Skip to main content

Singapura

Hab pengangkutan bersepadu baharu antara tarikan Pelan Induk 5 Tahun Tampines

Pihak berkuasa Singapura sedang mengkaji rancangan untuk membangunkan sebuah hab pengangkutan bersepadu baharu di Tampines, bagi memudahkan akses dan ketersambungan penduduk.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Feb 2025 01:21PM Dikemas Kini : 23 Feb 2025 12:30AM
SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura sedang mengkaji rancangan untuk membangunkan sebuah hab pengangkutan bersepadu baharu di Tampines, bagi memudahkan akses dan ketersambungan penduduk.

Semasa berucap di pelancaran Pelan Induk Lima Tahun Tampines (2025-2030) pada Sabtu (22 Feb), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli berkata ia akan menyediakan "rangkaian pejalan kaki dan mobiliti aktif yang bebas hadangan".

"Dengan hab pengangkutan bersepadu baharu ini, keluarga anda boleh bersiar-siar di jalan-jalan yang dibarisi dengan kedai, kafe 'trendy' dan kawasan hijau yang bertenaga - di pasar jalanan ibarat Osaka di Singapura," kata Encik Masagos.

"Visi kami adalah untuk mengurangkan tekanan ke atas penduduk berkaitan isu meletak kereta - kerana di Tampines, para penduduk boleh tinggal di kawasan itu, bekerja dan beriadah tanpa memerlukan kereta," menurut Majlis Bandaran Tampines dalam kenyataan medianya.

Pelan-pelan lain termasuk mempertingkatkan laluan pejalan kaki antara stesen MRT Tampines dengan pusat beli-belah di Tampines, kata Encik Masagos, dengan hab bersepadu itu akan menjadikan Tampines sebagai "pusat bandar yang mengutamakan penduduk".

Tampines akan mengambil inspirasi daripada reka bentuk bandar-bandar yang berjaya seantero dunia, menurut majlis bandaran itu.

Ia menambah pembangunan sebuah pusat bandar mesra pejalan kaki telahpun dimulakan, dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menimbangkan kemungkinan mengubah sebahagian daripada Tampines Central 5 menjadi laluan pejalan kaki yang menghubungkan pusat beli-belah di Pusat Bandar Tampines dengan Stesen MRT Tampines.

"Para penduduk akan didampingi untuk mendapatkan idea mereka, memastikan reka bentuk itu mencerminkan identiti unik Tampines," menurut majlis bandaran itu.

Pihak berkuasa juga merancang untuk mengubah tanah lapang yang tidak digunakan sepenuhnya di Pusat Daerah Tampines menjadi ruang bekerja, beriadah dan melakukan aktiviti kemasyarakatan, kata Encik Masagos.

Juga dalam perancangan adalah sebuah bangunan pelbagai guna baharu yang akan menyatukan ruang perumahan, komersil dan awam di bawah satu bumbung.

"Ia akan menjadi tempat di mana kehidupan, pekerjaan dan riadah dapat bersatu, menghasilkan persekitaran yang memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi mencapai keseimbangan kehidupan-pekerjaan," menurut kenyataan itu.

Encik Masagos berkata matlamatnya adalah untuk pusat bandar itu menjadi "model kehidupan hijau" dan visi itu sudahpun dicapai dengan bangunan-bangunan di Pusat Daerah Tampines kini lebih cekap tenaga.

Dengan rangkaian pendinginan bandar yang pertama siap dibina di Tampines, tujuh bangunan termasuk pusat beli-belah Tampines Mall akan berkongsi sumber dan mengurangkan penggunaan tenaga dari alat hawa dingin - iaitu serupa dengan membekalkan elektrik kepada lebih 710 unit flat tiga bilik HDB selama setahun.

"Perjalanan ini memerlukan wawasan yang berpandangan jauh, usaha tidak berbelah bahagi dan usaha bersama dari kita semua.

"Sejarah menunjukkan bahawa Tampines sentiasa mengorak langkah pertama," kata Encik Masagos.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita