Skip to main content

Singapura

Had 500 orang sehari, langkah pengurusan selamat COVID-19 bagi ziarah tahunan ke Pulau Kusu

Pengunjung ke Pulau Kusu bagi ziarah tahunan musim ini perlu mematuhi langkah pengurusan selamat bagi mengekang penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Had 500 orang sehari, langkah pengurusan selamat COVID-19 bagi ziarah tahunan ke Pulau Kusu

Kuil Da Bo Gong (Tua Pek Kong) di Pulau Kusu (Gambar: SLA/Facebook)

Diterbitkan : 12 Sep 2021 09:40PM Dikemas Kini : 12 Sep 2021 09:41PM

SINGAPURA: Pengunjung ke Pulau Kusu bagi ziarah tahunan musim ini perlu mematuhi langkah pengurusan selamat bagi mengekang penularan COVID-19.

Musim ziarah tahun ini bermula pada 6 Oktober dan berakhir pada 4 November.

Seperti tahun lalu, ziarah ke Pulau Kusu dihadkan kepada 500 pengunjung setiap hari, menurut Penguasa Tanah Singapura pada Ahad (12 Sep).

Feri akan berlepas setiap jam dengan membawa sehingga 50 penumpang, dengan feri pertama berlepas dari Marina South Pier pada pukul 7.00 pagi dan yang terakhir pada pukul 4.00 petang.

Pulau itu menempatkan kuil Da Bo Gong (Tua Pek Kong) yang popular serta tiga keramat.

Pelawat perlu membeli tiket melalui laman Singapore Island Cruise and Ferry Services mulai 14 Sep. Mereka perlu menunjukkan e-mel pengesahan kepada kaunter pengendali feri di Marina South Pier untuk mendapatkan tiket masing-masing.

Sebagai sebahagian daripada langkah pengurusan selamat, mereka harus mendaftar masuk menggunakan aplikasi atau token TraceTogether sebelum menaiki feri.

"Disebabkan had kapasiti seramai 30 orang dalam kuil dan 14 orang dalam keramat, pengunjung perlu beratur untuk memasuki tempat-tempat sedemikian di pulau itu," menurut SLA.

Ia juga menasihatkan pengunjung supaya melakukan lawatan pada hari biasa kerana hujung minggu merupakan waktu sibuk semasa musim ziarah.

"Pengunjung dinasihatkan membawa botol air sendiri dan memakai pakaian dan kasut yang selesa untuk berjalan di sekitar pulau itu," tambahnya. Penginapan semalaman serta membawa haiwan peliharaan tidak dibenarkan di pulau itu.

Semua khidmat feri biasa ke Pulau Sekijang Bendera tidak akan membuat perhentian di Pulau Kusu dalam perjalanan pulang ke Marina South Pier semasa tempoh tersebut. Feri privet dan kapal layar juga tidak dibenarkan berlabuh di jeti pulau tersebut.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita