Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Had harian S$2,000 untuk keluarkan simpanan CPF antara langkah baharu cegah penipuan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Nov 2023 02:44PM Dikemas Kini : 20 Nov 2023 08:31PM

SINGAPURA: Had jumlah simpanan CPF yang boleh dikeluarkan secara online daripada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) sebanyak S$2,000 sehari akan dikuatkuasakan mulai 30 Nov ke atas semua pencarum CPF berusia 55 tahun ke atas.

Had harian untuk mengeluarkannya secara online adalah antara langkah baharu yang sedang dilaksanakan oleh Lembaga CPF secara berperingkat untuk melindungi para pencarum CPF dengan lebih baik lagi daripada penipuan, umum CPF pada Isnin (20 Nov).

Had pengeluaran harian itu boleh diubah secara online dengan sebarang jumlah, sehingga S$200,000.

Sebarang peningkatan pada had pengeluaran harian memerlukan pengesahan wajah Singpass dan tempoh selama 12 jam untuk mengelakkan sebarang perubahan tanpa kebenaran pencarum.

Bagi para pencarum yang tidak mahu mengeluarkan wang secara online, mereka boleh berbuat demikian dengan mengaktifkan kunci pengeluaran CPF, yang dengan serta-merta menetapkan had pengeluaran harian kepada S$0.

Sebaik sahaja kunci diaktifkan, pengeluaran hanya boleh dibuat secara fizikal di pusat khidmat CPF.

Untuk mengaktifkan semula pengeluaran secara online, para pencarum mesti menaikkan had pengeluaran harian mereka daripada S$0. Ini juga memerlukan pengesahan wajah Singpass dan akan mengambil masa 12 jam untuk berkuat kuasa.

"Memperkenalkan had harian untuk pengeluaran CPF secara online adalah sebahagian daripada usaha berterusan Lembaga CPF untuk melindungi simpanan CPF daripada penipuan online," katanya.

"Ini selain langkah berjaga-jaga kami yang sedia ada, termasuk (pengesahan wajah Singpass) sebagai langkah tambahan untuk e-khidmat CPF tertentu."

Simpanan CPF hanya boleh dibayar ke akaun bank yang disahkan sebagai milik pencarum. Mereka akan dimaklumkan serta-merta tentang sebarang pengeluaran CPF.

KEMAS KINI BUTIRAN AKAUN

Selain mengenakan had harian untuk pengeluaran CPF secara online, pengesahan wajah Singpass dan tempoh 12 jam juga akan dikuatkuasakan apabila para pencarum mengemas kini butiran tentang nombor telefon dan emel mereka dengan Lembaga CPF mulai 30 Nov.

Menjelang hujung Disember, perubahan pada butiran akaun bank juga memerlukan pengesahan wajah Singpass.

Akaun bank baharu hanya akan diaktifkan selepas pihak bank mengesahkan akaun tersebut adalah milik pencarum CPF. Proses ini akan mengambil masa sehingga dua hari bekerja.

Pemberitahuan melalui SMS atau emel juga akan dihantar kepada pencarum CPF setiap kali mereka membuat pengeluaran, mengemas kini had pengeluaran harian, atau menukar butiran nombor telefon dan emel atau akaun bank mereka.

Menurut Lembaga CPF, para pencarum mesti mengemas kini butiran nombor telefon dan emel mereka secara online sebelum mereka boleh mengubah had pengeluaran harian atau mengemas kini butiran akaun bank mereka.

Mereka akan dimaklumkan sebaik sahaja perubahan itu berkuat kuasa, selepas tempoh 12 jam atau selepas akaun bank mereka telah disahkan oleh pihak bank.

Tempoh selama 12 jam itu memberikan pencarum masa yang mencukupi untuk mengambil tindakan bagi menyekat sebarang perubahan atau kemas kini yang tidak dibenarkan daripada berkuat kuasa.

Jika para pencarum CPF mengesyaki mereka telah menjadi mangsa penipuan, mereka mestilah menghubungi Lembaga CPF, meminta bank mereka membekukan akaun mereka, menetapkan semula kata laluan Singpass mereka dan menetapkan had pengeluaran harian kepada S$0.

Mereka juga harus membuat aduan polis.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan