Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hab Khidmat Masyarakat Mawar dilancar, kini diperluas untuk sokong bekas pesalah berbilang kaum

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hab Khidmat Masyarakat Mawar (MCS) dilancarkan secara rasmi pada Sabtu (1 Feb).

Dikenali sebagai Khidmat Kaunseling Muslim sebelum ini, ia kini diperluas untuk menyokong bekas pesalah berbilang kaum dan agama.

Hab yang terletak di 69A Onan Road itu juga mempunyai model sel penjara bagi program lawatan berpandu Pencegahan Dadah dan Geng yang akan dikendalikan sendiri oleh bekas pesalah bermula Mei ini.

Ia bertujuan memberi gambaran bagaimana keadaan hidup di dalam penjara dan digunakan dalam program pemulihan bagi bekas pesalah.

Ustaz Basir (paling kiri) di sel penjara buatan.

Usaha itu diharap dapat memberikan mesej untuk tidak membazirkan masa dalam sel penjara, menurut Pengarah Program MCS, Ustaz Md Basir.

Ustaz Basir sebenarnya sudah keluar masuk penjara sebanyak 10 kali sejak berusia 18 tahun.

Kini, beliau menjadi contoh kepada masyarakat, mengendalikan program dan kumpulan sokongan di MCS.

PENGALAMAN DI PENJARA JADI IKTIBAR, TELADAN UNTUK DIDIK MASYARAKAT

Sel penjara buatan.
Pengalaman di penjara juga dijadikan iktibar dan teladan untuk mendidik masyarakat.

Sel penjara buatan itu misalnya memberi pengunjung pengalaman "sebenar" kehidupan dalam penjara.

Di bawah program Perusahaan Sosial MCS, ia dilengkapi dengan prop penjara yang sama seperti yang "asli" seperti tandasnya, tikar tidur, selipar dan selimut.

Ini juga sebahagian daripada program intervensi terapeutik dan pemulihan MCS.

Ustaz Basir berkata: "Kami membesar di dalam sel penjara seperti ini dan sel penjara ini adalah tempat pembelajaran kami di mana pengalaman kami menjadi guru kami sekarang.

"Disebabkan itu, kami ingin menyampaikan kepada masyarakat lebih-lebih lagi kepada mereka yang muda supaya mereka tidak menjalani apa yang telah kami jalani. Kami rasa sel ini akan memberi kesan yang lebih positif kepada mereka."

Selain itu, para pengunjung juga berpeluang untuk berinteraksi dan mendengar sendiri pengalaman oleh bekas pesalah.

"Kami akan adakan 3 perhentian, yang pertama pameran anti-dadah CNB Drug Free SG, kedua adalah replika sel penjara di sini dan yang terakhir, perkongsian oleh bekas-bekas pesalah yang telah berubah," jelas Ustaz Basir.

Itulah antara ciri khas Hab Khidmat Masyarakat Mawar (MCS) yang dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

HAB MCS DILANCAR, PERLUAS KHIDMAT KEPADA MASYARAKAT BERBILANG KAUM DAN AGAMA
Encik Shanmugam di acara pelancaran Hab MCS

Dikenali sebagai Khidmat Kaunseling Muslim sebelum ini, ia dinamakan semula untuk memperluas khidmatnya dan kekal relevan untuk masyarakat berbilang kaum dan agama.

Dalam ucapannya, Encik Shanmugam memuji usaha MCS sejauh ini dalam menyokong bekas pesalah dan keluarga mereka.

"Kerja-kerja yang anda lakukan sekarang sebenarnya mempunyai kesan yang besar kepada kehidupan individu. Anda menyelamatkan nyawa dan ia bukan di penjara sahaja, bahkan relawan MCS bekerjasama dengan bekas banduan di luar, untuk cuba memastikan mereka bebas dadah dan tidak melakukan gejala jenayah, kembali kepada kerja dan menjaga keluarga mereka sebab keluarga yang paling menderita," kata Encik Shanmugam.

PERKUKUH EKOSISTEM SOKONGAN UNTUK BEKAS PESALAH

Dr Faishal di acara pelancaran Hab MCS

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Faishal Ibrahim yang menerajui program FITRAH juga mengalu-alukan usaha ini untuk memperkukuh sokongan bagi bekas pesalah.

Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata: "Ia adalah salah satu tambahan ataupun sumbangan dan nafas yang lebih baharu dan juga dapat mengukuhkan ekosistem kita, di mana FITRAH telah melakarkan program-program dengan baik dan juga dengan badan-badan Melayu/Islam termasuk badan-badan yang mahu menyumbang dalam aspek pemulihan dan integrasi semula masyarakat kita,"

"Hab ini juga mempunyai satu aspek di mana kita mahukan kerja-kerja 'upstream' bagi belia-belia dan juga masyarakat kita daripada pelbagai masyarakat, berbilang kaum. Pelajar-pelajar di daerah sini (misalnya), boleh datang ke hab ini untuk melihat bahayanya dadah dan juga melihat model penjara," tambahnya lagi.

Menurut Dr Faishal, hab itu juga merupakan satu wadah untuk memperluaskan lagi pendekatan kepada para banduan dan bekas pesalah dalam proses pemulihan dan kehidupan mereka.

"Di sini, ada potensi untuk melihat aspek-aspek pemulihan, kesihatan dan juga yang lain di mana MCS boleh bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah dan juga badan-badan yang lain untuk menyumbang dalam aspek kehidupan seseorang individu itu," ujarnya.

Bermula pada Mei ini, hab ini juga akan menawarkan lawatan berpandu kendalian bekas pesalah, yang dibuka bukan sahaja kepada sekolah-sekolah dan kumpulan korporat, bahkan kepada orang awam dan kumpulan privet.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan