Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Habib Hassan ditabal penerima Anugerah Jauhari 2019; Md Dhafer Md Faishal Jauhari Harapan

Imam Masjid Ba'alwie, Habib Hassan Muhammad Al-Attas, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2019. Beliau menerima anugerah itu daripada Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam satu acara malam ini (11 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sumbangan beliau dalam memperjuangkan keharmonian agama dan kaum di Singapura memang tidak dapat dinafikan.

Sikapnya yang terbuka untuk menyambut tetamu dari pelbagai agama dan adat budaya berbeza di Singapura juga diiktiraf.

Atas jasa dan sumbangan beliau kepada usaha memupuk persefahaman dan memelihara keharmonian kaum dan agama di Singapura,
Imam Masjid Ba'alwie, Habib Hassan Muhammad Al-Attas, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2019.

Beliau menerima anugerah itu daripada Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam satu acara malam ini (11 Okt).

NAMA TIDAK ASING LAGI DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Habib Hassan Muhammad Al-Attas, 68 tahun, memang dikenali kerana memainkan peranan besar dalam memupuk persefahaman dengan masyarakat agama-agama lain di Singapura.

Di bawah pimpinan beliau, Masjid Ba’alwie antara masjid yang paling aktif dalam kegiatan persefahaman antara agama.

Habib Hassan menjadi imam Masjid Ba’alwie dari 1976, selepas pemergian ayahnya, Allahyarham Habib Muhammad Salim Al-Attas, pengasas dan imam pertama masjid yang dibangunkan pada 1952 itu.

Sejak lebih empat dekad menjadi Imam Masjid Ba'alwie, beliau bukan sekadar membuka pintu masjid di Lewis Road itu kepada Muslim tetapi juga menyambut tetamu dari pelbagai agama dan adat budaya berbeza, dari dalam dan luar negara.

Bahkan, beliau juga terbuka dari segi idea, sedia membincangkan pelbagai isu dan sering diundang menjelaskan kedudukan Islam dalam pelbagai isu semasa.

Jasa beliau dalam memperjuangkan keharmonian agama dan kaum di negara ini turut dihargai Pertubuhan Antara Agama (IRO).

Pada 2015, pertubuhan itu memberinya Anugerah IRO atas khidmat sebagai anggota veteran dan sumbangan besar dalam memupuk jalinan mesra antara pemimpin pelbagai agama.

Habib Hassan berkongsi bagaimana pengalaman beliau membesar dengan rakan-rakan berlainan bangsa dan agama membantunya lebih memahami dan bertolak ansur dengan masyarakat luar.

"Cabaran tetap ada dari zaman ke zaman. Kita tidak boleh elakkan tetapi dari zaman ayah saya, Habib Muhammad bin Salem Al-Attas, beliau tegas menasihatkan bahawa kita harus menghadapi masa hadapan dengan hati yang bersih dan besar dan fikiran yang waras dan apa saja kita yang lakukan mestilah dengan niat yang ikhlas dan usaha sedaya upaya untuk membetulkan serta melakukan segala kebaikan," kongsi beliau.

Mengulas anugerah terbaru yang diraihnya itu, Habib Hassan berkata pengiktirafan tersebut bukanlah untuk beliau saja tetapi ramai lagi yang juga berjasa untuk membina keharmonian kaum dan agama di Singapura.

Tambah beliau, perjalanannya itu belum selesai lagi memandangkan landskap masyarakat masa kini yang lebih terdedah kepada ancaman yang lebih mencabar.

"Yang paling penting bagi anak-anak muda adalah menghormati dan memahami agama lain. Jangan terlalu terpengaruh dengan media sosial. Lebihkan banyak membaca buku-buku, kitab-kitab agama dan buku-buku yang memberi ilmu pengetahuan kerana dewasa ini saya lihat banyak masyarakat lebih membaca media sosial dan terlampau kurang membaca buku-buku yang penting," ujar Habib Hassan.

Lantaran itu, beliau berharap anugerah yang diterimanya dapat membakar semangat anak muda daripada pelbagai latar belakang untuk sama-sama mengukuhkan fabrik masyarakat tempatan.

MUHAMMAD DHAFER DAPAT ANUGERAH JAUHARI HARAPAN

Bagi Anugerah Jauhari Harapan pula, penerimanya adalah penerima Biasiswa Presiden serta Anugerah Lee Hsien Loong bagi Pencapaian Dalam Pelbagai Bidang Muhammad Dhafer Muhammad Faishal.

Dhafer yang kini berada di Universiti Stamford, Amerika Syarikat diiktiraf atas kecemerlangannya dalam bidang pendidikan dan bergiat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan