Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Had lebih ketat bagi tetamu acara MICE 'langkah sukar tetapi perlu', kata pemain industri

Baru sekitar sebulan lalu pihak berkuasa mengumumkan had tetamu bagi acara-acara besar perniagaan akan dinaikkan kepada 750 orang.

Anggaran Waktu Membaca:
Had lebih ketat bagi tetamu acara MICE 'langkah sukar tetapi perlu', kata pemain industri

Tetamu tiba di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands bagi persidangan anjuran IPS, 25 Januari 2021. (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 06 May 2021 11:22PM Dikemas Kini : 06 May 2021 11:26PM

SINGAPURA: Baru sekitar sebulan lalu pihak berkuasa mengumumkan had tetamu bagi acara-acara besar perniagaan akan dinaikkan kepada 750 orang.

Ini berkuat kuasa mulai 24 April dan diraikan para pemain industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) kerana langkah itu membawa "optimisme baru".

Namun, kegembiraan itu sekejap sahaja kerana hadnya kini dikurangkan semula kepada had 250 orang mulai Sabtu (8 Mei).

Ujian-ujian sebelum acara juga diwajibkan jika tetamunya lebih 100 orang.

Ini akan berkuat kuasa sehingga 30 Mei sedang Singapura memperketat langkah-langkah COVID-19 untuk membendung kenaikan kes dalam masyarakat termasuk kelompok pertama di hospital negara ini.

"LANGKAH PERLU"

Perubahan itu tidak begitu mengejutkan bagi para pemain industri yang diwawancara Mediacorp.

Ketua Pegawai Pengalaman Unearthed Productions, Adam Piperdy, berkata sebelum pemerintah mengumumkan langkah-langkah itu, sebahagian klien syarikat itu sudahpun menyuarakan keprihatinan tentang kelompok-kelompok baru dan mula menganjurkan acara-acara lebih kecil.

"Saya percaya ini adalah langkah sementara yang perlu dilaksanakan demi maslahat lebih besar agar usaha untuk pulih lebih bertahan," tambah beliau.

Presiden Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Singapura (SACEOS), Aloysius Arlando, menyifatkan langkah-langkah lebih ketat itu sebagai "sukar tetapi perlu" untuk Singapura kekal sebagai destinasi acara yang selamat dan membendung penularan lebih meluas COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

Penting untuk industri MICE mengambil langkah berhati-hati di tengah-tengah keadaan pandemik yang berubah-ubah, dengan perkembangan baru-baru ini menjadi peringatan bahawa keadaan "terus tidak menentu".

"Oleh itu, kami akan terus mengambil pendekatan yang sudah difikirkan dan mengutamakan keselamatan serta terus berwaspada dengan memantau keadaan," kata Encik Arlando.

KESAN TERHAD BUAT MASA INI

Mujur, kesan daripada pengurangan jumlah tetamu itu terhad buat masa ini, menurut para pemain industri.

Ini kerana meskipun terdapat minat untuk menganjurkan acara-acara berskala besar sejak perubahan peraturan dalam bulan Mac, ia masih dalam peringkat awal perancangan.

Kebanyakan acara yang sudah disahkan adalah bersifat hibrid atau maya, dengan jumlah tetamu kurang 250 orang.

"Kami menerima agak banyak klien yang berminat untuk menambah jumlah tetamu melebihi 250 orang. Bagaimanapun memandangkan pengumuman itu baru sahaja dibuat tiga atau empat minggu lalu, kebanyakan acara untuk 750 orang baru di peringkat awal perancangan," kata Encik Piperdy.

Acara-acara besar sedemikian lazimnya mengambil masa dua hingga tiga bulan lebih awal untuk dirancang, tambah beliau.

Industri MICE adalah antara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Sebagai pemain utama dalam industri pelancongan Singapura. Ia menyumbang S$3.8 bilion dari segi nilai tambah kepada ekonomi atau hampir satu peratus daripada hasil dalam negeri kasar (GDP) dan menyokong lebih 34,000 pekerjaan sebelum pandemik.

Singapura sudah mula mengambil langkah untuk menghidupkan semula industri bernilai berbilion dolar itu sedang ia bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah kepada Forum Ekonomi Sedunia dalam bulan Ogos nanti.

Sejak pengumuman tentang rangka kerja bagi penganjuran acara perniagaan secara selamat oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dalam bulan Julai tahun lalu, sekitar 60 acara MICE yang menerima hampir 9,000 tetamu sudah diadakan.

Forum Ekonomi Baru Bloomberg juga akan diadakan di Singapura dari 16 hingga 19 November tahun ini, menyatukan kira-kira 400 pemimpin perniagaan dan pemerinta serta ahli akademik dari merata dunia.

Ditanya sama ada perkembangan terbaru itu menjejas mereka, SACEOS menyatakan masyarakat MICE sudah menunjukkan daya bingkas sepanjang pandemik dan bersatu untuk pulih "secara progresif dan praktikal". 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan