Hab Latihan SingHealth & Duke-NUS lancar permainan VR asah kemahiran kakitangan jagaan kesihatan
SINGAPURA: Menggunakan permainan imersif - kakitangan penjagaan kesihatan kini mempunyai satu lagi wadah untuk menguji keputusan perubatan tanpa menjejas keselamatan pesakit.
Dilancarkan pada Selasa (18 Jan), permainan imersif itu bertujuan untuk mengasah kemahiran para kakitangan penjagaan kesihatan ketika menangani situasi seperti serangan jantung.
Permainan imersif itu merupakan antara 18 program yang ditawarkan hab latihan SingHealth dan Duke-NUS yang baru.
Ia dibangunkan berdasarkan situasi sebenar dan menggunakan kepakaran profesional.
Tahun ini, ia akan dijadikan sebahagian daripada kursus pentauliahan Sokongan Hayat Jantung Asas yang melatih sehingga 5,000 pekerja jagaan kesihatan setiap tahun.
SingHealth dan Duke-NUS harap dapat mengurangkan masa latihan secara perseorangan sehingga 25%.
Mendapat akses kepada peralatan seperti permainan imersif ini bermakna para kakitangan perubatan lebih bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka.
Apabila menghadapi kecemasan, mereka dapat menguji diri sendiri dan mendapat maklum balas dengan serta merta.
Hab tersebut turut menyediakan ruang untuk kajian dan pembangunan menerusi lebih banyak permainan.
Antara yang sedang dihasilkan melibatkan situasi seperti pemindahan darah dan pengurusan semasa bencana.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.