Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hab Tampines Kita dikurnia anugerah berprestij; programnya turut diiktiraf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa

Hab Tampines Kita (OTH) dikurniakan dengan anugerah yang berprestif dari Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Hab Tampines Kita dikurnia anugerah berprestij; programnya turut diiktiraf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa

Pengarah Kanan Hab Tampines Kita Encik Suhaimi Rafdi (kiri) menerima anugerah berkenaan. (Gambar: Facebook/ Our Tampines Hub)

SINGAPURA: Hab Tampines Kita (OTH) dikurniakan dengan anugerah yang berprestij daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) baru-baru ini.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) Chris Chan menyampaikan Anugerah IOC bagi Sukan dan Seni Bina Mampan kepada Pengarah Kanan Hab Tampines Kita, Encik Suhaimi Rafdi, yang juga adalah pengarah kanan Persatuan Rakyat (PA) pada Isnin (21 Dis).

Turut menyaksikan acara penyampaian anugerah tersebut ialah Naib Presiden IOC, Encik Ng Ser Miang.

Anugerah Sukan dan Seni Bina Mampan itu mengiktiraf usaha pertubuhan-pertubuhan yang memupuk budaya kelestarian dan penggunaan tenaga bersih dalam kerja-kerja seni bina dan menerapkan nilai-nilai yang mendidik dan memperkasa golongan muda untuk memelihara dan melindungi alam sekitar.

Ia juga mengiktiraf pertubuhan-pertubuhan yang memberikan tumpuan kepada inisiatif-inisiatif yang mesra alam dan menumpukan perhatian kepada pengurusan biodiversiti yang mampan.

Reka bentuk dan amalan-amalan yang dilaksanakan oleh Hab Tampines Kita mendapat pujian SNOC dan diiktiraf oleh IOC kerana ia adalah sebuah kemudahan yang berjaya menawarkan program-program yang memang direka untuk menggalak kemampanan sambil berkhidmat untuk masyarakat melalui sukan.

Dibangunkan berdekatan Stesen MRT Tampines, Hab Tampines Kita dibuka secara rasmi pada Ogos 2017 oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Hab Tampines Kita menelan belanja S$500 juta untuk dibina.

Selain kemudahan sukan dan riadah, stadium di Hab Tampines Kita juga berupaya menampung 5,000 penonton.

Hab bersepadu itu turut dilengkapi dengan kolam renang saiz Olimpik di atas bumbungnya, selain perpustakaan dan sebuah teater seni yang boleh memuatkan seramai 400 penonton untuk menyaksikan tayangan filem atau persembahan secara langsung.

Ia juga menawarkan pelbagai khidmat masyarakat dan runcit.

Menurut PM Lee, Hab Tampines Kita adalah sebuah hab bersepadu yang pertama di Singapura dan pembinaannya diilhamkan melalui maklum balas dan cita rasa penduduk.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan