Skip to main content

Singapura

Had bilangan kucing cetus kebimbangan, penjaga sementara harap skim perintis diperhalusi

Anggaran Waktu Membaca:
Had bilangan kucing cetus kebimbangan, penjaga sementara harap skim perintis diperhalusi

Penjaga sementara kucing yang diluluskan dibenarkan menjaga sehingga enam ekor kucing di flat HDB tiga bilik atau lebih besar bermula 3 Ogos. (Gambr: Batrisyia Kamal Baharim)

Diterbitkan : 02 Aug 2026 03:45PM Dikemas Kini : 02 Aug 2026 04:02PM

SINGAPURA: Tidak kira waktu siang mahupun dinihari, telefon mereka boleh berdering pada bila-bila masa.

Di hujung talian, selalunya ada permintaan yang sama — bolehkah mereka mengambil kucing-kucing yang tenat, cedera atau dibuang untuk dipelihara sementara?

Namun, yang datang bukan seekor atau dua. Ada kalanya, lebih lima ekor kucing memerlukan bantuan sekali gus.

Di sinilah timbul kebimbangan dalam kalangan penjaga sementara kucing ekoran pengumuman skim perintis oleh Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) yang bakal berkuat kuasa selama dua tahun.

Bermula Isnin (3 Ogos), penjaga sementara kucing yang diluluskan dibenarkan menjaga sehingga enam ekor kucing di flat HDB tiga bilik atau lebih besar.

Di premis privet pula, mereka boleh menjaga 10 ekor kucing.

Mereka juga dikecualikan daripada yuran pelesenan bagi kucing yang dipelihara sementara sepanjang tempoh skim tersebut.

Namun jumlah kucing yang memerlukan bantuan tidak menentu dan skim perintis itu mungkin memerlukan penjaga sementara menolak permintaan menjaga lebih banyak kucing yang tenat atau cedera.

Semasa ditemui BERITA Mediacorp di kediamannya di Jurong West, penjaga sementara kucing, Cik Juliana Chong, 43 tahun, berkata: "Kita tidak boleh menjangka berapa banyak kucing yang harus kita selamatkan. Mungkin lebih atau kurang daripada enam."

Selama lebih 20 tahun menjadi penjaga sementara kucing, beliau sentiasa membuka pintu rumahnya kepada kucing-kucing yang tenat, cedera, dibuang atau memerlukan rawatan berpanjangan sementara menunggu penjaga tetap.

Jumlah kucing yang memerlukan bantuan juga tidak menentu.

Ia lebih sukar jika "nama sudah dikenali dalam kalangan masyarakat pencinta kucing".

"Mereka sangkakan kita boleh mengambil semua kucing-kucing itu," ujar Cik Juliana.

Related article image
Cik Juliana Chong telah menjadi penjaga sementara kucing selama lebih 20 tahun. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)
Apabila ditanya tentang skim perintis itu, Cik Juliana berkata ia mengiktiraf usaha sukarela yang dilakukan oleh penjaga sementara selama ini.

"Ada bagusnya kerana mereka memahami kita sebagai 'fosterer' dan memberi ruang untuk kita memberi kucing ini tempat berteduh,” ujar beliau.

TANGGUNGJAWAB BESAR, TIDAK RAMAI SANGGUP TAMPIL

Namun, peranan yang menuntut komitmen tinggi itu menyebabkan "ramai orang tidak boleh tampil" sebagai penjaga sementara kucing.

"Kebanyakan kucing yang kami ambil ialah kucing terbiar, mangsa penderaan atau yang dibuang pemilik. Lazimnya, apabila kucing-kucing ini jatuh sakit atau memerlukan rawatan, mereka akan ditinggalkan. Pada ketika itu, mereka sudah tidak lagi mampu hidup sendiri di luar dan memerlukan penjagaan serta perlindungan. Di sinilah datangnya peranan penjaga sementara," jelas beliau.

Buat masa ini, selain memelihara lima ekor kucingnya sendiri, Cik Juliana turut menjaga lapan ekor kucing yang masih menunggu penjaga tetap.

Antaranya termasuk kucing yang lumpuh, buta dan memerlukan penjagaan rapi.

Komitmen itu bukan sekadar menuntut masa dan tenaga, malah menelan kos sekitar $20,000 hingga $30,000 setahun bagi menampung perbelanjaan makanan, rawatan dan keperluan harian kucing-kucing di bawah jagaannya.
Related article image
Pembelanjaan menjaga kucing boleh menelan kos sekitar $20,000 hingga $30,000 setahun. (Gambar: Juliana Chong)

Jarang diketahui ramai juga ialah usaha membantu kucing-kucing itu pulih daripada trauma yang dialami sebelum ini.

