Hab Tampines Kita jangka 500,000 pengunjung untuk acara Sambutan Hari Raya OTH sepanjang 2 minggu
SINGAPURA: Sepanjang dua minggu ini, Hab Tampines Kita (OTH) menjangkakan seramai 500,000 pengunjung untuk acara Sambutan Hari Raya OTH.
Ia dilancarkan secara rasmi pada Sabtu (30 Mac).
Hingga 14 April ini, para pengunjung boleh jangkakan pelbagai kegiatan menarik.
Antaranya, lebih 35 gerai di Bazar Hari Raya di Central Plaza, termasuk beberapa gerai antarabangsa dari Jordan, Indonesia dan Turki yang menampilkan budaya dan warisan masing-masing.
Bazar Hari Raya itu akan dibuka hingga 7 April.
Para pengunjung juga boleh meneroka budaya dan warisan Melayu hingga 14 April ini menerusi panel pameran yang ditampilkan Lembaga Warisan Melayu.
Ia selain pelbagai bengkel percuma dan kegiatan menarik seperti kegiatan kraf tangan untuk menghasilkan dan menghiasi ketupat dan sampul duit serta mempelajari tentang permainan tradisional yang ditawarkan sepanjang hujung minggu ini.
BUDAYA SAMBUT RAMADAN DAN HARI RAYA UNIK DI SG
Hadir untuk menyerikan lagi acara itu ialah para Penasihat Pertubuhan Akar Umbi Tampines termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.
Beliau disertai Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia, Dr Koh Poh Koon dan Setiausaha Parlimen Kanan Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan, Baey Yam Keng.
"Budaya menyambut bulan puasa dan menyambut Hari Raya adalah unik di Singapura. Antara lain kita lihat di merata Singapura telah dibangunkan bazar yang bertemakan bermacam-macam di Geylang, Kampong Gelam dan tidak ketinggalan di Tampines," kongsi Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
"Mungkin agak kecil tidak banyak yang penting tetapi ia memberikan bekal untuk mereka yang ingin berbuka puasa nanti, sekaligus juga mengambil kesempatan untuk menunjukkan beberapa barangan yang dihasilkan oleh Jordan, Turki dan Indonesia," tambahnya.
Para hadirin juga dihiburkan dengan peragaan fesyen oleh si cilik dari pelbagai kumpulan etnik dari Kelab Kanak-Kanak OTH siang tadi.
Ia bertujuan untuk bantu mereka meningkatkan lagi keyakinan diri di depan penonton.
10 PENIAGA DARI RUMAH DAPAT SERTAI KURSUS PEMASARAN DIGITAL
Buat julung-julung kalinya juga, seramai 10 peniaga rumah atau 'home bakers' dipilih untuk dibantu beralih ke wadah digital.
Mereka antaranya mengambil bahagian dalam kursus pemasaran digital dan dilatih untuk melakukan penstriman secara langsung.
Inisiatif itu adalah untuk menggalak peluang-peluang bagi pembelajaran sepanjang hayat dan membantu peniaga dari rumah itu meningkatkan perniagaan mereka.
"Sering mereka mengambil kesempatan untuk menjual juadah mereka secara fizikal seperti di OTH tetapi sebenarnya saluran digital ini membuka pasaran lebih luas dan mereka dapat membekalkan produk mereka bukan hanya untuk mereka di Tampines, malah merata Singapura," ujar Encik Masagos.
"Saya harap dengan adanya peluang untuk menggunakan pasaran digital, (mereka dapat) memahami cara yang terbaik yang dapat mengembangkan lagi usaha mereka supaya mereka mapan sebagai peniaga walaupun dari rumah-rumah sendiri," tambahnya.
RAIH PENGETAHUAN PEMASARAN MEDIA SOSIAL
Antara yang raih manfaat termasuk pemilik Lapis by deliSHiously_cakez, Shana Zack.
"Daripada khusus media digital, saya mendapat pengetahuan lebih tentang cara-cara mempersiapkan diri sebelum muncul secara langsung di media sosial. Sebagai contoh, meningkatkan keyakinan dan menyediakan skrip kasar supaya tidak bercantum terlalu banyak," kongsi Cik Shana.
"Saya percaya melalui media sosial, ia akan menguntungkan masa depan perniagaan saya, dan membolehkan saya meningkatkan kesedaran jenama dan memperluaskan pangkalan pelanggan saya," tambahnya.
Perasaan yang sama turut dikongsi pemilik The Baking Momma, Mazni Abu Samad.
"Melalui bengkel ini, kami memperoleh pengetahuan yang berguna tentang cara memasarkan diri dan juga produk saya, menjangkau khalayak yang lebih luas, melalui siaran langsung," kongsi Cik Mazni.
"Hari ini, saya dapat peluang untuk melakukan siaran langsung di bazar Ramadan di OTH bersama dengan syarikat acara MakBesar. Saya sangat berterima kasih kepada pihak pengurusan OTH kerana menganjurkan acara sedemikian dan juga menyediakan kami dengan keperluan asas untuk kami lebih yakin mengadakan siaran langsung sendiri pada masa yang akan datang," tambahnya.
Penstriman pertama dilakukan petang tadi (30 Mac) dan akan diadakan dari 1 hingga 5 April juga.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.