Had kelajuan PMD, basikal dikurangkan kepada 10 km/sejam di laluan pejalan kaki
Para pengayuh basikal dan pengguna alat mobiliti peribadi seperti e-skuter tidak lama lagi mesti mematuhi had kelajuan yang lebih rendah apabila menggunakan alat-alat tersebut ketika di laluan pejalan kaki. Ini selepas Pemerintah menerima saranan-saranan daripada panel penasihat mobiliti aktif.
SINGAPURA: Para pengayuh basikal dan pengguna alat mobiliti peribadi (PMD) seperti e-skuter tidak lama lagi mesti mematuhi had kelajuan yang lebih rendah apabila menggunakan alat-alat tersebut ketika di laluan pejalan kaki. Ini selepas Pemerintah menerima saranan-saranan daripada panel penasihat mobiliti aktif.
Mulai awal 2019, had kelajuan yang ditetapkan sekarang bagi PMD dan basikal ketika di laluan pejalan kaki, iaitu 15 kilometer/sejam akan dikurangkan kepada 10 kilometer/sejam. Had kelajuan yang lebih rendah itu akan memberikan para pengguna PMD, pengayuh basikal dan pejalan kaki masa yang mencukupi untuk bertindak sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini (4 Sep).
"Setiap pengguna mesti terus memberi laluan kepada para pejalan kaki dan mengurangkan had kelajuan apabila mendekati kawasan yang penuh sesak. Para penunggang juga harus sentiasa berwaspada semasa memotong para pengguna lain atau pejalan kaki," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan media.
Panel Penasihat Mobiliti Aktif mengemukakan enam saranan kepada MOT pada 24 Ogos. Ini termasuk mengurangkan had kelajuan di laluan pejalan kaki. Kesemua enam saranan sudahpun diterima dan akan dilaksanakan pada awal 2019.
Para pengayuh basikal dan pengguna PMD juga mesti menggunakan topi keledar semasa menunggang di jalan raya. Peraturan itu tidak dikenakan ke atas mereka yang melintas jalan raya bagi meneruskan perjalanan melalui laluan pejalan kaki dan berbasikal di laluan-laluan yang dikongsi bersama.
Menulis di laman Facebooknya hari ini (4 Sep), Pengerusi Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim turut berbesar hati dengan keputusan Pemerintah untuk menerima semua saranan yang diusulkan oleh panel tersebut.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang idea dan memberikan maklum balas kepada semakan yang dijalankan.
Dalam satu perkembangan yang berasingan, MOT turut menerima saranan panel itu untuk tidak mewajibkan insurans pihak ketiga dan sebaliknya menumpukan lebih banyak perhatian terhadap usaha mencegah berlakunya kemalangan.
Bagaimanapun, kementerian itu menyatakan bahawa ia menggalak para pengguna supaya mendapatkan insurans, terutamanya bagi syarikat-syarikat penghantaran makanan untuk para pekerjanya. Ia juga merancang untuk meningkatkan tahap kesedaran dan akses kepada cara-cara menuntut ganti rungi yang sedia ada, seperti bekerjasama dengan Pusat Timbang Tara Singapura.
"Semasa meluluskan saranan-saranan ini, kementerian bersetuju dengan panel itu bahawa keselamatan semua penunggang alat mobiliti aktif dan pengguna laluan awam adalah amat penting," menurut MOT sambil menambah bahawa ia akan memantau keadaan bagi menilai sama ada syarat-syarat harus diperhalusi lagi.
"Kami akan terus memperkukuhkan usaha pendidikan awam mengenai mengongsi laluan dan jalan raya dengan selamat. Kami berharap langkah-langkah ini akan membantu mewujudkan budaya mengayuh basikal atau menggunakan PMD dengan selamat di Singapura."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.