"Tugas kami bukan sekadar menjaga mereka tetapi membantu mereka kembali percaya bahawa tidak semua manusia akan berkelakuan jahat kepada mereka," jelasnya.

Justeru, Cik Juliana berharap tempoh perintis selama dua tahun itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mendapatkan maklum balas daripada komuniti penjaga sementara kucing.

"Saya harap AVS dapat berbincang dengan kami agar had bilangan kucing dapat dipertimbangkan semula, mungkin melebihi enam ekor," ujar Cik Juliana.

Beliau turut berpendapat syarat pengembirian yang diwajibkan ke atas penjaga sementara boleh dipertimbangkan juga bagi pemilik kucing lain sebagai usaha mengurangkan pembiakan kucing yang tidak terkawal.

PINDAH RUMAH LEBIH BESAR DEMI KUCING-KUCING

Harapan itu turut dikongsi Cik Siti Iswani Zainal, 46 tahun, seorang penjaga sementara kepada sembilan ekor kucing.

Ini tambahan kepada lapan ekor kucing miliknya sendiri.

Untuk menyediakan ruang yang lebih besar untuk kucing-kucing itu, beliau sanggup berpindah daripada flat HDB tiga bilik di Hougang ke flat lima bilik di Woodlands tahun lalu.

Namun, kes-kes kecemasan yang memerlukan bantuan segera terus diterimanya.

"Kadang-kadang dua atau tiga pagi ada orang telefon minta tolong ambil kucing. Kita tidak tahu bila keadaan kecemasan akan berlaku," kongsi Cik Iswani.

Related article image
Petikan skrin daripada Cik Siti Iswani yang menunjukkan bantuan kecemasan yang telah diterimanya. (Gambar: Siti Iswani Zainal)
Kebanyakan kucing-kucing yang dijaganya secara sementara diselamatkan daripada keadaan terbiar atau selepas dibuang pemilik di kawasan kejiranan.

Menurut beliau, keadaan itu boleh menjadi lebih mencabar apabila had bilangan kucing di bawah skim tersebut dikuatkuasakan.

"Ada kalanya, orang ramai memerlukan bantuan segera sebab itu mereka akan menghubungi penjaga sementara atau penyelamat haiwan apabila berlaku kecemasan," jelas beliau yang sudah lima tahun menjadi penjaga sementara kucing.

"Kalau sekarang kita sudah dihadkan kepada enam ekor kucing, penjaga sementara akan mula berfikir, boleh ambil lagi atau tidak? Nanti ada tindakan ke atas kita? Sukarlah untuk kita menjalankan kerja-kerja (menyelamat)," tambah Cik Iswani lagi.

Dengan had itu, timbul keprihatinan: "Bagaimana pula kita hendak membantu kucing-kucing lain yang benar-benar teraniaya dan sangat memerlukan pertolongan?"

"Skim ini mungkin menetapkan had enam ekor, tetapi panggilan kecemasan tidak akan berhenti. Kucing-kucing yang memerlukan bantuan juga akan terus ada. Jadi, jika benar-benar berlaku kecemasan, siapa yang akan membantu mereka?" kata beliau sambil menegaskan bahawa pelaksanaan skim itu perlu mengambil kira keperluan jangka panjang.
Related article image
Siti Iswani Zainal, 46 tahun, seorang penjaga sementara kepada sembilan ekor kucing. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)
Cik Iswani turut menyaran agar lebih ramai penjaga sementara yang berpengalaman dilibatkan dalam usaha menilai dan memperhalusi pelaksanaan skim tersebut agar ia benar-benar mencerminkan realiti di lapangan.

"Kita semua mempunyai matlamat yang sama, iaitu menjaga kebajikan kucing sebab itu saya harap AVS dapat duduk berbincang dengan penjaga sementara sebelum membuat keputusan yang memberi kesan kepada masyarakat ini," ujar beliau.

Mengulas tentang skim tersebut, Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr Syed Harun Alhabsyi berkata: “Kita harap ia dapat membina dan memberi keyakinan kepada penjaga kucing sementara dalam kalangan masyarakat kita yang mungkin menjaga kucing peliharaan yang sakit ataupun yang memerlukan pemeliharaan yang khas.

"Dengan ini, kita harap ia dapat melambangkan lagi sikap keihsanan kita kepada kucing dan haiwan peliharaan kita di rumah rumah kita.”

Para pemilik kucing juga diingatkan untuk mendapatkan lesen untuk memelihara kucing-kucing mereka sebelum 31 Ogos 2026.

Mulai 1 September 2026, adalah satu kesalahan di bawah Akta Haiwan dan Burung untuk memelihara kucing yang tidak berlesen di Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita