Had bunyi bising tapak binaan dikaji semula dengan aturan kerja, belajar dari rumah
Pihak berkuasa sedang mengkaji semula had dan hukuman bagi bunyi bising di tapak binaan, dengan mengambil kira penduduk Singapura yang melakukan kerja dan pembelajaran dari rumah semasa pandemik COVID-19, kata Encik Desmond Tan di Parlimen pada Rabu (14 Okt).
(Gambar fail TODAY)
SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang mengkaji semula had dan hukuman bagi bunyi bising di tapak binaan, dengan mengambil kira penduduk Singapura yang melakukan kerja dan pembelajaran dari rumah semasa pandemik COVID-19, kata Encik Desmond Tan di Parlimen pada Rabu (14 Okt).
Encik Tan, yang merupakan Menteri Negara bagi Kemampanan dan Sekitaran (MSE) menambah bahawa ini merupakan sebahagian daripada pengkajian semula yang dijalankan secara tetap oleh kementerian itu bagi melindungi kesihatan awam.
Tahap maksimum bunyi bising yang dibenarkan di tapak binaan diperketatkan sepanjang beberapa tahun lalu.
Pada 2011, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melarang sebarang kerja dijalankan di tapak-tapak binaan yang terletak pada jarak 150 meter dari kawasan perumahan dan premis yang sensitif kepada bunyi - seperti hospital dan rumah-rumah jagaan - pada hari Ahad dan cuti umum.
Hukuman bagi syarikat-syarikat yang melanggar peraturan itu juga dikaji semula pada 2014.
Encik Tan memberi contoh tersebut dalam jawapan kepada soalan oleh Anggota Parlimen GRC Jurong Dr Tan Wu Meng, mengenai bila kali terakhir had dan hukuman bunyi bising dikaji semula.
Dr Tan turut bertanya bagaimana tahap maksimum bunyi bising yang dibenarkan bagi kerja-kerja binaan ditentukan dan bagaimana tahap bunyi bising diukur.
Encik Tan berkata NEA mengambil rujukan daripada garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihataan Sedunia (WHO) dalam menentukan had bunyi bagi melindungi kesihatan awam.
Had itu seterusnya disesuaikan mengikut konteks di sini.
"Bagi mengurangkan gangguan bunyi bising terhadap para penduduk, had bunyi bising selanjutnya dibezakan berdasarkan jalur waktu dengan had lebih ketat dilaksanakan antara pukul 7.00 malam dengan 7.00 pagi, dan pada hari Ahad dan cuti umum, apabila kebanyakan penduduk sedang berehat," katanya.
Mengenai bagaimana bunyi bising diukur di tapak-tapak binaan, Encik Tan berkata meter bunyi bising perlu dipasang oleh syarikat-syarikat binaan di bangunan berhampiran yang terjejas dan memantaunya secara tetap.
Bagi projek-projek dengan nilai kontrak lebih daripada S$3 juta atau melibatkan kerja-kerja perobohan atau pemasangan cerucuk, para kontraktor perlu memasang sistem pemantauan bunyi, yang membolehkan tahap bunyi bising dipantau secara langsung oleh para kontraktor dan NEA.
Dalam soalan tambahannya, Dr Tan bertanya jika sekitaran COVID-19 dengan penduduk Singapura bekerja dan mengikuti kelas dari rumah akan diambil kira, memandangkan kepadatan estet-estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), misalnya.
Beliau menambah bahawa sesetengah penduduk di kawasan undinya di Clementi berasa bimbang akan bunyi bising dari tapak-tapak binaan berhampiran semasa musim peperiksaan.
Beliau juga menimbulkan persoalan sama ada rangka kerja yang dikaji semula akan mengambil kira kesan ekonomi terhadap syarikat-syarikat binaan.
Encik Tan memberi jaminan bahawa pengkajian semula itu akan mengambil kira situasi COVID-19 dan keadaan ekonomi.
Namun, beliau mengingatkan Dewan bahawa pengurusan bunyi bising perlu dipertimbangkan dari segi kaitannya dengan kos dan tempoh pembinaan.
"Ia adalah keutamaan kami untuk memastikan kesihatan awam dilindungi, bagi memastikan tahap bunyi bising tidak melebihi had bunyi yang dinyatakan oleh WHO," katanya.
Encik Tan juga berkata hukuman itu, yang dikaji semula selama beberapa tahun, berkesan dalam mengurangkan maklum balas mengenai isu tersebut dan penguatkuasaannya sepanjang beberapa tahun.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa akan terus meneliti bagaimana hukuman berkenaan menjejas bunyi bising di tapak binaan dan khususnya, syarikat-syarikat yang merupakan pesalah berulang.
"Mereka diberi amaran berkali-kali, maka ini adalah antara perkara yang akan kami teliti dalam pengkajian semula secara berterusan - had bunyi bising, keupayaan untuk mengukurnya serta sistem hukuman."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.