Had bayaran bersama Faedah Tambahan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu baharu akan dinaikkan mulai Apr 2026
SINGAPURA: Pemegang polisi Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu yang membeli 'rider' (faedah tambahan) baharu mulai April depan akan melihat perubahan pada apa yang termasuk dalam perlindungan insurans mereka, serta had pembayaran bersama minimum yang lebih tinggi.
Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Rabu (26 Nov) bahawa 'rider' baharu tidak lagi dibenarkan untuk menampung minimum Kos perubatan yang mesti dibayar dahulu oleh pesakit, sebagai sebahagian daripada langkah untuk menangani kenaikan kos jagaan kesihatan privet.
Buat masa ini, pemegang polisi dengan 'rider' mesti membayar bersama sekurang-kurangnya 5 peratus daripada bil mereka, dengan syarikat insurans menetapkan had pembayaran bersama tidak kurang daripada S$3,000 setahun.
Had ini akan dinaikkan kepada minimum S$6,000 setahun untuk 'rider' yang dijual dari April 2026 untuk "bergerak seiring dengan kenaikan saiz bil dari semasa ke semasa", kata MOH. Keperluan pembayaran bersama iaitu minimum 5 peratus akan dikekalkan.
Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu ialah tambahan insurans swasta yang melengkapi insurans kesihatan MediShield Hayat untuk menampung yuran bagi wad hospital yang lebih tinggi atau jagaan kesihatan swasta. Kos perubatan yang mesti dibayar dahulu oleh pesakit ialah jumlah tetap yang perlu dibayar oleh pemegang polisi setiap tahun sebelum pembayaran insurans bermula – diubah mengikut kelas wad.
Bagi pemegang polisi dengan 'rider' baharu, had S$6,000 akan terpakai untuk pembayaran bersama tidak termasuk kos perubatan yang mesti dibayar dahulu oleh pesakit. Dana MediSave boleh digunakan untuk membayar kedua-dua kos perubatan yang mesti dibayar dahulu oleh pesakit dan pembayaran bersama.
'Rider' merupakan tambahan pilihan yang menyediakan perlindungan tambahan di luar polisi utama, dibayar sepenuhnya secara tunai. Pemegang polisi sering membeli 'rider' untuk mengurangkan bahagian bil hospital mereka, terutamanya untuk jagaan kesihatan swasta.
Separuh daripada pemegang polisi Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu mempunyai pelan untuk hospital privet, dan 80 peratus daripada mereka mempunyai 'rider'.
MENANGANI PENGGUNAAN BERLEBIHAN
Walaupun perlindungan yang sangat komprehensif yang "melindungi sehingga hampir dolar terakhir" boleh "memberikan ketenangan fikiran sepenuhnya", ia boleh menjadi sangat mahal dan meningkatkan kos jagaan kesihatan, menurut MOH.
Pembayaran bersama minimum cenderung menggalakkan pesakit untuk menggunakan khidmat jagaan kesihatan secara berlebihan dan penyedia khidmat pula memberikan perkhidmatan yang berlebihan, tambahnya.
Pada Julai lalu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata bahawa syarikat-syarikat insurans kesihatan swasta dan hospital-hospital privet "terikat, sehingga merugikan semua pihak berkepentingan, termasuk pesakit".
Isu ini sebahagian besarnya disebabkan oleh reka bentuk insurans, katanya ketika itu. "Syarikat-syarikat insurans tahu bahawa pemegang polisi bimbang tentang menanggung bil hospital yang besar dan tidak dijangka, jadi mereka melancarkan produk insurans yang menawarkan perlindungan yang luas untuk menambat hati pelanggan dan bahagian pasaran."
Produk ini termasuk perlindungan tanpa had, serta 'rider' yang akan menanggung hampir semua kos.
Bagi kes-kes sedemikian, memandangkan syarikat-syarikat insurans menanggung hampir keseluruhan bil, terdapat kecenderungan untuk "menggunakan lebih daripada yang diperlukan", kata Encik Ong ketika itu, menyifatkannya sebagai "sifat manusia".
Menurut data MOH, pemegang polisi hospital privet dengan 'rider' adalah 1.4 kali lebih berkemungkinan untuk membuat tuntutan berbanding mereka yang tidak mempunyai 'rider', dan saiz tuntutan purata mereka juga 1.4 kali lebih tinggi.
Bil hospital privet sudah melonjak, dengan saiz bil median meningkat daripada S$9,100 pada 2019 kepada S$15,700 tahun lalu.
Syarikat-syarikat insurans telah menaikkan premium pelan hospital privet dan 'rider' dengan ketara untuk memenuhi tuntutan, dedah MOH.
Sungguhpun demikian, empat daripada tujuh syarikat insurans yang menawarkan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu melaporkan kerugian antara 9 dengan 48 peratus pada 2024, manakala tiga lagi "hampir tidak mencapai pulang modal".
"Perubahan ini akan membantu mengembalikan insurans kesihatan kepada objektif asalnya, iaitu untuk melindungi pesakit daripada bil jagaan kesihatan yang lebih besar," kata MOH. "Ia akan meningkatkan disiplin kos ke atas bil-bil kecil, dan mengurangkan perkhidmatan berlebihan dan penggunaan berlebihan yang berkaitan dengan kemasukan atau rawatan hospital yang tidak penting."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.