dana CLF sebanyak 20 peratus itu sangat dialu-alukan.

"Sekiranya tanpa dana CLF ni, kemungkinan perbelanjaan kos bagi setiap peserta mungkin akan menjejak dalam S$200. Tetapi adanya dengan dana ini, mungkin kita boleh turunkan harga yuran untuk para peserta dalam mungkin 25 peratus atau 50 peratus."

"Dengan bantuan dana yang lebih tinggi, tentunya dapat membantu kita dari segi membuka ruang untuk lebih ramai untuk menyertai program ini. Mungkin daripada 70 peserta kita boleh mengambil 100 peserta. Dari segi mutu program, kepelbagaian aktiviti-aktiviti yang boleh kita lakukan buat para pelajar ini," kata Encik Hafiz.

Selain itu, dana tambahan itu juga boleh digunakan untuk menyediakan kemeja T untuk para peserta kem tersebut.

MAHU ANJUR LEBIH BANYAK KEGIATAN, BANTU LEBIH RAMAI PELAJAR DAN IBU BAPA

Satu lagi MMO yang akan meraih manfaat daripada pembiayaan dana ClF yang lebih tinggi itu adalah Persatuan India Muslim Bersatu (UIMA).

Badan itu menerima bantuan dana CLF sejak 2007 bagi enam programnya termasuk Program Perundingan Pendidikan - satu program tuisyen untuk murid-murid sekolah rendah.

Program tersebut kini disertai sekitar 45 murid-murid.

'
(Gambar: UIMA) 

CEO UIMA, Encik Haja Maideen s/o Kalandar Mastan berkata: "Ramai ibu bapa tidak mampu hantar anak-anak mereka ke tuisyen. Jadi kami jalankan program ini secara percuma. Ramai ibu bapa yang meminta untuk membuka kelas bagi para pelajar sekolah menengah. Kami juga ada relawan dari NUS untuk mengajar secara percuma."

Menurut Encik Haja dana CLF yang diterima digunakan untuk membiayai kos sewa bilik darjah, menyediakan bahan-bahan kandungan serta menganjurkan kegiatan-kegiatan sampingan.

Pembiayaan lebih tinggi akan membolehkan UIMA membantu lebih ramai pelajar dan ibu bapa mereka.

'

(Gambar: UIMA) 

"Kalau untuk membawa murid-murid ini ke dalam kelas, kami perlukan kegiatan yang banyak. Mereka akan lebih suka. Ada juga budak-budak yang tinggal di kawasan Lengkok Bahru. Ramai yang tidak sertai program ini. Untuk mendapatkan mereka, kami juga perlu lakukan kegiatan untuk para ibu bapa. Jadi dana sebanyak 80 peratus itu akan banyak membantu.


PROGRAM-PROGRAM KELOLAAN MENDAKI TERUS NIKMATI PEMBIAYAAN PENUH

Badan-badan MMO seperti Perdaus dan UIMA juga menjalankan program-program kelolaan MENDAKI, seperti #amPowered dan KelasMateMatika (KMM).

Program-program tersebut akan terus dibiayai sepenuhnya dana CLF.

Encik Haja berkata: "Pada zaman sekarang, program seperti KMM ini amat perlu, kerana kanak-kanak zaman sekarang tidak begitu fasih. Dalam program ini, kita dapatkan kanak-kanak bersama ibu bapa mereka."

Pada Mac tahun ini, UIMA menjalankan kelas-kelas KMM di prasekolahnya dan disertai sekitar 20 keluarga.

Ia kini merancang untuk menjalankan pusingan kedua KMM untuk memanfaatkan lebih banyak keluarga.

Badan-badan MMO yang ingin memohon untuk mendapatkan bantuan dana CLF itu boleh berbuat demikian di https://www.clfprojects.org.sg/ sehingga 30 Jun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan