Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hab kesejahteraan baru di Jalan Kayu hulur bimbingan & pemeriksaan kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu daripada empat warga Singapura yang berusia 40 tahun ke atas menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik, menurut Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Kini, sebuah hab kesihatan dan kesejahteraan yang baru di Jalan Kayu, menjadi antara daya usaha untuk menangani masalah tersebut.

Kemudahan di hab berkenaan boleh menawarkan ceramah, pemeriksaan kesihatan serta sesi bimbingan untuk para penduduk, terutama mereka yang menghadapi isu kesihatan.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (4 Feb) sempat mengunjunginya bagi meninjau-ninjau pelbagai kemudahan yang ditawarkan.

Matlamat utama pusat tersebut ialah membantu para penduduk memantau tahap kesihatan dan kecergasan mereka.

Contohnya, Cik Elsie Heng, yang kekal aktif selepas terkena barah payu dara sekitar sedekad lalu.

Beliau merupakan antara penduduk yang menyertai Kelab Kesihatan Masyarakat Jalan Kayu bagi mengekalkan tahap kecergasan.

Selain rajin bersenam, Cik Elsie juga kini lebih berhati-hati tentang pemakanan.

Para jururawat serta doktor pakar dari Hospital Tan Tock Seng (TTSH) turut memberi tunjuk ajar kepada para penduduk semasa sesi bimbingan berkumpulan.

Ini menyediakan mereka satu ruang inklusif serta motivasi untuk kekal dengan matlamat kesihatan yang disasarkan.

"Ia mungkin langkah kecil yang boleh diambil untuk meningkatkan kesihatan mereka, seperti pemakanan yang lebih baik, atau meningkatkan tahap kecergasan mereka, atau juga memilih jenis makanan tertentu yang mungkin mereka tidak terbiasa di fasa awal kehidupan mereka," kata Pembantu Pengarah bagi Kesihatan Masyarakat di TTSH, Dr Chen Wei Ting.

Kemudahan sehenti itu juga ingin memberi tumpuan kepada para penduduk yang uzur serta golongan yang terdedah kepada penyakit kronik seperti kencing manis.

Kakitangan perubatan di hab tersebut ingin mencegah permulaan awal penyakit sedemikian serta memastikan para penduduk kekal sihat.

"Apabila umur kita meningkat, terutama selepas usia 40 tahun, risiko penyakit kronik turut meningkat.

"Jadi kami harap dengan menjalin kerjasama dengan doktor keluarga (GP), mereka tahu ke mana untuk dirujuk para pesakit mereka bagi mengikuti ceramah tentang kehidupan sihat, bimbingan, dan kegiatan sukan serta riadah di peringkat masyarakat," tambah Dr Chen.

Pusat tersebut menyasarkan sehingga 1,000 penduduk Jalan Kayu untuk mendaftarkan diri dalam tempoh dua tahun pertama.
Sumber : CNA/AI/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan