Skip to main content

Singapura

Had alkohol pemandu akan diturunkan, sistem mata demerit mungkin disemak

Singapura akan turunkan had alkohol bagi mereka yang memandu dalam keadaan mabuk, menjadikan piawaian negara ini sejajar dengan bidang kuasa utama Asia yang lain, kata Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri Sim Ann di Parlimen pada Jumaat (27 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:
Had alkohol pemandu akan diturunkan, sistem mata demerit mungkin disemak

Seorang lelaki ditahan bagi ujian pernafasan dalam operasi penguatkuasaan terhadap kesalahan pandu dalam keadaan mabuk di Upper Cross Street berhampiran Chinatown pada 20 September 2025. (Gambar: CNA/Tan Wen Lin)

Diterbitkan : 27 Feb 2026 11:17PM Dikemas Kini : 27 Feb 2026 11:18PM
SINGAPURA: Singapura akan turunkan had alkohol bagi mereka yang memandu dalam keadaan mabuk, menjadikan piawaian negara ini sejajar dengan bidang kuasa utama Asia yang lain, kata Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri Sim Ann di Parlimen pada Jumaat (27 Feb).

Had sedia ada di Singapura iaitu 35 mikrogram alkohol dalam setiap 100 mililiter nafas akan dikurangkan kepada 15 mikrogram alkohol dalam setiap 100 mililiter nafas, katanya.

Pindaan terhadap perundangan berkaitan akan dilaksanakan pada lewat tahun ini, katanya.

Cik Sim berkata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) juga sedang menimbangkan untuk mengetatkan Sistem Markah Kemajuan Pemandu, atau lebih dikenali sebagai sistem mata demerit, bagi mendorong para pemandu mematuhi peraturan jalan raya.

"Kita perlukan pendekatan penguatkuasaan lebih tegas kerana jalan raya kita semakin kurang selamat," kata Cik Sim semasa perbahasan mengenai peruntukan belanjawan kementeriannya untuk tahun ini.

Dalam ucapannya sebelum ini, Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong berkata jumlah kematian akibat nahas jalan raya mencecah paras tinggi dalam tempoh 10 tahun sejak 2016.

Kes memandu melebihi had kelajuan pada tahun lalu meningkat sebanyak 26 peratus berbanding 2024, manakala insiden dan kemalangan yang berlaku kerana melanggar lampu merah pula meningkat sebanyak 27 peratus, katanya.

"Kami menyaksikan terlalu banyak kes kelakuan cuai dan tidak bertanggungjawab, yang menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa," kata Encik Tong, yang juga menteri undang-undang.

TINDAKAN TEGAS TERHADAP KESALAHAN PANDU DALAM KEADAAN MABUK

Dalam ucapannya, Cik Sim berkata memandu dalam keadaan mabuk merupakan satu kesalahan yang amat berat dan tidak boleh dimaafkan.

"Tiada sesiapa yang minum dan memandu secara tidak sengaja. Mereka meletakkan diri mereka dan orang lain dalam risiko yang sangat besar. Terdapat banyak kemalangan dahsyat akibat mereka yang memandu dalam keadaan mabuk," katanya.

Menurunkan had alkohol bagi mereka yang memandu dalam keadaan mabuk akan menyelaraskan Singapura dengan bidang kuasa lain seperti Taiwan, Jepun dan Korea Selatan, katanya.

"Bukti menunjukkan bahawa keupayaan memandu terjejas pada tahap alkohol yang rendah dalam badan, dan risiko kemalangan meningkat dengan pengambilan alkohol," kata Cik Sim.

Pada masa ini, pesalah kali pertama yang memandu dalam keadaan mabuk boleh didenda antara S$2,000 hingga S$10,000, dihukum penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh didenda antara S$5,000 hingga S$20,000, dihukum penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pesalah kali pertama juga dilarang memandu selama tempoh minimum dua tahun, manakala pesalah berulang dilarang memandu selama sekurang-kurangnya lima tahun.

Semakan terhadap had alkohol bagi pemandu diumumkan oleh Menteri Ehwal dalam Negeri K Shanmugam dalam jawapan kepada soalan Parlimen pada September tahun lalu.

PERUBAHAN PADA SISTEM MATA DEMERIT

MHA juga sedang menimbangkan untuk mengetatkan sistem mata demerit bagi pemandu.

Ini termasuk mengurangkan jumlah mata yang terkumpul sebelum pemandu itu dilarang memandu dan juga menaikkan tempoh penggantungan.

"Kami tidak akan memutuskan perkara ini dengan mudah, tetapi ia mungkin wajar bagi mengatasi situasi yang semakin buruk, meningkatkan pencegahan dan memastikan pemandu berbahaya tidak berada di jalan raya," kata Cik Sim.

Menjawab saranan AP Cassandra Lee (PAP-West Coast-Jurong West) supaya menimbangkan untuk menambah hukuman bagi kes-kes tertentu memandu secara berbahaya, Cik Sim berkata beliau setuju hukuman seharusnya lebih berat bagi kes di mana pemandu tersebut dengan sengaja membahayakan nyawa orang lain.

"Kami akan menelitinya dengan tujuan untuk memperkenalkan kesalahan baharu bagi mengatasi kelakuan sedemikian, dengan hukuman maksimum lebih berat berbanding kesalahan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian," katanya.

Apabila MHA mengumumkan pada Mei tahun lalu bahawa hukuman lebih berat bagi kesalahan memandu melebihi had kelajuan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun ini, para pengamat berkata menambah jumlah mata demerit sebagai satu hukuman merupakan langkah pencegahan lebih tegas berbanding mengenakan denda lebih tinggi, disebabkan oleh pendapatan lebih tinggi di Singapura.

Cik Sim berkata dalam menghasilkan huraian bagi keselamatan di jalan raya, MHA akan memberi pertimbangan sewajarnya kepada perspektif pemandu vokasional, setelah berunding dengan kesatuan berkaitan pengangkutan.

Kenderaan berdaftar di luar negara juga merupakan satu lagi keprihatinan kerana ia membentuk kehadiran bersama yang ketara di jalan-jalan raya Singapura. Justeru, ada keperluan untuk mengukuhkan langkah pencegahan dan penguatkuasaan terhadap pemandu yang memandu secara berbahaya dalam kalangan mereka.

NOMBOR PLAT BERBEZA BAGI KENDERAAN ELEKTRIK

Dalam ucapannya, Encik Tong berkata MHA dan Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji penggunaan plat lesen berbeza bagi kenderaan elektrik, seperti di negara-negara lain.

Walaupun kajian menunjukkan kebakaran dalam kenderaan elektrik kurang kerap berlaku berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman, kenderaan elektrik menimbulkan risiko berbeza apabila ia terbakar dan memerlukan pendekatan pengurusan yang berlainan, katanya.

Mempunyai nombor plat berbeza membolehkan anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengenal pasti dengan lebih mudah sama ada kenderaan itu adalah kenderaan elektrik, katanya.

Ia kemudian akan menggunakan prosedur khusus seperti memasang kordon keselamatan untuk mengambil kira api yang lebih marak.

"Orang awam juga boleh mengenal pasti dengan lebih mudah sama ada kenderaan terjejas itu adalah sebuah kenderaan elektrik dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjauhinya," kata Encik Tong.

Butiran lanjut mengenai plat lesen berbeza itu akan dikongsi pada lewat tahun ini, katanya.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, SCDF dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan mereka akan mendampingi industri permotoran dan pemilik EV untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai
reka bentuk pengecam EV yang diusulkan dan proses pelaksanaannya.

"Reka bentuk pengecam EV yang diusulkan harus memastikan ia mudah dikecam dan dilihat," menurut kedua-dua agensi tersebut.

"Hanya akan ada satu reka bentuk pengecam EV biasa untuk EV dan kenderaan hibrid plug-in. Butiran lanjut mengenai reka bentuk yang ditetapkan dan proses pelaksanaannya akan diberikan pada masa terdekat."

Kehadiran kenderaan elektrik di jalan raya Singapura meningkat sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

Menjelang hujung tahun lalu, ia membentuk 7.4 peratus daripada keseluruhan jumlah kereta di sini, hampir seganda berbanding jumlah 4 peratus yang dicatatkan pada 2024.

Kenderaan elektrik juga membentuk kira-kira 45 peratus daripada kesemua kereta baharu yang berdaftar di Singapura pada tahun lalu, iaitu kenaikan ketara berbanding 34 peratus pada tahun sebelumnya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita